Oleh A. Wahab Hamzah
28 Januari 2022, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam makalah bertajuk “Tahun 2021: Perginya Seniman yang Berjasa kepada Khazanah Seni Negara”, penulis menyampaikan mengenai kemuraman dunia seni kreatif tanah air yang menangisi kehilangan tokoh seniman dan penggiat seni yang pergi menghadap Ilahi pada tahun 2021, iaitu Allahyarham Datuk Jamali Shadat, Allahyarham Abu Bakar Omar, Allahyarham Abu Bakar Ahmad (Tawil) dan Allahyarham Baharuddin Haji Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki. Penulisan makalah pada kali ini merupakan kesinambungan daripada pengisahan pemergian penggiat dunia seni Malaysia pada tahun lalu.

Tidak lama selepas pemergian Anjang Aki, negara kita dan peminat seni suara tanah air dikejutkan dengan pemergian penyanyi terkenal bersuara hebat, iaitu Siti Sarah Raissuddin. Penyanyi bersuara emas ini, walaupun sudah bergiat aktif dalam dunia nyanyian seawal usia belasan tahun, tetapi bakat dan kehebatan suaranya menyerlah apabila dia berjaya ke peringkat akhir pertandingan Bintang RTM 2001. Kejayaan dalam Bintang RTM itu menjadi batu loncatan kepada Siti Sarah untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Selain Bintang RTM, Siti Sarah pernah memenangi tempat ketiga pertandingan One in a Million Musim Kedua pada tahun 2007/2008. Beliau pernah mewakili negara ke World Championship of Performance Arts (WCOPA) 2009 dan telah berjaya membawa pulang tiga pingat emas untuk negara.

Sebagai penyanyi, Siti Sarah telah menghasilkan tiga buah album bermula dengan album Kesetiaan (2002). Antara lagu nyanyian Siti Sarah yang terkenal ialah Kesetiaan, Ku Teruskan, Ke Hujung Dunia, Pesan Mamaku, Saat Hilang Cintamu, Jangan Kau Mimpi, Tinggalkan Diriku, Mimpi pun Sama, Bersamamu, Cinta itu Nyawa (duet bersama Shuib) dan Semakin.

Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang nyanyian, Siti Sarah telah memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003. Beliau juga telah memenangi anugerah Artis Baharu Wanita Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2003.

Siti Sarah merupakan anak kepada Raissuddin Hamzah, penyanyi dan pelakon drama era 1980-an. Siti Sarah berkahwin dengan pelawak Shuib Sepahtu pada tahun 2011 dan mereka dikurniakan empat orang anak. Namun demikian, Siti Sarah telah menjadi korban COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Pemergian Siti Sarah dalam usia muda bukan hanya kehilangan besar kepada industri seni hiburan negara, tetapi kita juga kehilangan seorang penyanyi bersuara hebat dalam generasinya.

Mengakhiri tahun 2021, industri seni negara dikejutkan pula dengan berita pemergian mengejut pengarah filem dan penulis lakon layar terkenal, Mamat Khalid pada 24 Oktober 2021. Mamat Khalid ialah adik kepada kartunis terkenal negara, iaitu Datuk LAT.

Mamat Khalid merupakan seorang auteur. Filem-filem arahan Mamat Khalid bukan sahaja mempunyai identiti dan stailnya yang tersendiri, tetapi filem-filem komedinya selalunya membawa kritikan sinis berhubung dengan perkembangan sosial dan politik semasa masyarakat negara ini. Sungguhpun kekuatan Mamat Khalid lebih dikenali melalui filem-filem komedinya, tetapi Mamat Khalid juga telah menghasilkan lakon layar filem Puteri Gunung Ledang (2004) arahan Saw Thian Heng.

Mamat Khalid bermula dengan drama televisyen, iaitu drama Namaku Yassin (1996) yang disiarkan oleh NTV7. Selepas itu Mamat menghasilkan drama Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel (1998) dan dengan drama ini, nama Mamat Khalid mula diberikan perhatian. Antara tahun 1996 hingga 2019, Mamat telah menghasilkan tidak kurang 12 buah drama TV. Antara yang cukup diingati ialah drama 15 Puasa (2004), 16 Puasa (2015) dan 17 Puasa (2019). Kejayaan siri drama tentang puasa ini menyebabkan Mamat melanjutkannya menjadi karya filem, iaitu 18 Puasa di Kampung Pisang (2020). Mamat juga turut menghasilkan tiga buah drama bersiri dan antara yang cukup terkenal ialah Kampung Pisang Bersiri-siri (2020 − 2021).

Kebanyakan karya Mamat Khalid mengambil latar dan suasana di Perak, iaitu latar dan sosiobudaya yang dekat dengan Mamat Khalid sendiri.

Sebagai penulis dan pengarah filem, Mamat Khalid bermula dengan filem komedi Lang Buana (2003). Filem terakhir tulisan dan arahan Mamat Khalid adalah 18 Puasa di Kampung Pisang (2020). Pada tahun 2021, Mamat sebenarnya ada menghasilkan sebuah filem pendek, iaitu Kampung Pisang Kita Setandan.

Sebagai pengarah filem, Mamat Khalid sebenarnya telah menulis dan mengarahkan tidak kurang daripada 23 buah filem. Kejayaan besar filem-filem Mamat Khalid bermula dengan filem Zombi Kampung Pisang (2007). Filem seram (horror)-komedi ini ialah sebuah parodi filem genre seram zombi yang dipopularkan kembali oleh George A. Romero pada tahun 1968 melalui filem Night of a Living Dead.

Selepas kejayaaan filem Zombi Kampung Pisang, Mamat menghasilkan pula filem neo-noir Kala Malam Bulan Mengambang (2008). Filem ini bukan sahaja memberikan Mamat anugerah Pengarah Terbaik, tetapi filem Kala Malam Bulan Mengambang turut memenangi Anugerah Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008. Namun begitu, kejayaan komersial paling besar filem arahan Mamat Khalid ialah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).

Kebanyakan filem karya Mamat Khalid mengambil latar dan suasana di Perak, iaitu latar dan sosiobudaya yang dekat dengan Mamat Khalid sendiri. Bukan itu sahaja, minat Mamat Khalid yang begitu mendalam terhadap muzik terutama muzik rock sehinggakan beliau boleh bermain alat muzik dan bertanggungjawab menubuhkan kumpulan bandnya sendiri, iaitu Drop Out (1986). Minatnya terhadap muzik menjadi inspirasi untuk Mamat menghasilkan empat buah filem berlatarkan rock, iaitu Rock (2005), Rock Ooo (2013), Rock Bro (2016) dan Rock 4: Rockers Never Dai (2020).

Mamat Khalid telah berkarya selama 25 tahun dari tahun 1996 hingga 2021. Dalam tempoh 25 tahun itu, Mamat begitu prolifik dan telah memberikan kita 23 buah filem, 12 buah drama televisyen dan tiga drama bersiri. Sebagai karyawan filem, Mamat Khalid ialah seorang auteur, pemikir dan pemerhati yang sensitif setiap sisi masyarakatnya untuk diangkat sebagai subjek dalam filem-filemnya. Sebagaimana idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, filem-filem Mamat Khalid juga sarat dengan pemikiran dan kritikan sinis masyarakat.

Selain mengarah filem, Mamat Khalid ialah pengasas dan pengusaha galeri kafe Sarang Art Hub, sebuah bangunan bekas rumah lama kerajaan di Tanjung Malim yang telah dijadikan ruang galeri pameran segala memoriblia filem dan muzik serta sebuah kafe. Sebagai mengenang jasa dan karya-karya seni Mamat Khalid, adalah baik jika kerajaan mengekalkan galeri ini sebagai Sarang Art Hub Mamat Khalid. Sudah pasti Sarang Art akan menjadi tumpuan para pencinta filem tanah air khususnya filem-filem Mamat Khalid, dan pada masa yang sama boleh menjadi tarikan pelancong ke Tanjung Malim.

Selain seniman dan karyawan yang telah dibicarakan, pada tahun 2021 juga kita telah kehilangan sejumlah seniman dan para penggiat seni iaitu, pelakon drama Norhayati Taib (7 April); dramatis dan pelawak, R. Romasundram (26 Mei); pelakon veteran, Julie Faridah (30 Mei); penyanyi Tony Iskandar atau dikenali juga sebagai Tony Spider (30 Jun); penyanyi nasyid, Azizan Rabbani (7 Julai); pelakon drama, Benjy Ibrahim (juga anak pelakon Azean Irdawati) pada 11 Julai; penyanyi Mimiloma, iaitu adik kepada biduanita negara Saloma pada 21 Ogos; malah kita turut kehilangan pelakon Fetty Dzul pada 18 November. Kita juga turut merasakan kehilangan pelakon teater yang cukup berwibawa, iaitu Mazlan Tahir yang meninggal dunia pada 21 Oktober 2021.

Mereka para seniman, pengarah filem, penyanyi, pelakon dan pelawak, iaitu karyawan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap kreativiti seni mereka. Melalui karya-karya itulah mereka menghiburkan, mengingatkan dan menyedarkan kita tentang ombak realiti kehidupan yang penuh cabaran dan pelbagai kemungkinan.

Kita akan sentiasa mengingati mereka sebagai seniman dan karyawan yang telah memberikan komitmen dan keikhlasan dalam karya-karya mereka. Malah, karya-karya seni mereka itu akan terus hidup bersama-sama kita demi mengisi khazanah seni warisan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.