18 Oktober 2022, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Dalam usaha memelihara warisan seni rejang agar tidak pupus ditelan arus pembangunan dan perkembangan zaman, Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negeri Melaka (JKKN Melaka) telah mengadakan Program Perantisan Seni Puisi Rejang di Dewan Tun Sri Lanang, Kompleks JKKN Melaka, Ayer Keroh pada 14 hingga 15 Oktober 2022.

Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias sewaktu majlis perasmian penutupan program.

Majlis perasmian penutupan program disertai seramai 55 orang peserta dan disempurnakan oleh Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias.

Menurut Ezlina, program yang dilaksanakan itu merupakan program penutup selepas semua peserta mengikuti modul latihan perantisan dan model pengajaran untuk Kompleks JKKN (Rejang Kontemporari) selama dua tahun.

“Program ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Seni Kesidang Sari dan Model Komuniti (Rejang Asli) yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Perak, Jasin dan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah, Jasin. Selain itu, semua 55 orang peserta ini telah menamatkan modul perantisan puisi rejang pada tahun ini dan mereka dibimbing oleh dua orang tokoh, iaitu Puan Norliza Haji Md Yamin yang merupakan Tokoh Muda Puisi Rejang dan Tuan Haji Rani Embi yang juga merupakan Tokoh Budaya dan Pakar Rujuk Puisi Rejang,” ujar Ezlina.

Tambah Ezlina lagi, Puisi Rejang merupakan satu lagi projek pemuliharaan dan penyelidikan warisan tidak ketara negeri Melaka yang sedang dibangunkan oleh JKKN Melaka FanPage. Di samping itu, pihak JKKN Melaka turut merakamkan ucapan penghargaan buat saudara Syed Indera Syed Omar (Siso) yang telah berjaya memasukkan dan menggabungkan irama dalam puisi rejang bagi memberikan suntikan inovasi kepada rejang.

“Untuk makluman semua, puisi rejang telah terpilih untuk dipersembahkan di pentas Festival Seni Hidup (Living Arts Festival – LACF) oleh pihak ibu pejabat JKKN sebagai satu daripada warisan tidak ketara yang sedang melalui proses pemuliharaan dan akan diadakan pada 3 hingga 5 November 2022 di MaTiC, Kuala Lumpur,” kata Ezlina.

Puan Norliza Haji Md Yamin, Tokoh Muda Puisi Rejang.

Dalam majlis yang sama, Puan Norliza Haji Md Yamin berkata, antara perkara yang diberi tumpuan dalam bimbingan beliau kepada para peserta termasuklah sejarah rejang, cara untuk mendendangkan rejang, penghayatan puisi rejang dan proses menulis rejang.

“Rejang merupakan puisi yang berasal dari Jasin dan satu-satunya khazanah puisi milik orang Melayu serta puisi Melayu yang mempunyai pengaruh Hindu kerana terdapat unsur-unsur tilikan. Berdasarkan terjemahan Barat, mereka mentafsirkan rejang itu adalah ramalan. Namun selepas kedatangan dan perkembangan agama Islam, budaya dan tradisi rejang lebih berpusat kepada ajaran agama Islam yang menekankan kepada kisah nabi, panduan, bimbingan serta nasihat kepada anak-anak,” jelas Ezlina.

Ezlina turut menyatakan bahawa para peserta juga turut dibimbing tentang teknik-teknik mendapatkan penghayatan dalam mendendangkan puisi rejang dan proses ini memakan masa yang agak lama kerana peserta perlu menghayati puisi rejang tersebut untuk mendapatkan suara yang bagus. Kemudian untuk proses yang terakhir, peserta diberi panduan untuk merangka dan menulis rejang yang mempunyai lima baris dengan tiga pembayang dan dua maksud.

“Para peserta juga diminta untuk menghasilkan lima hingga 10 rejang kerana pada akhir tahun nanti, kita akan membukukan rejang buat pertama kalinya dan insya-Allah akan diterbitkan oleh JKKN Melaka,” ucap Ezlina mengakhiri bicara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.