Oleh A. Wahab Hamzah
11 Januari 2022, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun 2021 berlalu dengan meninggalkan pelbagai kesan dan kenangan kepada dunia seni tanah air. Industri seni tanah air masih bergelut dengan gelombang pandemik COVID-19 − pandemik yang hampir melumpuhkan kegiatan kesenian di seluruh dunia. Dunia seni tetap perlu bergerak untuk menghidupkan industri seni khususnya di negara ini dalam pendekatan norma baharu dan kebiasaan baharu.

Dalam kemuraman dunia seni kreatif tanah air yang terbeban dengan gelombang pandemik, kita juga sebenarnya menangisi kehilangan tokoh seniman dan penggiat seni yang meninggalkan kita pada tahun lepas.

Kehilangan yang sukar diganti dan yang pastinya turut memberikan kesan yang bukan sedikit kepada dunia seni kreatif negara.

Mereka ialah seniman tersohor negara yang sekian lama bersama-sama kita, memberikan kita sebahagian erti kehidupan melalui sumbangan seni dan kreativiti mereka. Kita bukan sahaja senang dan terhibur dengan mereka tetapi kita turut hidup dan membesar dengan karya-karya mereka.Dalam tulisan ini, kita mengenang kembali sejumlah karyawan seni yang meninggalkan kita pada tahun 2021.

Allahyarham Jamali Shadat ialah penghibur dunia seni tanah air yang terkenal dengan watak Atan.

Berita yang tidak terduga dalam dunia seni tanah air itu bermula pada 3 Februari 2021 apabila kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak terkenal, Datuk Jamali Shadat. Bakat dan keupayaan Jamali Shadat sebagai pelawak yang berdiri di hadapan penonton atau stand-up comedian mula dikenali setelah memenangi Pertandingan Bakat TV 1971.

Beliau berkebolehan melakukan lawak ventrilokisme, iaitu mampu meniru suara rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Jamali dikenali dengan watak Atan, kanak-kanak nakal tetapi bijak bersama-sama Atuknya yang dimainkan oleh pelawak Hamid Gurkha. Jamali dan Hamid Gurkha menjadi pasangan pelawak yang cukup terkenal pada era 1970-an bersama dengan satu lagi pasangan pelawak terkenal, iaitu A.R. Badul dan R. Jaafar.

Melalui persembahan lawak jenakanya, Jamali Shadat dan Hamid Gurkha membawa jenaka tentang kehidupan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum secara cukup bersahaja. Sememangnya Jamali sedari awal persembahan lawak jenakanya sentiasa mengangkat tema dan cerita tentang keharmonian kaum di negara ini.

Allahyarham Abu Bakar Omar tekenal kerana keupayaannya membawakan watak dengan cukup berkesan.

Pada tahun lepas juga, kita dikejutkan dengan berita pemergian pelakon drama terkenal, Abu Bakar Omar. Pelakon ini terkenal kerana keupayaannya membawakan watak dengan cukup berkesan, sama ada di atas pentas teater atau dalam drama televisyen dan filem. Kehebatan Abu Bakar Omar sebagai pelakon teater diakui oleh Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan dan Abu Bakar adalah antara pelakon yang sentiasa ada dalam teater-teater arahan Noordin.

Abu Bakar Omar mula terlibat dalam drama televisyen pada tahun 1980 dengan drama pertamanya, Penari terbitan RTM. Sejak itu, Abu Bakar berlakon dalam puluhan drama televisyen dan filem.

Kehebatan lakonan Abu Bakar terserlah apabila beliau memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Sri Angkasa melalui drama TV Senja Belum Berakhir (1983) dan kemudian sebagai Pelakon Terbaik dalam drama radio Bukan kerana Kasih (1990). Beliau menang lagi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Drama TV Bila Kompang Berbunyi (2001). Abu Bakar turut memenangi Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Skrin melalui drama Gincu Ayah (2012) dan Pelakon Pembantu Terbaik melalui drama Mata Hati (1999).

Selain terkenal sebagai pelakon drama televisyen khususnya pada dekad 1980-an hingga 2000-an, Abu Bakar turut berlakon sebagai Jusuh dalam filem pertamanya, Tsu-Feh Sofiah (1981) arahan Rahim Razali. Selepas itu, kekuatan lakonannya terserlah dalam sejumlah filem, antaranya, Bila Hati Telah Retak, Rahsia, Fenomena, Hingga Hujung Nyawa dan dua filem terakhirnya, Anak Jantan dan Mana Mau Lari? (2014). Abu Bakar Omar meninggalkan kita pada 16 April 2021.

Allahyarham Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tawil.

Generasi baharu mungkin ada yang tidak mengenali pelakon ini jika disebut nama Tawil atau nama sebenarnya, Abu Bakar Ahmad. Namun demikian, nama Tawil sebagai pelakon drama dan filem cukup terkenal sekitar dekad 1970-an.

Biarpun Tawil lebih terkenal sebagai pelakon pembantu, namun beliau telah terlibat dalam ratusan drama sama ada di pentas bangsawan, teater, drama televisyen dan filem.

Tawil mula bergiat di pentas teater dan bangsawan pada tahun 1971 seangkatan dengan pelakon drama terkenaal Razali Buyong, dan seterus itu banyak terlibat dalam drama-drama Potret Pekerti dan Drama Minggu Ini terbitan RTM.

Sebagai pelakon filem, Tawil bermula dengan filem Prebet Lapok (1979) arahan Aziz Sattar, lakonannya bersama-sama A.R. Badul. Sebagai pelakon sama ada drama TV atau filem, Tawil lebih diingati dengan watak-watak komedi. Watak komedi yang dilakonkannya cukup bersahaja dan beliau selalunya berlakon bersama-sama A.R. Badul.

Antara filem lakonannya yang berjaya menyerlahkan keupayaanya ialah filem Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga dan Penyamun Tarbus. Drama televisyen terakhir lakonan beliau ialah Taubat Seorang Samseng (2013). Selepas itu, nama Tawil seakan-akan senyap dari arena drama TV dan filem. Beliau meninggal dunia pada 23 Julai 2021.

Allahyarham Baharuddin Haji Omar terkenal dengan gelaran Anjang Aki.

Tahun 2021 juga menyaksikan kita kehilangan seorang pelakon terkenal, iaitu Baharuddin Haji Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki. Sungguhpun Anjang Aki pada asalnya seorang anggota tentera, tetapi jiwa seninya telah membawa beliau ke dunia drama dan filem. Beliau mula bergiat dengan drama pentas sekitar tahun 1950-an. Apabila negara memulakan siaran televisyen (RTM) pada tahun 1963, Baharuddin mula berjinak-jinak dengan drama televisyen. Antara dramanya yang terawal ialah Tanah Pusaka (1967), Perajurit Pulang (1968) dan selepas itu, beliau banyak berlakon dalam slot drama Potret Pekerti dan Drama Minggu Ini, iaitu drama yang semuanya diterbitkan oleh RTM.

Namun begitu, drama yang benar-benar mengangkat nama beliau ialah drama Anjang Aki. Dalam drama ini, Baharuddin memegang watak seorang lelaki tua yang dipanggil Anjang Aki yang saban petang berada di pengkalan perahu tambang di Perak menunggu kepulangan anak lelakinya, seorang pegawai dari kota (lakonan Ismail Hudson). Sungguhpun dia seakan-akan dipinggirkan oleh orang kampung kecuali seorang gadis bernama Odah (lakonan Dian P. Ramlee) yang selalu mengambil berat tentang dirinya, namun Anjang Aki tetap yakin bahawa anaknya akan pulang. Keberkesanan lakonan beliau memegang watak seorang tua yang terpinggir dan sensitif dengan loghat Peraknya yang tebal menjadikan drama itu sukar dilupakan.

Drama Anjang Aki pernah menjadi fenomena drama TV di negara ini dan sejak itu, Baharuddin sinomim dengan nama Anjang Aki.

Drama Anjang Aki diterbitkan dalam enam siri dan diarahkan oleh Abdul Aziz Abbas, pada asalnya merupakan sebuah drama pentas berjudul Penantian karya Al-Taha atau Abdul Talib Hassan, seorang penulis dari Perak. Drama Penantian adalah antara drama yang memenangi pertandingan penulis drama pentas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Aziz Abbas yang menjadi panel penilai pertandingan ketika itu merasakan bahawa drama Penantian itu cukup menarik jika dapat diadaptasikan kepada drama televisyen.

Selain banyak terlibat dengan drama televisyen, Baharuddin Haji Omar turut berlakon filem. Antara filem lakonannya ialah Pertentangan, Ribut Barat, Dia Ibuku, Abang, Ali Setan II, Irisan-Irisan Hati dan Kisah Seorang Biduan. Selain berlakon drama dan filem, Baharuddin Haji Omar juga aktif dalam persatuan yang membela kebajikan artis tanah air. Beliau pernah menjadi Presiden SENIMAN selama tiga penggal, dan pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga FINAS serta pernah menjadi Ahli Lembaga Penapis Filem (LPF) Malaysia.

Mereka karyawan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap kreativiti seni mereka. Melalui karya-karya mereka itulah, mereka menghiburkan, mengingatkan dan menyedarkan kita tentang ombak realiti kehidupan yang penuh cabaran dan pelbagai kemungkinan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.