3 Oktober 2022, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Melaka – Dialog Persuratan Selatan: Membaca Sejarah Menjejak Ibrah sempena Pesta Buku Melaka telah berlangsung pada 2 Oktober 2022 (Ahad), pukul 2.00 petang hingga 3.30 petang di The Shore Shopping Gallery, Pengkalan Rama, Melaka.

Dialog yang bertujuan untuk mengupas buku Sejarah Melaka (Edisi Semakan) yang ditulis oleh Buyong Adil dengan mempunyai 106 halaman menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Mohd Samsudin, Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Muhammad Faiq Shaf’ii, usahawan dan penulis bebas dalam bidang geopolitik dan pertahanan. Manakala Hafiz Latiff pula berperanan selaku moderator.

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Samsudin, buku Sejarah Melaka hasil karya Allahyarham Buyong Adil mempunyai asas penulisan sejarah ringkas dan disusun mengikut negeri-negeri di negara ini. Justeru, buku tersebut amat bagus untuk dijadikan panduan dan rujukan sebagai permulaan pengenalan mengenai sejarah negeri, terutamanya kepada kanak-kanak yang berada pada peringkat sekolah rendah.

Profesor Madya Dr. Mohd Samsudin sewaktu memberikan penerangan.

“Buku Sejarah Melaka hasil karangan Allahyarham Cikgu Buyong (Buyong Adil) ini sangat baik kerana bahasa yang digunakan amat mudah untuk difahami oleh kanak-kanak.

Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat menjelajah di setiap negeri bagi mempromosikan buku ini kerana buku ini mempunyai kisah setiap komponen negeri di Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Hal ini secara tidak langsung membawa DBP mendekati masyarakat,” ujar Profesor Madya Dr. Mohd.

Tambah beliau lagi, penganjuran program jelajah untuk memperkenalkan keagungan buku Sejarah Melaka dengan kerjasama pihak jabatan pendidikan negeri atau perpustakaan awam negeri dapat menarik minat masyarakat untuk membaca dan mengetahui tentang sejarah awal negeri mereka.

Faiq Shaf’ii sedang mengulas lanjut tentang buku Sejarah Melaka.

Sementara itu, Faiq Shaf’ii pula berkata, buku Sejarah Melaka turut mengisahkan tentang sejarah Kerajaan Melayu secara lengkap serta sejarah Kesultanan Melaka sejak mula diasaskan oleh Parameswara sehinggalah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

“Segala peristiwa penting yang berlaku dalam masa lebih satu abad terakam dalam sejarah kerajaan Melayu yang teragung ini. Di samping itu, buku ini turut mencatatkan sejarah Melaka yang diperintah oleh sultan yang pertama sehingga sultan yang keenam, iaitu pemerintahan Parameswara, Sultan Megat Iskandar Syah, Seri Maharaja (Raja Tengah) atau Sultan Muhammad Syah, Sultan Abu Syahid, Sultan Mudzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah,” kata Faiq Shaf’ii.

Turut hadir memeriahkan majlis dialog yang berlangsung ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan, Mohd Riduwan Wahab.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.