18 Mac 2022, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Secara semula jadinya, sekiranya manusia diberikan peluang untuk memilih, manusia sudah tentu memilih untuk menjadi sempurna, sihat dan cantik. Lazimnya sihat dan cantik secara lahiriah yang menjadi keutamaan kebanyakan kita berbanding dengan sihat dan dan cantik secara dalaman.

Kesihatan dan kecantikan secara dalaman boleh dikonotasikan kepada tiga perspektif, iaitu yang pertama, sihat dan cantik aspek batiniah yang berhubung dengan jiwa dan rohani serta emosi.

Yang kedua, merujuk kepada sihat dan cantik organ dalaman tubuh seperti jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, perut, usus, pundi kencing, hempedu, rahim dan payudara (bagi wanita), prostat (bagi lelaki), urat saraf, gegendang telinga dan juga unsur air yang terdapat dalam tubuh manusia yang tidak dapat dilihat atau dirasakan kehadirannya, namun unsur ini amat penting dalam mengaktifkan semua organ dalaman yang disebut tadi, iaitu darah. Darah dalam tubuh manusia ibarat air kepada bumi.

Perspektif yang ketiga bagi sihat dan cantik dalaman adalah untuk mental atau pemikiran yang ada pada seseorang. Kajian telah menunjukkan mental dan pemikiran yang sihat ini lahir daripada pembinaan karakter seseorang sejak dari usia janin lagi.

Mental yang sihat dan cantik akan mempengaruhi tindakan seseorang melakukan sesuatu perkara dan bagaimana komunikasi mendapat kesan dan akibat daripada kualiti kesihatan mental seseorang. Sudah tentu hal ini demikian menjadi faktor utama melahirkan manusia yang akan mengungkapkan bahasa dan tutur kata yang memiliki kesantunan yang tinggi dalam komunikasi dan pertuturannya.

Berdasarkan penelitian ini, ada beberapa persoalan yang melingkari gaya hidup serta budaya masyarakat terhadap elemen kesihatan dan hubungannya dengan kecantikan yang disebut tadi. Perkongsian daripada Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, melalui slot Studio Pesona DBP Warisan Kita yang Lama Dijunjung, yang bertajuk “Rahsia Sihat dan Cantik Menerusi Naskhah Perubatan Melayu” baru-baru ini, telah berjaya menarik perhatian pelayar media sosial DBP.

Naskhah perubatan Melayu ini adalah dalam bentuk manuskrip yang telah dihasilkan oleh generasi terdahulu. Manuskrip ini terdiri daripada bentuk papan dan bentuk daun lontar. Menurut Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain mengatakan bahawa bermula pada kurun 1300 Masihi, penulisan ilmu-ilmu alam Melayu dalam tulisan Jawi dan bahasa Melayu telah pesat berlaku. Menurutnya lagi, manuskrip yang mengandungi pelbagai ilmu sains Alam Melayu ini telah tersebar ke serata dunia khususnya ke Eropah hinggalah ke China.

Hubungan diplomatik yang akrab terjadi antara Kesultanan Melayu Melaka dan dinasti-dinasti di China juga, telah menjadikan diaspora ilmu perubatan Melayu ini berkembang dan bergerak pantas seperti juga angin monsun yang datang membawa hujan dan menyuburkan tanah serta flora dan fauna yang menjadi unsur dan sumber penting dalam memperkaya dan membina khazanah dalam perubatan Melayu.

Menurut Dr. Salmah Jan, ilmu perubatan di Alam Melayu ini sangat luas  dan boleh dikategorikan kepada dua sumber utama, iaitu menerusi manuskrip dan juga melalui hasil pemerhatian masyarakat di Alam Melayu. Kedua-dua mekanisme dalam mengeksplorasi bidang perubatan Alam Melayu ini membuktikan pembudayaan dalam kalangan masyarakat Melayu yang cakna akan kemerosotan kesihatan yang berlaku kepada diri mereka, mereka belajar, memahami, bereksperimen akan keberkesanan flora yang digunakan terhadap sesuatu gejala penyakit dan mencari punca kepada terjadinya sesuatu penyakit, serta membuktikan bahan yang dicadangkan atau digunakan dalam formulasi perubatan Melayu sama ada berupaya mencegah atau merawat terhadap sesuatu penyakit sudah tentu dilakukan sebelum direkodkan dalam manuskrip-manuskrip ini.

Ilmu-ilmu ini kemudian direkodkan dengan kaedah penulisan yang mengandungi bahan-bahan sebagai ramuan ubat berserta dengan cara penggunaan, termasuk juga pantang larang dan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan atau dielakkan semasa melakukan rawatan.

Dalam manuskrip ini juga, turut disertakan dengan ilustrasi bagi menambahkan kefahaman pembaca terhadap satu-satu ramuan ubat yang bakal dihasilkan. Manuskrip ini disebut manuskrip Melayu kerana padanya sesuatu ilmu atau rekod ditulis dalam tulisan Jawi dan bahasa Melayu. Manuskrip ini pula dikenali sebagai manuskrip perubatan Melayu dan dikelompokkan di bawah Ilmu Kepustakaan Melayu. Manuskrip ini memfokuskan berkaitan kepintaran orang Melayu dahulu dalam bidang perubatan dan turut disebut sebagai Kitab Tib, Kitab Ubat, Tajul Muluk dan Kitab Mujarab.

Para pembaca yang berminat dengan ilmu perubatan yang asli milik masyarakat Alam Melayu ini, boleh mengunjungi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan juga di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kitab-kitab ini telah dikaji oleh ramai penyelidik dan tokoh prolifik yang mengkaji dari pelbagai sudut tentang perubatan Melayu ialah Allahyarham Dr. Harun Mat Piah. Perkongsian rahsia sihat dan cantik seterusnya dikongsikan daripada dua sumber manuskrip di PNM, iaitu dengan pendaftaran MSS 1292 dan MSS 2515.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.