4 April 2022, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Arca Dasar Laut bakal menjadi tarikan terbaharu yang boleh dikunjungi di Pulau Langkawi. Pelancongan berasaskan komuniti, Arca Dasar Laut ini merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara dengan kerjasama beberapa pihak lain. Antaranya ialah Marine Research and Excellent Centre (MAREC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi.

Program ini yang bermula pada Disember 2021 dan dijangka berlangsung hingga Mei 2022 telah mendapat penajaan daripada pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan LADA.

Sembilan orang artis berpengalaman yang telah terpilih bagi program ini ialah Ahmad Fuad Osman, Zainuddin Abindinhazir, Mohd Al-Khuzairie Ali, Abdul Muthalib Musa, Umibaizurah Mahir Ismail, Low Chee Peng, Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Maxine Xie Xian Xin dan Mohd Radzi Ismail. Para artis tersebut akan bersama-sama komuniti setempat yang terdiri daripada nelayan, operatus selam skuba dan artisan tempatan dan akan bersama-sama dalam penghasilan karya arca ini.

Bahan simen konkrit yang telah dirawat akan dijadikan bahan utama pengasilan arca kerana bahan ini bersifat mesra kepada ekosistem dan ekologi marin manakala mitos dan legenda Pulau Langkawi akan diangkat sebagai rujukan dalam menghasilkan karya arca tersebut. Pengkalan Kampung Kubang Badak yang merupakan tempat pertemuan dalam kalangan peminat biogeotrail tempatan dan antarabangsa, aktiviti snorkeling dan juga memancing dipilih sebagai tempat untuk melaksanakan proses penghasilan arca dasar laut ini.

Sumber: Facebook Balai Seni Negara Langkawi.

Karya arca yang telah siap dengan saiz minimum lima kaki setiap satunya akan ditempatkan di perairan Pulau Pasir. Arca-arca ini akan berada di daratan, sekitar pesisir, gigi pantai dan juga akan dilabuhkan di dasar laut sekitar pulau berkenaan.

Kehadiran arca-arca ini akan memperkaya lagi koloni dan habitat marin yang bakal memberi limpahan rezeki kepada komuniti sekitar yang seterusnya menkadi pemangkin kepada pelancongan ekomarin yang baharu di Pulau Pasir, Langkawi.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program ini, bolehlah layari laman sesawang atau ikuti laman sosial rasmi Balai Seni Negara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!