14 November 2022, 23:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Lebih 1000 keris yang diperbuat dan berasal dari dalam dan luar negara dipamerkan pada Festival Keris Antarabangsa Melaka 2022 (FKAM 2022) yang berlangsung pada 12 hingga 13 November 2022 bertempat di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, Melaka. Sekurang-kurangnya lebih 10 ribu orang pengunjung hadir ke festival ini bagi menyaksikan keunikan pelbagai jenis keris yang dihimpunkan dari serata dunia.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam melawat FKAM 2022.

Program yang julung-julung kali diadakan dan dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu merupakan antara sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Melaka untuk memartabatkan senjata sebagai satu daripada warisan turun-temurun masyarakat Melayu.

Menurut Pengurus Besar PERZIM, Drs. Mohd Nasruddin Rahman, FKAM 2022 yang julung-julung kali diadakan pada skala besar itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Warisan dan Adat Keris Melaka (PEWARIS).

Tambah beliau, penganjuran FKAM 2022 selama dua hari berjaya menghimpunkan para peserta yang juga merupakan pemilik koleksi keris dari seluruh Malaysia dan beberapa buah negara jiran yang lain. Antaranya termasuklah Thailand, Singapura dan Indonesia yang meliputi Kepulauan Riau, Lingga, Bentan dan Makassar.

“Keris adalah senjata yang sangat rapat dengan orang-orang Melayu khususnya dalam dunia Melayu Nusantara. Walau bagaimanapun, budaya ini semakin pupus dan dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda. Oleh hal yang demikian, PERZIM bersama-sama PEWARIS melaksanakan inisiatif untuk melaksanakan satu program yang besar selama dua hari bagi memperkenalkan dan mempromosi budaya, warisan, sejarah dan tradisi keris sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Melayu di Nusantara ini pada zaman dahulu,” ujar Drs. Mohd Nasruddin.

Drs. Mohd Nasruddin sewaktu sedang diwawancara oleh wartawan.

“Berdasarkan potensi yang seiring dalam objektif PERZIM untuk memelihara dan memulihara warisan kebudayaan negeri ini, PERZIM berharap agar program seperti ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun, dijadikan sebagai sebahagian daripada acara pelancongan tahunan serta dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Melaka kerana sambutan dan galakan yang diterima daripada para pengunjung amat positif,” kata Drs. Mohd Nasruddin.

Antara koleksi keris yang terdapat dalam pameran.

Antara yang menarik perhatian sepanjang program FKAM 2022 berlangsung termasuklah pameran keris tertua dari kerajaan Bentan yang dimiliki sejak abad ke-14 dan berusia lebih 600 tahun, pertandingan 10 kategori jenis keris, demonstrasi mengukir hulu keris, menempa serta membuat keris merangkumi mencuci keris dan tayangan wayang pacak filem Mat Kilau.

Drs Mohd Nasruddin turut berkata, antara kategori keris yang dipertandingkan dalam FKAM 2022 termasuklah kategori Keris Bugis Sepokal, Keris Bugis Lok, Keris Saras Besi Sebatang, Keris Alang Besi Sebatang, Keris Malela serta pelbagai lagi.

Keris tertua dari kerajaan Bentan yang berusia lebih 600 tahun.

Majlis Perasmian FKAM 2022 disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Akramuddin Ab. Aziz. FKAM 2022 ini turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.