17 Februari 2022, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Citrawarna Malaysia akan kembali dilangsungkan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2017. Pada tahun ini, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah yang akan menganjurkan program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang bakal diadakan di Kuching Waterfront, Sarawak bermula pada 24 hingga 27 Februari nanti.

Citrawarna ialah program promosi pelancongan yang memperagakan kebudayaan, pakaian, tarian dan nyanyian rakyat Malaysia. Citrawarna dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Tourism Malaysia dan pelbagai pihak lain. Menelusuri sejarah panjang Citrawarna, program ini sudah dilangsungkan sejak tahun 1999 sehingga penganjurannya yang terakhir pada tahun 2017 yang lalu.

Dalam temu bual ringkas bersama-sama saluran radio Nasional FM, Encik Radzi Omar selaku Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Acara MOTAC berkata, “Suka saya untuk memaklumkan bahawa penganjuran Citrawarna pada tahun ini adalah secara fizikal tetapi terikat dengan pematuhan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Acara ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada malam 26 Februari 2022 bermula pada pukul 8.30 malam.”

Mengulas lebih lanjut berkenaan dengan acara ini juga, beliau berkata, “Matlamat utama penganjuran acara ini adalah untuk mendekatkan masyarakat umum khususnya di negeri Sarawak dengan kepelbagaian seni budaya dan pelancongan Malaysia. Program ini juga adalah bersempena pengiktirafan bandar raya Kuching sebagai Bandaraya Gastronomi oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).”

Menjadi hasrat kita juga untuk memberikan peluang kepada orang ramai menyaksikan sendiri Citrawarna secara fizikal terutamanya selepas lebih dua tahun kita dilanda COVID-19 dan tentu sekali matlamat utama kita adalah untuk mempromosikan seni budaya dan pelancongan khususnya di Sarawak dan umumnya di Malaysia.

Menyentuh berkenaan dengan tema Citrawarna bagi tahun ini, beliau menjelaskan bahawa tema “Temasya Kepelbagaian Bangsa” dipilih bagi memaknakan fiesta kepelbagaian cara hidup, seni, budaya dan makanan rakyat Malaysia yang akan diterjemahkan melalui pelbagai pengisian Citrawarna.

Konsep kepelbagaian budaya ini bakal direalisasikan melalui 14 pengisian utama yang bakal menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk acara selama empat hari berturut-turut tersebut. Antara pengisian yang dirancang ialah Konsert Sape, Festival Kraf Sarawak, Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Pameran Gastronomi, Demonstrasi Food Fusion Negeri-negeri, Food Bazaar, Festival Gendang Sarawak, pameran, jualan dan lain-lain lagi.

Objektif utama program ini dari aspek kebudayaan adalah untuk mempromosikan kekayaan adat, seni, adat resam, kraftangan, keunikan warisan makanan dan kepelbagaian budaya kita kepada masyarakat Malaysia serta pelancong luar. Rakyat juga boleh melihat kepelbagaian cara hidup masyarakat kita di Malaysia terutamanya negeri Sarawak yang mempunyai 29 etnik dan dengan jumlah yang begitu besar pastinya mempunyai kepelbagaian cara hidup.

Penganjuran ini tidak lain tidak adalah untuk mempromosikan pelancongan yang berkonsepkan akar budaya tempatan dengan mengetengahkan budaya dan seni autentik terutamanya yang wujud di Sarawak.

Sarawak dipilih sebagai tuan rumah bertepatan dengan identiti Sarawak sebagai  sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian seni dan budaya serta untuk menyamarakkan lagi kegiatan ekonomi Sarawak. Selain itu, kerajaan berhasrat untuk mendekatkan rakyat Sarawak khususnya dengan kepelbagaian budaya mereka di samping mempromosikan Sarawak yang baru diiktiraf sebagai Bandaraya Gastronomi.

Encik Radzi menzahirkan harapan pihak kerajaan terutamanya MOTAC agar acara ini akan berakhir dengan satu program yang berjaya dan mengharapkan keluarga Malaysia khususnya rakyat Sarawak dapat hadir beramai-ramai memeriahkan acara ini. Rakyat juga diminta agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berwajib. Beliau turut menyuarakan harapan penuh agar seni budaya warisan pelancongan bakal menjadi satu daripada sumber pendapatan utama negara yang akan membantu membangunkan negara ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!