16 Mac 2022, 23:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Lambang Sari, Bangunan Panggung Istana Budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Istana Budaya telah melancarkan Kalendar Program Istana Budaya 2022. Majlis yang berlangsung pada 15 Mac 2022 jam 2.00 petang tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Dalam ucapannya, beliau menyebut usaha semua aktiviti seni persembahan pentas pada tahun 2022 perlu dipergiatkan. Ruang-ruang pementasan yang tersedia di Istana Budaya dapat memberi peluang pekerjaan dan kepuasan berkarya kepada para penggiat seni dan pada masa yang sama turut menumbang kepada kelangsungan ekonomi industri tersebut. Tambah beliau, Istana Budaya juga perlu terlibat dengan penghasilan karya seni budaya yang bermutu dan mempunyai nilai estetika tinggi untuk produk teater, muzik dan tari yang mampu memberi tafsiran positif terhadap keunikan budaya tempatan.

Sumber foto: Facebook MOTAC.

Sebanyak 12 program telah dirancang dan disusun untuk pengisian Program Istana Budaya 2022, iaitu lima program terbitan Istana Budaya ‒ Konsert Lagu Rakyat, Konsert Okestra Simfoni Kebangsaan Peter and The Wolf dan The Carnivak of Animals, tari Sulur dan Nakasari, dramatari Ratu Kuning Langkasuka dan teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh, manakala program luar yang telah diluluskan setakat ini ialah Konsert U.K.’s Reunion 25 Tahun, Konsert Seniman Negara Dato’ Seri Ahamad Nawab, 5th Malaysia Golden Global Awards (MGGA), Thunder – Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022 dan tiga buah teater yang bertajuk “Antara Tiga, “Tanjong” dan “Teater Muzikal Moyang Salleh”.

Dalam majlis tersebut juga, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri mengumumkan insentif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian dan kebudayaan yang diluluskan oleh pihak MOTAC bermula dari tahun 2022 hingga tahun 2025. Insentif cukai tersebut terbuka kepada semua penganjur berkelayakan meliputi pelbagai kategori seperti persembahan pentas kesenian dan kebudayaan termasuklah seni muzik, seni tari, seni lakon, seni mempertahankan diri, adat budaya, kesusasteraan, audio visual dan media interaktif. Pemberian insentif tersebut diharapkan dapat membantu melonjakkan semula industri seni persembahan pentas dan memberi dorongan kepada penggiat seni untuk terus bergiat aktif.

Pada tahun lalu, Istana Budaya telah menjana hasil pendapatan jualan tiket sebanyak RM130 ribu setelah menerima hampir 6000 penonton bagi 11 program dalam tempoh lima bulan yang dibenarkan beroperasi oleh pihak kerajaan. Jumlah ini dijangka meningkat semula pada tahun 2022 termasuklah hasil bagi sewaan ruang sejajar dengan kenaikan penerimaan persembahan dari syarikat produksi tempatan dan agensi kerajaan yang lain.

Setakat ini, Istana Budaya masih menerima permohonan untuk penyewaan ruang Panggung Sari bagi tahun 2022 dan 2023 mengikut kesesuaian program dan tarikh yang dipohon oleh pihak penganjur.

Turut hadir dalam majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2022 ialah Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi, Timbalan Pengarah Ketua Operasi Istana Budaya, Encik Mohamad Azlan Abdul Majid dan barisan pegawai tertinggi dari MOTAC dan Istana Budaya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!