17 Disember 2022, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan program Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 (Kem 4K) dari 19 hingga 24 Disember 2022, jam 8.30 pagi hingga 10.30 malam di Kompleks JKKN Melaka dan Amverton Heritage Resort Melaka, manakala Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang pula akan diadakan pada 23 Disember 2022 dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Panggung Seri, Kompleks JKKN Ayer Keroh.

Poster Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 dan Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang.

JKKN dalam satu kenyataannya berkata, program itu merupakan salah satu teras utama JKKN, iaitu memperluaskan asuhan dan kemahiran seni budaya untuk pembangunan modal insan negara.

Menurut kenyataan tersebut, hal itu adalah selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang menetapkan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Maju Rakyat Berbudaya bersandarkan kepada pendekatan budaya nilai tinggi.

Program Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 ini dijangka akan menghimpunkan seramai 280 orang peserta kanak-kanak dan remaja yang berumur daripada 10 tahun sehingga 17 tahun yang berbakat dan cemerlang dalam bidang seni menerusi Kelab Tunas Budaya (KTB) bagi golongan kanak-kanak sekolah rendah dan Kelab Giat Budaya (KGB) bagi golongan remaja sekolah menengah.

Selain itu, program ini juga akan turut disertai Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) yang mengikuti bidang teater, tarian, muzik, permainan gasing, seni berbahasa dan silat yang telah dilaksanakan oleh JKKN seluruh negara dengan kerjasama jabatan pendidikan negeri (JPN).

Kem 4K untuk tahun 2022 ini juga akan memberi fokus kepada para pelajar dalam bidang seni tari, seni muzik, teater dan permainan gasing. Manakala bidang lain seperti silat dan seni berbahasa akan diperhalusi modulnya untuk tahun akan datang dengan konsep program ini berbentuk latihan, ceramah, aktiviti komuniti berbentuk lawatan budaya dan majlis apresiasi.

Para pelajar cemerlang yang terpilih menyertai kem 4K selama empat hari itu akan dilatih dan dibimbing secara terus oleh penggiat seni dan industri kreatif seperti Profesor Madya Aminah Raphor dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Tuan Haji Lokman Ghani bagi bidang teater, Datin Sharifah Mahani (Mak Ngah) dan Encik Zulfaqar Awaludin (Belalang) bagi bidang tarian, Encik Bob Khalid (seni muzik gamelan) dan Encik Razaidy Abd Razak (seni muzik cak lempong), manakala seni permainan gasing pula akan dibimbing oleh Encik Muzaireen dan Encik Junaidi.

Di samping itu, para pelajar turut diberi pendedahan tentang cara berbahasa dengan baik oleh selebriti pendidik yang terkenal, iaitu Cikgu Zack Kirana Ibrahim serta pendedahan tentang seni budaya negeri Melaka oleh Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka, iaitu Cikgu Norliza Md. Yamin dan Encik Hairul Asraf yang juga merupakan aktivis dan penggiat Dondang Sayang negeri Melaka.

Rentetan itu, para pelajar turut akan mengikuti sesi lawatan budaya ke Kompleks Kraftangan Melaka, Muzium Sastera, Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho dan Muzium Samudera di bawah kelolaan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM), Galeri Warisan di bawah kelolaan Jabatan Warisan Negara (JWN) Wilayah Selatan serta Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan selain turut mengikuti sesi lawatan ke Bukit Melaka.

Majlis penutup program, iaitu Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang yang akan berlangsung pada 23 Disember 2022 akan menampilkan himpunan pelbagai persembahan daripada para peserta berdasarkan latihan intensif yang mereka jalani sepanjang menyertai kem tersebut.

Antaranya termasuklah persembahan siri tarian gamelan “Timang Burung” dan “Ayak-ayak” yang akan turut diiringi dengan paluan muzik gamelan dan cak lempong serta pelbagai lagi persembahan yang akan diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal tanah air.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rustam dan Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman dijangka akan hadir bagi menyaksikan persembahan dan sesi pentauliahan sijil kem oleh Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

JKKN berharap penganjuran Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 ini dapat memupuk sahsiah dan jati diri generasi muda Malaysia dalam menghayati sifat kebersamaan, tolerasi serta kefahaman seni dan budaya Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.