24 Februari 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ledakan Revolusi Perindustrian bermula di Eropah setelah beberapa penemuan teknologi terhasil. Antara teknologi terpenting yang terhasil ialah penciptaan sel volta pada era tahun 1800 oleh Alessandro Volta yang berasal dari Itali. Penciptaan ini bermula setelah pelbagai uji kaji yang berkaitan dengan elektrik statik dijalankan. Beberapa siri uji kaji berikutnya dijalankan dengan tujuan untuk memperbaiki pengaliran arus dan voltan sehinggalah Alessandro Volta berjaya menghasilkan peranti elektrik yang mampu menjana arus elektrik yang tinggi tetapi mempunyai voltan yang rendah.

Bermula daripada penemuan teknologi tersebut, pelbagai teknologi lain mula dibangunkan. Antara yang paling signifikan ialah telegraf yang digunakan untuk berkomunikasi. Pembangunan sistem ini telah memanfaatkan kajian elektromagnetisme yang telah dijalankan oleh beberapa orang saintis, misalnya Hans Christian Ørsted dari Denmark telah menemui kaedah mengalirkan arus elektrik yang berupaya memesongkan jarum magnet pada tahun 1820, William Sturgeon dari Britain telah menemui kaedah menghasilkan elektromagnet berbilang pusingan serta Michael Faraday dari Britain dan Joseph Henry dari Amerika Syarikat telah memperhalusi sains elektromagnetisme dengan secukupnya untuk membolehkan mereka membangunkan peranti elektromagnet yang praktikal pada tahun 1831.

Kesan daripada penemuan itu, Samuel F. B. Morse dari Amerika Syarikat mula membayangkan kewujudan peranti yang boleh menghubungkan dua pihak untuk berkomunikasi dengan menggunakan kuasa elektrik. Pada tahun 1832, beliau memulakan kerja-kerja pembangunan peranti tersebut dan pada tahun 1837, beliau telah berjaya mendapatkan paten bagi pembangunanan telegraf elektromagnet.

Pada masa yang sama, dua orang saintis British, iaitu Sir William Fothergill Cooke dan Sir Charles Wheatstone juga telah memperoleh paten berasaskan kepada ciptaan sistem telegraf yang menggunakan enam wayar untuk menggerakkan lima penuding jarum yang dipasang pada lima galvanoskop kepada penerima. Kelebihan menggunakan teknologi tersebut ialah jika arus dihantar melalui wayar yang betul, jarum boleh dibuat untuk menunjuk kepada huruf dan nombor tertentu pada plat pelekapnya.

Teknologi ini berkembang menjadi popular di Eropah dengan cepat khususnya dalam kalangan negara-negara penjajah. Hal ini kerana dengan menggunakan teknologi tersebut, urusan komunikasi menjadi singkat dan sangat membantu melicinkan urusan pentadbiran. British sebagai salah sebuah negara yang aktif dalam pembangunan telegraf mula memasang teknologi tersebut di negara-negara yang dijajahnya termasuklah Malaysia.

Di Malaysia, telegraf mula dipasang di Taiping. Pada 16 April 1876, sistem telegraf telah diperkenalkan oleh British bagi menghubungkan pejabat Residen Perak di Kuala Kangsar kepada pejabat Penolong Residen di Taiping pada 16 April 1876. Talian perhubungan telegraf ini turut melibatkan sambungan ke Pejabat Majistret yang terletak di Matang dengan jarak keseluruhan mencecah 27 batu (sekitar 43.5 km). Cara menghubungkan pejabat-pejabat ini ialah dengan memasang kabel merentasi hutan belantara dan paya bakau. Pokok dijadikan medium untuk menyangkut dan menyokong talian kabel.

Berdasarkan tulisan Muhammad Hafiz Isa dan Mohd Samsudin yang bertajuk Perkembangan Sistem Telegraf di Perak, 1876-1900 yang disiarkan dalam Malaysia and International History Vol. 2, No. 2 (2020) halaman 15-34, pemasangan rangkaian perhubungan sistem telegraf telah menelan belanja sebanyak USD11 712.63, jauh lebih besar daripada jangkaan awal, iaitu sebanyak USD4900 sahaja. Namun pihak British yakin bahawa pemasangan talian perhubungan rangkaian tersebut akan memberi manfaat yang besar kepada sistem pentadbiran mereka.

Objektif utama British melaksanakan pembinaan sistem telegraf di negeri Perak adalah sebagai langkah untuk mengatasi keterbatasan jaringan perhubungan di negeri itu yang belum mempunyai akses jalan raya yang banyak di samping bentuk muka buminya yang berhutan tebal dan bergunung-ganang. Menerusi pembinaan rangkaian tersebut, British tidak perlu lagi bergantung kepada perkhidmatan pengutus surat yang memakan masa yang agak lama. Sistem telegraf yang mampu menghantar mesej dengan pantas memberi kelebihan kepada urusan pentadbiran Residen British.

Perhubungan telegraf antara bandar Taiping dan Kuala Kangsar tidak hanya melibatkan kegunaan bagi urusan pentadbiran, sebaliknya turut digunakan oleh pasukan polis dan tentera British di Perak bagi mengetahui perkembangan terkini tentang keadaan yang berlaku di kedua-dua bandar tersebut khususnya yang berkaitan dengan aspek keselamatan dan jenayah. Taiping misalnya tidak pernah sunyi daripada suasana pergaduhan yang tercetus di kawasan lombong. Sejak dari tahun 1861 hingga tahun 1874, bandar tersebut sering menjadi medan pertempuran antara dua kumpulan pelombong, iaitu Ghee Hin dan Hai San.

Antara tahun 1876 hingga tahun 1884, tiada penambahan rangkaian yang dilakukan oleh British kerana tujuan pemasangan telegraf pada tahun 1876 adalah untuk memenuhi keperluan pentadbiran pejabat Residen British. Pada tahun 1884, British mula meluaskan dasar pembangunan rangkaian telegraf apabila kepentingan mereka terhadap ekonomi semakin bertambah. Dalam bulan Ogos 1884, pemasangan kabel dilakukan bagi menghubungkan Taiping dengan Kerian. Setelah pemasangan di Kerian selesai, sambungan talian dilakukan bagi menghubungkan Kerian dengan Kuala Perai dan Pulau Pinang. Pemasangan kabel sepanjang 26 batu itu akhirnya siap pada tahun 1889.

Menurut rekod, kabel turut dipasang hingga ke Bukit Bendera memandangkan terdapat pejabat kolonial di kawasan tanah tinggi itu. Kesannya, hubungan komunikasi pejabat kolonial di Perak dapat dihubungkan ke pejabat kolonial di Pulau Pinang dalam tempoh yang singkat. Rentetan kewujudan sistem rangkaian tersebut, urusan ekonomi khususnya yang melibatkan pengeksportan dan pengangkutan bijih timah dapat dikendalikan dengan lebih cekap dan pantas. Port Weld (kini Kuala Sepetang) menjadi pelabuhan yang agak sibuk pada masa itu kerana bijih timah yang dilombong akan dihantar ke pelabuhan itu dengan menggunakan perkhidmatan kereta api.

Seiring dengan penyambungan kabel ke Kerian, pemasangan kabel turut dilakukan dari Kuala Kangsar ke Batu Gajah dan hingga ke Teluk Intan. Pemasangan kabel ke Batu Gajah dan Teluk Intan amat penting kerana beberapa kawasan lombong bijih timah yang besar telah beroperasi di kawasan tersebut. Selain itu, pemasangan kabel ke Batu Gajah akan menghubungkan pejabat residen dengan daerah Kinta yang telah dikenal pasti akan dijadikan sebagai pusat pentadbiran yang baharu di negeri Perak.

Pemasangan kabel dari Kuala Kangsar ke Batu Gajah gagal mencapai kualiti komunikasi yang memuaskan mengakibatkan pihak British memutuskan untuk memasang kabel yang menghubungkan Taiping secara terus ke Batu Gajah. Pemasangan kabel tersebut dijalankan setelah kerja-kerja pemasangan kabel ke Pulau Pinang selesai. Pemasangan kabel ke Batu Gajah dianggap sangat penting kerana Batu Gajah pada masa itu dihuni oleh ramai pelombong Cina. Bagi mengelakkan kekacauan meletus seperti yang berlaku di Taiping, maka hubungan komunikasi yang cekap dan pantas diperlukan.

Pengendalian perkhidmatan telegraf telah mencatatkan jumlah permintaan sebanyak 78 269 hingga tahun 1889. Bandar Taiping mencatatkan jumlah permintaan yang tertinggi diikuti Kuala Kangsar dan Batu Gajah. Keseluruhan jarak sambungan kabel di seluruh negeri Perak mencecah sejauh 224 batu dengan Taiping menjadi pusat utama yang menghubungkan rangkaian ke bandar-bandar utama yang lain dalam negeri tersebut serta pusat telegraf yang pertama di Tanah Melayu. Kemajuan pembinaan rangkaian telegraf yang menghubungkan Taiping dengan bandar-bandar lain mempunyai kaitan dengan hasil pengeluaran bijih timah dan kedudukan bandar itu sebagai pusat pentadbiran negeri Perak.

Bagi memudahkan pengendalian perkhidmatan, jabatan telegraf ditubuhkan pada tahun 1884 dengan sebuah bangunan dibina untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran yang terletak di Jalan Stesen dan siap dibina setahun kemudian. Namun begitu, pejabat pertama telegraf dibina di Matang oleh Residen British yang bernama Hugh Low. Beliau menjadi residen di negeri Perak dari tahun 1877 hingga tahun 1889.

Pada tahun 1890, British telah melaksanakan sambungan kabel dari Tapah ke Tanjung Malim setelah sambungan ke beberapa bahagian dalam daerah Kinta berjaya disiapkan. Sambungan kabel dari Tapah ke Tanjung Malim siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 1891. Sambungan kabel ke Tanjung Malim membuka potensi sambungan kabel ke negeri Selangor dengan pemasangan kabel mencapai jarak sepanjang 394 batu. Sambungan kabel ke beberapa bahagian lain dalam daerah Kinta terutamanya di kawasan Ipoh dimulakan semula pada tahun 1894 sewaktu Frank Athelstane Swettenham menjadi residen.

Seterusnya, British telah menjadikan jalan kereta lembu sebagai panduan kedudukan pemasangan kabel yang menghubungkan Ipoh ke Gopeng. Berbanding dengan kedudukan pemasangan kabel sebelum ini yang agak bahaya kerana merentasi hutan tebal dan gunung-ganang, kedudukan berdasarkan jalan kereta lembu dikatakan lebih selamat dan mudah.

T. F. Toft dilantik menjadi superintenden jabatan telegraf yang pertama di negeri Perak pada 1 Oktober 1884. Tugas beliau sebagai penyelia yang mengawasi kerja-kerja pengendalian perkhidmatan. Pada tahun 1902, Jabatan Pos dan Jabatan Telegraf telah digabungkan menjadi Jabatan Pos dan Telegraf Negeri-Negeri Selat bagi menyediakan perkhidmatan perhubungan yang lebih efektif sebagaimana yang dilaporkan dalam tulisan Koh Kuan Wei dan rakan-rakan dalam makalah yang bertajuk Pembangunan Perkhidmatan Pos dan Sumbangannya kepada Pentadbiran British dan Masyarakat di Negeri-Negeri Selat 1902-1938 yang tersiar dalam Jurnal Dunia Pengurusan Vol. 2, No. 2 tahun 2020 halaman 12-24.

Penggabungan jabatan ini memudahkan usaha-usaha pembasmian isu penyeludupan surat-surat buruh Cina yang dilakukan oleh ejen-ejen tidak berdaftar yang ingin mengaut keuntungan daripada buruh-buruh tersebut. Pada tahun 1904, seramai 28 orang ejen tidak berdaftar yang melakukan penyeludupan surat buruh Cina ditangkap dan dikenakan denda sebanyak AS$2,226.00. Hal ini berikutan dengan banyak laporan kes yang melibatkan kehilangan surat dan wang yang dikirim kerana tidak menerusi pejabat pos yang ditadbir oleh pentadbiran kolonial.

Tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada kemajuan jabatan pos dan telegraf ialah C. H. Allin yang dilantik menjadi pengarah jabatan tersebut bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dari tahun 1904 hingga tahun 1923. Beliau pada asalnya berkhidmat dalam Jabatan Perkhidmatan Pos British dan diarahkan untuk datang ke Tanah Melayu untuk menyeragamkan perkhidmatan pos, telegram dan telefon di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Pada tahun 1905, beliau mengeluarkan enakmen pejabat pos dan telegraf secara berasingan.

Menuju tahun 1923, pemasangan kabel telegraf di keempat-empat buah negeri itu dilakukan sejauh 3399 batu. Sebanyak 99 buah pejabat telah dibuka dengan pengendalian perkhidmatan setiap tahun melibatkan setengah juta permintaan secara purata. Berdasarkan kepada purata tahunan, British memperolehi pendapatan sekitar AS$200 000 menerusi perkhidmatan telegraf.

Perkembangan telegraf memberi kesan yang sangat besar kepada kemajuan teknologi, cara berfikir dan budaya bekerja. Dari sudut kemajuan teknologi, telegraf mendorong saintis memajukan bidang komunikasi sebagaimana yang telah dicapai pada hari ini. Dari aspek teknologi telegraf, saintis mendapat ilham membangunkan teknologi komunikasi yang lain seperti telefon, faksimili, komputer dan rangkaian Internet. Dari segi cara berfikir dan budaya bekerja, teknologi telegraf menjadi medium yang sangat penting kepada aktiviti penyebaran maklumat dalam skala yang lebih luas dan kesannya, pengetahuan terhadap sesuatu isu atau tempat akan bertambah.

Dari sisi lain, perkembangan ini memberi impak yang ketara kepada pemerintah dalam menangani sesuatu isu yang berlaku dengan segera. Kelajuan penyampaian maklumat turut mendorong organisasi-organisasi yang terlibat dalam bidang penyiaran dan kewartawanan untuk mengemaskini setiap laporan dan berita yang diterima dengan pantas agar sentiasa berada pada kedudukan yang mutakhir.

Kini bangunan pentadbiran Jabatan Pos dan Telegraf yang terletak di Jalan Stesen Taiping telah dijadikan sebagai Muzium Telegraf Taiping yang diletakkan di bawah seliaan Telekom Malaysia. Muzium ini dianggap unik kerana merupakan satu-satunya muzium yang menempatkan pelbagai artifak telegraf di Malaysia dan Asia Tenggara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.