Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLangkawi − Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganjurkan program Langkawi Craft Musical Fest 2021. Festival yang berlangsung di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu Mukim Bohor, Pulau Langkawi dilaksanakan selama sembilan hari bermula pada 11 hingga 19 Disember 2021, dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Program yang julung-julung kali diadakan di Kompleks Kraf Langkawi ini mengetengahkan alat muzik tradisional berkonsepkan alunan semula jadi yang juga merupakan produk kraf tempatan dalam kategori kraf hasil rimba, kraf logam dan aneka kraf yang lain.
Keunikan penghasilan produk kraf ini secara tidak langsung memberikan keunikan dalam persembahan seni dan budaya warisan negara.
Menurut Kraftangan Malaysia, “Tujuan utama penganjuran Langkawi Craft Musical Fest 2021 adalah bagi meneruskan usaha Aspirasi Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.”
Mengulas mengenai hasrat pelaksanaan festival ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Puan Aididah Ibrahim berkata, “Kraftangan Malaysia berharap agar Langkawi Craft Musical Fest akan dikenali di peringkat antarabangsa setanding Rainforest World Music Festival pada masa akan datang.”
Selain pameran produk kraf tempatan, terdapat aktiviti lain yang disediakan oleh peganjur. Antaranya ialah jualan produk kraf, pertandingan fotografi, ekplorasi kraf dan persembahan pentas.
Program ini juga menghimpunkan sebanyak 51 usahawan kraf serta 15 kumpulan dan individu pemuzik dari seluruh Malaysia, antaranya alat muzik Serunai dari Kedah, Gambus dari Johor, Rebana dari Perak, Sompoton dari Sabah dan Sape dari Sarawak.
Dapatkan maklumat lanjut mengenai Langkawi Craft Musical Fest 2021 di Facebook Kraftangan Malaysia.