9 Oktober 2022, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Dalam usaha memelihara dan memulihara bangunan peninggalan sejarah di negeri ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengambil langkah proaktif mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Akramuddin Ab Aziz, antara objektif kerjasama sinergi itu diadakan adalah bagi menjalinkan kerjasama dalam kerja-kerja penyelidikan warisan, membina landasan ilmu warisan dan kemanusiaan melalui penganjuran wacana ilmu serta penerbitan-penerbitan ilmiah dan mencetus inovasi baharu melalui perkongsian teknologi daripada pelbagai bidang.

Turut dipersetujui menerusi kolaborasi strategik itu adalah kerjasama dalam melaksanakan projek Pelestarian Citra Kemasyhuran Warisan Negeri Melaka menerusi rangkaian Augmented Reality (AR), pemetaan tiga dimensi (3D) dan fotogrametri, menangkap pengeluaran semula artifak di dalam muzium serta struktur sejarah dan tapak yang sangat tepat.

Jelas beliau lagi, penggunaan kaedah teknologi baharu tersebut dapat mempromosikan industri pelancongan kreatif mengikut peredaran teknologi terkini serta menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke muzium.

Datuk Akramuddin (berdiri tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Kolaborasi Strategik antara PERZIM yang diwakili Dr. Mohd Nasruddin dengan UTM yang diwakili Profesor Madya Dr. Alice Sabrina.

“Menerusi kerjasama sinergi ini, saya telah meminta pihak UTM, khususnya Fakulti Alam Bina dan Ukur untuk mengadakan lukisan terukur ke atas bangunan-bangunan sejarah di Melaka terutamanya di sekitar Banda Hilir. Selain itu, kami juga telah meminta pihak UTM mewujudkan dua atau tiga pasukan untuk mengadakan lukisan terukur kepada bangunan-bangunan sejarah di Melaka agar dokumen ini dapat disimpan dan menjadi rujukan dari semasa ke semasa serta dipamerkan kepada generasi akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kolaborasi Strategik antara PERZIM dengan UTM di Pejabat PERZIM.

Majlis menandatangani kolaborasi strategik itu disempurnakan oleh Pengurus Besar PERZIM, Dr. Mohd Nasruddin Rahman dan Pengarah Program Seni Bina, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Profesor Madya Dr. Alice Sabrina Ismail.

Menurut Datuk Akramuddin, beliau turut meminta pihak fakulti memfokuskan kepada kompleks sejarah terlebih dahulu kerana di situ terdapat banyak bangunan sejarah tinggalan penjajah Belanda yang harus dikekalkan keasliannya dan ada bangunan lama di situ yang tiada lukisan terukur.

“Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak boleh dijangka, lukisan terukur boleh dijadikan rujukan untuk membangunkannya semula. Kolaborasi yang dimeterai ini bukan sahaja terikat untuk menjalankan lukisan terukur tetapi membabitkan perkongsian dan pertukaran ilmu yang ada daripada pihak UTM dan PERZIM. Menerusi ilmu-ilmu yang ada pada pihak UTM, mereka berkongsi bersama-sama PERZIM untuk membolehkan kita melakukan penambahbaikan. Malah PERZIM juga sentiasa bersedia sekiranya ada pelajar UTM yang ingin menjalani latihan praktikal di sini,” kata Datuk Akramuddin.

Dr. Mohd Nasruddin menyampaikan cenderahati kepada Profesor Madya Dr. Alice Sabrina selepas Majlis Menandatangani Kolaborasi Strategik antara PERZIM dengan UTM.

Datuk Akramuddin berharap, pelaksanaan kolaborasi itu dapat memberi manfaat kepada pengunjung dan masyarakat, seterusnya menjadikan PERZIM sebagai sebuah institusi pemuziuman yang berdaya saing, maju serta setaraf dengan muzium luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.