Oleh Aisyah A.
20 Januari 2022, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaludin mengadakan sesi libat urus bersama-sama Persatuan Industri Pelancongan (UMRAH) bagi mendapatkan maklum balas berhubung dengan hala tuju pelancongan umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa, semalam.

Sumber: Facebook rasmi MOTAC.

Terdahulu, YB Khairy dalam sidang media yang diadakan telah memutuskan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan, berkuat kuasa pada 8 Januari lalu untuk memberikan laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Sesi libat urus ini turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Jabatan Imigresen Malaysia, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) dan The Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA), selain ahli pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kedua-dua menteri dalam sesi libat urus ini telah menyatakan komitmen untuk memperhalusi isu yang telah dikemukakan oleh pemain industri pelancongan umrah seperti SOP pelaksanaan umrah, bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, bantuan pemulihan kepada industri pelancongan, serta garis masa pembukaan semula perjalanan pelancongan umrah dan mengemukakan cadangan penambahbaikan dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 yang akan datang.

YB Khairy dalam kenyataan media di Parlimen awal Januari lalu menyatakan bahawa kerajaan pasti akan membuka semula perjalanan umrah tetapi dalam keadaan yang lebih selamat kerana baru-baru ini, kes jangkitan COVID-19 terutamanya varian Omicron telah menular dan sekali gus telah meningkatkan angka jangkitan virus itu.

Beliau juga berkata, “Antara langkah kemas kini SOP umrah yang akan dilakukan ialah menggariskan pengambilan dos penggalak sebagai syarat keperluan jemaah umrah, pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi serta pemantauan status kesihatan jemaah di negara berkenaan.”

Beliau menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengamalkan dasar pilih kasih di sebalik keputusan penangguhan tersebut, namun keputusan itu diambil berdasarkan fakta dan pemerhatian semasa bagi jumlah kes COVID-19.

YB Khairy turut mengumumkan bahawa tanggungjawab agensi pelancongan atau ejen pengendali pakej umrah akan turut diperkukuh bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan jemaah dan petugas, selain melaporkan kes positif dan kontak rapat kepada KKM.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.