Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Dalam usaha menerapkan semangat patriotisme orang Melayu serta memartabatkan dan memantapkan jati diri adat, budaya dan warisan, peranan para penghulu dan sidang di Negeri Melaka amat penting bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Justeru, kerajaan negeri Melaka menerusi Persatuan Pengamal-pengamal Adat Melayu (Sidang) Negeri Melaka dan Institut Warisan Melaka (INSWA) telah menganjurkan Seminar Kepimpinan dan Pemerkasaan Adat Melayu dalam kalangan Penghulu dan Sidang Negeri Melaka Tahun 2022 di Bandar Melaka.
Program yang dihadiri kira-kira 250 orang peserta daripada kalangan Penghulu dan Sidang Negeri Melaka yang telah dilantik oleh kerajaan negeri Melaka itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Jabatan Warisan Negara (JWN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Majlis seminar itu dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka mewakili Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta turut dihadiri oleh Encik Nurman Mohd Baroldin, Pengurus Besar INSWA dan Encik Muslihin, Pengerusi Persatuan Pengamal Adat Negeri Melaka.
Dalam ucapan perasmian, Datuk Muhammad Jailani berkata, cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini telah mempengaruhi cara manusia bermasyarakat dan melaksanakan urusan harian.
Selain itu, masyarakat amat memerlukan tunjang adat dan budaya sebagai santapan jiwa yang menjadi teras dalam sosiobudaya rakyat di negara ini serta untuk mengimbangi tahap pengetahuan dan kemahiran masyarakat bandar dan luar bandar khususnya dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.
“Peranan Sidang Negeri Melaka dan INSWA dengan kerjasama pihak-pihak yang berkaitan amat penting dalam usaha menerapkan semangat patriotisme orang Melayu dalam memartabatkan dan memantapkan jati diri adat, budaya dan warisan khususnya kepada para penghulu dan sidang melalui kegiatan ilmiah ini. Dalam konteks ini, kefahaman dan penghayatan terhadap pelbagai aspek jati diri dan adat budaya perlu diperluas terutama dalam kalangan penghulu dan sidang yang baru dilantik,” ujar Datuk Muhammad Jailani.
“Saya percaya seminar yang diadakan ini merupakan satu usaha bagi mencapai hasrat tersebut dan dapat mempertemukan penghulu dan sidang dengan para ilmuwan dalam satu kegiatan intelektual yang merupakan peluang keemasan untuk mencari kesatuan pemikiran dalam kalangan para pengamal adat dan budaya serta para ilmuwan melalui perbincangan dan percambahan fikiran,” jelas Datuk Muhammad Jailani.
Datuk Muhammad Jailani turut menyatakan bahawa kerajaan negeri Melaka sentiasa menyokong dan mendokong setiap usaha untuk memartabatkan adat Melayu dalam kalangan penghulu dan sidang dengan cara mengambil inisiatif melaksanakan program-program seperti seminar tersebut dengan matlamat untuk membina barisan kepimpinan pengamal adat yang lebih komited, patriotik, telus dan akauntabiliti berdasarkan nilai kebenaran, amanah dan toleransi.
Manakala Encik Nurman pula menjelaskan bahawa matlamat seminar itu untuk memberi pendedahan yang lebih meluas tentang tanggungjawab penghulu dan sidang dalam pembangunan pada peringkat kariah, daerah, negeri dan nasional di samping memastikan mereka memahami peranan dan menghayati fungsi adat dengan lebih jelas, teratur dan tersusun dalam usaha memperkasa adat Melayu di negeri Melaka.
Tambah beliau, hubungan baik antara para pengamal adat dan budaya dengan pemimpin amat penting dan perlu dipererat kerana kedua-dua pihak saling memerlukan dan melengkapi antara satu dengan yang lain untuk memperkasakan warisan adat budaya Melayu yang kian dilupakan pada abad ini.
“Pemupukan budaya kepimpinan jati diri yang berwibawa, berdisiplin, berdaya maju dan bertanggungjawab hendaklah diterapkan dan menjadi fokus utama yang melibatkan golongan pengamal adat dalam setiap program dan aktiviti yang dijalankan.
Selain itu, jati diri bukan sekadar berfungsi untuk membentuk kelakuan individu berkaitan dengan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat, tetapi juga sebagai pendorong, penggerak dan peledak dalam mempertahankan harga diri, maruah agama, bangsa dan tanah air,” kata Encik Nurman.