15 Februari 2023, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Selangor – Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor kembali dibuka secara rasmi kepada para pengunjung bermula semalam, 14 Februari 2023 setelah majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Exco Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Yang Berhormat (YB) Tuan Borhan Aman Shah pada hari yang sama.

Exco Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, YB Tuan Borhan Aman Shah ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Muzium Permainan Tradisional.

Menurut YB Tuan Borhan, Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor ini mempunyai bahan-bahan pameran yang berharga dengan tahap nilai sejarah yang signifikan kerana bukan sahaja tidak diperoleh di muzium yang lain, bahkan merupakan koleksi khusus yang berkaitan dengan sejarah permainan tradisional yang pernah dimainkan di negeri ini.

“Koleksi-koleksi ini sewajarnya dipelihara dengan baik dan perlu dipamerkan kepada orang awam supaya mereka dapat mengetahui, menghayati dan seterusnya menghargai tinggalan khazanah yang ada di negeri ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) atas segala usaha dalam merealisasikan Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor dengan kerjasama semua pihak,” ujar YB Tuan Borhan.

YB Tuan Borhan turut memanjatkan kesyukuran kerana perasmian Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor merupakan satu peristiwa yang amat signifikan kepada masyarakat Kuala Selangor khasnya dan rakyat Selangor secara keseluruhan. Di samping itu, beliau juga menyatakan harapannya agar pembukaan semula muzium ini dapat meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong ke negeri Selangor terutama di daerah Kuala Selangor selain terdapat pelbagai destinasi dan tarikan lain yang unik dan popular di daerah ini seperti gemerlapan kelip-kelip, Pantai Cermin, inap desa dan keindahan Pantai Remis.

Exco Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, YB Tuan Borhan Aman Shah memukul gong tiga kali sebagai simbolik perasmian.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, YB Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dr. Nadia Widyawati Madzhi.

Orang ramai digalakkan membawa keluarga untuk berkunjung ke Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor pada musim cuti persekolahan ini yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang. Selain melihat pameran, pengunjung yang hadir ke muzium ini juga boleh mencuba bermain permainan tradisional seperti yang dipaparkan dalam pameran dengan bantuan kakitangan yang bertugas.

Bayaran masuk ke muzium ini adalah percuma hingga bulan Jun 2023 dan bayaran tiket dengan pakej menaiki trem akan dikenakan kepada para pengunjung selepas itu. Walau bagaimanapun, kadar bayaran tiket masih belum ditetapkan.

Sebagai pemakluman, Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor telah dibuka pada tahun 2007 tetapi ditutup selepas terbabit dalam kebakaran pada tahun 2011. Proses membina semula muzium ini mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dengan menelan kos perbelanjaan antara RM300 ribu sehingga RM500 ribu. Muzium ini yang diubah suai daripada kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan permainan tradisi rakyat terus dijaga dan terpelihara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.