3 Mac 2022, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Hilir – Kerajaan Negeri Melaka pada 2 Mac 2022 secara rasminya telah menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka.

Nama Bukit St. Paul bakal diwartakan sepertimana nama asalnya, Bukit Melaka. Cadangan ini telah dibuat bagi mengembalikan nilai sejarah tinggi bukit berkenaan yang dimiliki oleh Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Tapak bukit ini juga pernah menjadi tapak istana dan Masjid Agung Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelancong, pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) juga sudah memulakan langkah memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menunjukkan pertukaran nama bukit tersebut sebagai Bukit Melaka.

Gereja St. Paul, Melaka.

Pengurus Besar PERZIM, Mohd. Nasruddin Rahman berkata, “Nama asal bukit ini ialah Bukit Melaka dan nama tersebut merupakan nama yang digunakan sewaktu Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Semasa berlakunya penjajahan, pihak penjajah telah menukar nama bukit tersebut kepada Bukit St. Paul memandangkan bukit tersebut terletak berdekatan dengan Gereja St. Paul.”

Mengulas lebih lanjut tentangan kumpulan yang beranggapan bahawa pewartaan tersebut bakal menjejaskan lokasi atau kedudukan Gereja St. Paul, Mohd. Nasruddin menjelaskan bahawa pertukaran nama bukit tersebut tidak akan menjejaskan nama gereja yang terletak di situ dan tiada apa-apa isu berbangkit berkenaan dengan hal tersebut.

Terdahulu, PERZIM telah mengemukakan cadangan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKNN) agar nama Bukit St. Paul ditukar kepada nama lamanya, iaitu Bukit Melaka. Nama bukit berkenaan telah ditukar oleh pihak Portugis semasa penjajahan mereka ke atas Kerajaan Melayu Melaka suatu ketika dahulu.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!