1 Februari 2022, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia sebuah negara yang unik. Negara yang memiliki kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat pelbagai keturunan bangsa yang sentiasa rukun damai dan saling menghormati antara satu sama lain. Sejarah lampau telah membuktikan, kemakmuran rantau ini bukan sahaja kepada geografi bentuk muka bumi dan cuacanya serta angin yang bertiup, tetapi dapat dirasakan keluhuran masyarakat rantau ini atau disebut Alam Melayu, masyarakat yang penuh dengan budi pekerti dan selalu meraikan tetamu yang hadir berurusan dengan mereka.

Sifat orang Melayu yang terkenal dengan kesopanan dan keluhuran hati budi ini terkenal di serata dunia. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika perkara ini merupakan hal pertama yang menjadi faktor penarik kepada banyak pihak untuk mendatangi Alam Melayu, selain daripada pesatnya aktiviti perdagangan serta maritim yang berlaku di sini pada ketika itu khususnya pada abad ke-15 Masihi sebelum Kesultanan Melayu Melaka dijarah oleh penjajah.

Kemakmuran ini sentiasa sahaja memporakperandakan mereka yang tamak dan tidak hairanlah pelbagai kuasa asing mendatangi negara ini seperti yang direkodkan sejarah hanya kerana mahu merebut “permata” yang terunggul di rantau ini. Suatu masa dahulu, masyarakat di sini berhati “permata” dan tanah serta udaranya juga begitu. Sejarah ini tidak boleh kita abaikan begitu sahaja. Takdir juga telah menemukan kita, serta hidup dalam kemakmuran dilimpahi rahmat Yang Maha Kuasa.

Sejak merdeka, kita memahami hidup rukun damai pelbagai bangsa dan budaya dalam negara ini. Kita mengasuh anak-anak supaya saling meraikan kepelbagaian bangsa serta keunikan budaya. Rukun Negara menjadi paksi anak-anak kita memahami perpaduan hidup berbumbungkan langit yang sama, membina keluarga sehingga berjaya di tanah yang sama, dan kiblat kita tentang semangat negara bangsa juga kepada negara yang sama, kesemuanya kita pupuk dan semai dengan kasih sayang, agar generasi seterusnya memahami bahawa berseteru serta mengkhianati Rukun Negara akan menyebabkan perpaduan kita ibarat telur di hujung tanduk.

Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 dan Hari Wilayah pada hari ini, kami bersama-sama menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa-apa bangsa serta usia agar bersama-sama memahami dan menghayati kehidupan kita yang saling rukun damai dalam negara yang kita cintai ini. Mari sama-sama kita renungkan semangat yang ada pada Pak Belang. Dalam sastera Melayu khususnya kisah haiwan tauladan, harimau menjadi subjek penting dalam khazanah sastera kita dalam menyampaikan mesej yang mengandungi pendidikan untuk kita renungkan. Selain harimau, haiwan seperti kancil, arnab, kura-kura, monyet, buaya dan kerbau juga memiliki keistimewaan tersendiri.

Adakah ibu bapa muda hari ini masih berkongsikan kepada anak-anak tentang kisah haiwan tauladan ini? Menurut sahabat, dalam al-Quran juga ada kisah-kisah haiwan yang diceritakan yang sudah tentu mempunyai maksud atau perlambangan tertentu untuk difahami oleh semua yang membaca kitab suci bagi orang Islam ini.

Sama ada bersumberkan khazanah sastera lisan atau daripada kitab suci, keseluruhannya sudah tentu mempunyai pendidikan atau mesej kebaikan yang hendak disampaikan kepada manusia hingga hari ini. Begitu juga dalam masyarakat Cina, kisah tentang 12 ekor haiwan dalam kalendar Cina merupakan kisah yang amat menarik dan penuh dengan simbolik.

Dalam perkongsian tahun lalu, seorang penyampai dari DBP amat teruja memberitahu kepada umum bagaimana beliau turut memahami apabila kucing tidak disenaraikan antara daripada 12 ekor haiwan tersebut, iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi. Keprihatinan beliau tentang kepercayaan masyarakat Cina berkaitan dengan haiwan ini membuktikan bahawa beliau turut meraikan kepelbagaian budaya dan juga sastera.

Dua belas ekor haiwan dalam kalendar Cina.

Setiap ekor haiwan yang dinamakan dalam pengisahan Maharaja Jed ini diundang bagi menjayakan perlumbaan yang dianjurkan oleh maharaja. Perlumbaan tersebut diadakan untuk menentukan haiwan yang manakah yang akan berjaya, kisah ini apabila dihubungkan kepada manusia melambangkan hasrat seseorang dalam mencapai cita-citanya serta halangan yang ditempuhi sebagai ujian manusia dengan kehidupannya. Oleh sebab itu, 12 ekor haiwan ini dimasukkan dalam kalendar Cina kerana kejujuran mereka menjayakan perlumbaan yang dianjurkan oleh maharaja. Pun begitu, kucing yang ada muslihat dengan tikus, akhirnya tidak tersenarai.

Setiap haiwan mempunyai karakter tersendiri. Kelemahan dan kekuatan seseorang yang lahir pada tahun haiwan yang dilahirkan akan merujuk haiwan tersebut. Contohnya pada tahun ini, tahun harimau, seseorang yang lahir pada tahun ini dalam penelitian karakter masyarakat Cina berdasarkan haiwan tersebut merupakan seorang yang agresif, berani dan bersemangat dalam perjuangan.

Belakangan ini, kita didedahkan tentang kisah nyata Pak Belang yang menerima kesan akibat penerokaan hutan serta aktiviti pembalakan yang tidak terkawal. Kes Pak Belang yang hilang habitatnya menyebabkan pelbagai pihak kini serius melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap pencerobohan hutan serta perlindungan haiwan liar.

Dilaporkan kini cuma tinggal tidak lebih 200 ekor Harimau Malaya. Sekiranya kita tidak melakukan sesuatu dengan lebih serius dan terancang, haiwan yang menjadi lambang negara Malaysia akan pupus dan generasi kita hanya akan dapat melihat Pak Belang yang tidak bernyawa di Jata Negara sahaja.

Adakah kita sanggup untuk kehilangan Pak Belang selama-lamanya daripada kehidupan kita kerana kerakusan kita serta sikap ambil mudah kita kepada pemeliharaan serta perlindungan kepada spesies haiwan yang dilindungi ini? Saya bimbang, haiwan yang menjadi simbol kepada semangat juang yang tinggi pejuang-pejuang nasionalisme terdahulu untuk kemerdekaan negara, akan lenyap daripada penglihatan dan pandangan kita sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh mengatasi hal ini.

Bersempena dengan Sambutan Tahun Baharu Cina ini, kami ingin menyampaikan pesanan kepada semua pihak khususnya pihak berwajib, dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya bagi memastikan haiwan yang menjadi simbol keberanian dan kekuasaan negara Malaysia ini akan dapat dilindungi dan jumlahnya akan dapat bertambah pada masa-masa akan datang.

Dari belantara sehingga dimasukkan dalam kalendar Cina dan berdiri gagah di Jata Negara, kami membawakan perspektif yang sangat halus dan murni kepada para pembaca berkaitan Pak Belang. Dari satu sudut kita melihatnya sebagai haiwan yang liar, ganas dan menakutkan, tetapi ada yang dapat kita pelajari daripada semangat Raja Rimba ini, iaitu semangat perjuangan tidak pernah akan terpadam.

Bertiup angin dari banjaran, bersama segarnya udara alam semesta, pepohon gagah tegak berdiri, belantara menangis sudahpun kita dengar, Pak Belang, kami memahat janji, Pak Belang akan kekal menjadi simbol keberanian dan semangat juang generasi Malaysia pada masa-masa akan datang. Selamat Tahun Baharu Cina 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.