Oleh Rasfan Abu Bakar
7 Februari 2022, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hasil karyanya sangat kreatif dan begitu teliti. Susun atur komposisinya juga sangat kemas dan tidak ada ruang yang dibazirkan. Gubahan yang menarik ini ialah hasil tangan pelukis yang bernama Nadya A. Kamal, seorang pengkarya wanita muda tanah air yang begitu aktif berpameran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Nadya yang berasal dari Sabak Bernam ini berkata bahawa dalam keluarganya tiada seorang pun yang minat melukis. Berbeza buat dirinya, Nadya sangat menggemari aktiviti melukis dan ketika belajar di Maktab Rendah Sains MARA Pendang, Kedah, Nadya mengambil subjek tambahan Pendidikan Seni dek kerana minatnya yang begitu mendalam.

Setelah itu, Nadya tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menyambung pendidikan seni dalam bidang Diploma Seni Halus Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Melaka. Kemudian, Nadya meneruskan lagi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang yang sama di kampus UiTM Shah Alam, Selangor. Kini, Nadya berasa puas kerana dapat menjadikan minat tersebut sebagai satu karier kerana berjaya menjadi seorang pensyarah seni lukis di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

The Journey – Self Reflection, Nadya A. Kamal.

Bercerita tentang minatnya dalam bidang ini, Nadya berkata bahawa sejak berusia lima tahun lagi, beliau sudah minat melukis. Perkara ini terjadi ketika melihat ibunya menulis sesuatu di atas kertas. Bermula pada saat itu, Nadya mula berasa kagum dengan kebolehan kawalan tangan yang memegang pen dan seterusnya menghasilkan stroke yang menarik di atas kertas.

Selain itu, Nadya juga mula berjinak-jinak melukis komik dan majalah kanak-kanak. Antara majalah yang digemarinya ialah komik Sailormoon.  Melalui komik ini, Nadya mula meniru lukisan kesemua karakter komik ini terutama stroke garisan yang ada pada figura, arkitektur, pakaian, serta efek latar belakangnya. Aktiviti melukis semula komik ini menjadikan dirinya lebih mahir dalam pengawalan stroke serta kualiti garisan yang kemudiannya menjadi identiti dalam karya yang dihasilkan.

Proses Berkarya

Nadya menghasilkan karya dengan pelbagai media tetapi lebih cenderung kepada media kering seperti pensil, arang, pastel dan pen. Hal ini dikatakan demikian kerana Nadya sangat berminat dan menggemari kesan yang dihasilkan oleh garisan. Kepelbagaian, pengulangan dan pertindihan garisan memberikan kepuasan yang signifikan berbanding dengan campuran warna.

Kualiti garisan juga merupakan aspek penting kerana memberikan kesan ekspresi yang tersendiri selain memberikan impak emosi buat dirinya serta audiens yang melihatnya. Ketebalan dan kenipisan garisan menghidupkan sesuatu komposisi gubahan kerana karakter garisan itu sendiri sudah cukup membangkitkan rasa tanpa perlu menambah apa-apa media lain seperti warna. Lebih daripada itu, Nadya juga berkata bahawa setiap objek yang dilihat di sekelilingnya sering dirungkaikan kepada bentuk garisan dan garisan yang melengkung pula akan menjelma kepada sesuatu bentuk. Pandangan yang berbentuk ilusi ni sering berlaku dalam mindanya berikutan kecintaannya pada elemen garisan.

Stay Safe, tahun 2020, Nadya A. Kamal, ballpen on paper, 14 x 14 sentimeter.

Tambah Nadya lagi, melukis merupakan satu proses yang membolehkan kita menjadi pemerhati yang baik dan juga membuatkan kita melihat sesuatu subjek secara menyeluruh dalam konteksnya. Lukisan serta elemen garisan juga mengajar Nadya bahawa setiap perkara wujud lebih daripada sekadar permukaan, setiap elemen di sekeliling memainkan peranan dalam kewujudan tersebut dan elemen-elemen ini mempengaruhi bagaimana subjek itu dilihat.

Bagi menghasilkan sesuatu lukisan itu, Nadya akan bermula dengan melakar menggunakan pensel. Ideanya pula merupakan olahan daripada gambar yang dirakamnya sendiri. Melalui gambar tersebut, Nadya akan mula menghasilkan komposisi kreatif dengan membuang atau menambah sesuatu objek agar gubahanya menjadi seimbang dan menarik. Ketepatan garisan, kualiti garisan, sudut pandang serta perspektif ruang adalah elemen yang menjadi kunci utama dalam setiap karya yang dilukis.

Concubine Lane, Nadya A. Kamal.

Setelah berpuas hati dengan komposisi tersebut, maka Nadya akan mula menggunakan pen bagi menyiapkan keseluruhan karya tersebut. Pen menjadi pilihan utama kerana sifatnya yang tahan lasak di samping mudah untuk digunakan. Nadya memilih pena mata bulat kerana sifatnya yang kering dan tidak mudah kotor. Pen ini berbeza daripada pen dakwat basah kerana walaupun kesannya menarik, tetapi dakwat pen ini mudah kembang dan tidak kalis air.

Dari sudut yang lain, pena mata bulat sangat efektif. Harganya yang murah serta mudah didapati menjadikan bahan ini pilihan utama buat Nadya. Menurutnya lagi, hanya berbekalkan sebatang pen sahaja Nadya dapat menghasilkan banyak karya tanpa perlu memikirkan hal-hal yang lain. Berbeza dengan penggunaan arang atau pensel, media ini mudah patah dan tumpul dan hal ini akan melambatkan lagi proses untuk melukis.

Ditanya tentang seniman yang sentiasa menjadi rujukannya, Nadya berkata antara artis yang menjadi inspirasi buatnya ialah Edgar Degas, Albrecht Durer, Henri de Toulouse-Lautrec, Alfonso Dunn dan Redmer Hoekstra. Nadya juga menamakan beberapa seniman tempatan yang tidak kurang hebatnya seperti Jalaini Abu Hassan, Haslin Ismail, Shamsuddin Wahab, Ilse Noor dan Khairuddin Zainudin. Menurut Nadya, mereka bukan sahaja sangat cekap dan mahir (skillful), tetapi karya mereka sarat dengan jati diri di samping mengangkat imej tempatan.

Menyentuh tentang perancangan untuk masa akan datang, Nadya berkata, beliau berazam untuk menghabiskan tesis doktor falsafah atau PhD-nya. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai seorang ahli akademik, Nadya perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuanya dengan melakukan pelbagai kajian ilmiah di samping terus aktif berkarya. Kedua-dua perkara ini akan memberikan sumbangan kepada perkembangan dunia seni visual tanah air agar sentiasa segar dengan idea baharu.

 

Penulis merupakan Dekan Fakulti Animasi dan Multimedia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.