Oleh Julaiha Yunus
29 Disember 2022, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan teknologi pada zaman ini telah memberi pelbagai impak kepada generasi muda pada masa kini sama ada impak yang positif mahupun negatif. Satu daripada impak yang positif ialah kemajuan teknologi yang ada pada hari ini telah banyak membantu dalam memudahkan urusan seharian masyarakat. Manakala impak negatifnya pula telah menjadikan generasi muda era kini terlalu taasub dengan teknologi sehingga mereka leka dan tidak bergaul dengan masyarakat.

Menurut Mohd (2021), statistik menunjukkan peningkatan terhadap peratus capaian Internet bagi isi rumah, iaitu sebanyak 91.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 90.1 peratus pada tahun 2019. Capaian telefon bimbit dan komputer bagi setiap isi rumah turut meningkat, iaitu sebanyak 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada tahun 2020. Antara aktiviti Internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial termasuklah permainan secara dalam talian. Keadaan ini telah menjadikan generasi muda tidak terdedah dengan pelbagai aktiviti riadah dan permainan tradisional yang menjadi sebahagian daripada aktiviti yang sering dilakukan oleh generasi pada zaman terdahulu pada setiap petang.

Dalam meniti arus kemodenan zaman, kanak-kanak didedahkan dengan gajet seawal usia lima tahun oleh ibu bapa mereka. Kajian oleh Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) mendapati bahawa 83.2 peratus pengguna Internet adalah kanak-kanak yang berumur 5 sehingga 17 tahun (Aina & Hapsah, 2020). Keadaan ini membuktikan bahawa generasi muda lebih selesa untuk menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan dalam talian berbanding dengan permainan tradisional.

Antara contoh permainan tradisional yang masih terdapat di Malaysia.

Hal ini kerana bermain permainan tradisional perlu menggunakan banyak tenaga, cepat berpeluh dan berasa panas. Keadaan ini menjadikan generasi tidak berminat untuk bermain permainan tradisional. Selain itu, kebanyakan permainan tradisional hanya boleh dimainkan jika terdapat beberapa orang yang terlibat secara langsung. Namun begitu, teknologi yang berkembang pesat pada hari ini menyebabkan generasi muda kurang bersosial dan lebih memilih untuk menghadap gajet masing-masing. Hal ini demikian kerana generasi muda telah didedahkan dengan gajet sejak kecil lagi dan hal ini telah menjadi satu amalan dan budaya dalam kehidupan mereka.

Seterusnya, permainan tradisional juga dianggap ketinggalan zaman oleh generasi muda kerana majoriti generasi muda dibekalkan dengan gajet yang mempunyai pelbgai kemudahan dan pelbagai permainan yang boleh diakses dengan mudah. Situasi ini menjadikan generasi muda berasa malu dan janggal untuk bermain permainan tradisional serta lebih memilih untuk bermain permainan dalam talian sahaja.

Sehubungan dengan itu, generasi muda lebih mengenali permainan seperti Candy Crush, Angry Bird, Mobile Legend, Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) dan Pokémon Go berbanding dengan permainan congkak, batu seremban, gasing, tuju selipar dan galah panjang. Walau bagaimanapun, tanpa kita sedar, permainan moden yang dinyatakan ini mempunyai banyak kesan yang negatif sama ada dari segi mental mahupun fizikal. Sebagai contohnya, permainan yang menggunakan gajet boleh menyebabkan kerosakan pada mata seseorang kerana pendedahan mata kepada cahaya skrin yang terlalu lama.

Menurut Bastian et al. (2019), permainan tradisional boleh berperanan untuk mengelakkan kebergantungan kepada gajet yang berlebihan. Secara umumnya, permainan tradisional bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, bahkan bermanfaat untuk kecerdasan rohani dan jasmani diri. Kebanyakan permainan tradisional amat menitikberatkan kemampuan fizikal seseorang. Sebagai contohnya, permainan tarik upih dapat meningkatkan kekuatan fizikal diri kerana permainan ini memerlukan seseorang itu untuk menarik dan berlari sambil memegang upih. Bertentangan dengan permainan moden pada masa kini yang meminimumkan pergerakan tubuh dalam tempoh waktu yang panjang. Situasi ini akan menyebabkan generasi muda lebih terdedah kepada masalah kesihatan yang melibatkan bahagian tengkuk dan belakang badan.

Di samping itu, permainan tradisional turut berkesan untuk dijadikan sebagai aktiviti sampingan dalam pembelajaran bagi generasi muda. Hal ini tercetus apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada hari ini amat menitikberatkan pengajaran yang berasaskan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21). Tambahan pula, pengajaran yang berasaskan PAK-21 banyak menerapkan elemen permainan ketika proses mengajar. Sebagai contohnya, permainan dam ular banyak digunakan oleh guru sebagai aktiviti PAK-21 ketika pelaksanaan proses PdP. Justeru, generasi muda pasti dapat mengetahui tentang kewujudan permainan ini.

Mahjung merupakan satu daripada permainan tradisional masyarakat Cina di Malaysia.
Xiangqi atau Catur Cina merupakan sebahagian daripada warisan permainan tradisional masyarakat Cina di Malaysia.

Pada zaman ini, majoriti generasi muda mengetahui tentang kewujudan permainan dam ular kerana mereka sering didedahkan dengan permainan ini. Oleh hal yang demikian, jika permainan tradisional yang lain turut diaplikasikan ketika proses PdP, maka pasti permainan-permainan ini tidak akan dilupakan dan akan sentiasa diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Selain itu, permainan tradisional juga mempunyai manfaat yang besar untuk perkembangan hidup generasi muda dan merupakan salah satu lambang budaya bagi sesebuah masyarakat di dunia ini. Menurut Norfarizah et al. (2020), perkembangan jiwa, sifat dan kebudayaan hidup sosial generasi muda pada masa depan boleh dipengaruhi oleh permainan tradisional sesebuah masyarakat. Sehubungan dengan itu, generasi muda haruslah memelihara budaya ini agar “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Jika permainan tradisional dipelihara dengan baik dan dikomersialkan, masyarakat kita pasti dapat menarik perhatian masyarakat luar negara dan dipandang tinggi oleh mereka.

Sebagai contoh, permainan sepak raga atau lebih dikenali sebagai sepak takraw dapat menarik perhatian masyarakat luar dan telah dijadikan sukan yang dipertandingkan pada peringkat antarabangsa. Justeru, tidak mustahil permainan tradisional yang lain juga dapat dikomersialkan jika generasi muda masih memberi sambutan kepada permainan tersebut.

Di samping itu, permainan tradisional juga dapat mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa. Maka itu, rakyat Malaysia haruslah bijak dalam mencari dan melaksanakan aktiviti yang dapat menyatukan ukhuwah masyarakat dan saling bekerjasama dalam sebarang situasi.

Sehubungan dengan itu, permainan tradisional merupakan satu daripada aktiviti yang paling sesuai bagi mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat kerana sering dimainkan secara berpasangan atau berkumpulan. Tambahan lagi, permainan tradisional bukan sahaja dimainkan oleh bangsa Melayu sahaja, bahkan turut dimainkan oleh bangsa India dan Cina. Antara permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, batu seremban, sepak raga, gasing, kabaddi dan mahjung.

Kho-kho merupakan satu daripada permainan tradisional masyarakat India di Malaysia.

Permainan tradisional merupakan salah satu aktiviti yang dapat meningkatkan semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi generasi muda. Hal ini disebabkan oleh sifat permainan tradisional yang kebanyakannya perlu bermain secara berpasangan atau berkumpulan. Sebagai contohnya, keperluan permainan congkak dan batu seremban secara berpasangan, manakala sepak takraw dan galah panjang pula perlu bermain secara berkumpulan. Jika dibandingkan dengan permainan moden yang ada pada zaman ini, kebanyakannya boleh dimainkan secara berseorangan dan tidak menggalakkan pergaulan ssosial antara pemain. Kini jelas terbukti bahawa permainan tradisional dapat membantu mempertingkatkan lagi semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Generasi muda haruslah cakna terhadap permainan tradisional yang semakin tenggelam ditelan arus kemodenan zaman kerana permainan tradisional merupakan warisan daripada nenek moyang yang tiada galang gantinya. Jika generasi muda pada zaman ini tidak melestarikan permainan tradisional, nescaya generasi akan datang tidak akan tahu tentang kewujudan permainan tradisional ini.

Kebanyakan permainan tradisional ini wujud hasil daripada sebahagian aktiviti kehidupan yang dilalui oleh masyarakat pada zaman dahulu secara turun-temurun. Sebagai contohnya, permainan laga biji getah banyak dimainkan oleh kanak-kanak pada zaman dahulu kerana majoriti nenek moyang terdahulu banyak menjalankan aktiviti pertanian seperti menoreh getah sebagai hasil pendapatan keluarga. Sehubungan dengan itu, masyarakat terdahulu mewujudkan permainan yang berasaskan daripada buah getah yang dikenali sebagai laga biji getah.

Bermain guli merupakan satu daripada permainan tradisional masyarakat Melayu di Malaysia.

Kesimpulannya, permainan tradisional merupakan salah satu khazanah negara dan warisan bagi sesebuah bangsa yang tidak ternilai harganya. Oleh hal yang demikian, generasi muda kini haruslah memikul tanggungjawab untuk terus melestarikan permainan tradisional yang dimainkan oleh generasi terdahulu agar permainan ini akan terus kekal dimainkan dan dikenali oleh generasi-generasi masa depan.

Natijahnya, generasi muda mestilah cakna dan melibatkan diri mereka dengan permainan tradisional agar permainan tradisional yang ada di negara kita ini akan terus berkekalan sepanjang zaman. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus memainkan peranan dalam melestarikan permainan tradisional merangkumi pihak kerajaan, ibu bapa dan media agar permainan tradisional terus menjadi buah mulut orang ramai sepanjang masa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.