28 Februari 2022, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Tebingan Kuching kembali meriah dengan pameran dan persembahan sempena berlangsungnya Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 selama empat hari, bermula pada 24 hingga 27 Februari 2022. Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak ini kembali menemui khalayak dalam acara pelancongan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2017.

Majlis pelancaran Malam Gala Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 Februari 2022 menampilkan persembahan penuh warna-warni dengan tema kesenian serta kebudayaan, yang diadakan di atas pentas terapung di Sungai Sarawak. Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut hadir dalam majlis pelancaran yang disaksikan oleh warga Bandar Raya Kuching dengan mematuhi Tatacara Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Hanya 350 pengunjung dibenarkan memasuki tapak program pada satu-satu masa dan perlu mendaftar bagi mendapatkan pas masuk bernombor di laluan masuk utama.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Seri Nancy Shukri berkata, “Pemilihan Tebingan Kuching sebagai lokasi penganjuran bertepatan dengan tema ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ apabila kita mempamerkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Sarawak kepada orang luar.” Tambah YB Dato’ Sri Hajah Seri Nancy, konsep pentas terapung untuk acara kebudayaan serta persembahan artis tanah air merupakan antara kelainan yang ternyata menarik perhatian ramai. Mengulas tentang sasaran pengunjung, beliau yakin Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Kuching ini mencapai atau melebihi 50 000 sasaran pengunjung sepanjang empat hari penganjuran Citrawarna di Tebingan Kuching.

Barisan dif kehormat pada Malam Gala Citrawarna.
Sumber foto: Facebook rasmi MOTAC.

Pelbagai aktiviti telah berlangsung untuk hiburan pengunjung, antaranya Festival Gendang Sarawak, Festival Kraf Sarawak, Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Pameran Gastronomi, Demonstrasi Food Fusion Negeri-negeri dan Konsert Sape. Acara lain yang dilihat berjaya menarik kedatangan pengunjung ke Tebingan Kuching ialah pameran makanan tradisional, persembahan bunga api, perarakan perahu tambang, muzikal air pancutan dan persembahan artis popular tanah air dan artis tempatan negeri Sarawak. Sebanyak 53 pengusaha kraf tangan dari seluruh negara mempamerkan produk masing-masing di tapak program Citrawarna yang mengisi setiap ruang yang ada di Tebingan Kuching.

Matlamat utama penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 adalah untuk mendekatkan masyarakat umum, khususnya warga yang berada di Sarawak dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta mempromosikan Bandar Raya Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif pada peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi – World Craft City.

Selain itu, uniknya Citrawarna pada kali ini ialah penganjuran Konsert Sape yang menghimpunkan 257 pemain sape di sepanjang Tebingan Kuching, termasuk di Jambatan Darul Hana pada malam terakhir pada 27 Februari 2022. Konsert Sape bertajuk ““Rentak Kamek Urang” ini berjaya mencatat rekod sebagai persembahan pemain sape teramai dalam satu acara dan tercatat dalam Malaysia Book of Records. Persembahan sape yang cukup memukau halwa telinga khalayak ini menampilkan nama-nama besar dalam persembahan muzik sape seperti Mathew Ngau Jau, Jerry Kamit dan pelbagai kumpulan muzik sape dari seluruh Sarawak.

Selain persembahan sape, acara penutup Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 juga menampilkan persembahan oleh penyanyi tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Dewi Liana Seriasta, Bob Akademi Fantasia, Dayang Nurfaizah, Adrewson,  Nicole Lai, Magen, Fendi Kenali dan penyanyi lagu rakyat, Roslan Madun. Persembahan nyanyian, kebudayaan dan kesenian yang berlangsung selama empat hari diadakan di atas pentas terapung di Sungai Sarawak yang merupakan pentas terapung terbesar yang pernah dibina oleh MOTAC.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!