6 April 2022, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Inisiatif Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan telah menganjurkan satu webinar bertajuk “Adakah Adat Perpatih Masih Sesuai Pada Masa Kini? Dikekalkan atau Dihapuskan?” yang telah disiarkan secara langsung pada 5 April 2022 melalui platform Google Meet sememangnya wajar diberikan perhatian.

Perkongsian selama dua jam itu menampilkan Profesor Madya Dato’ Paduka Dr. Haji Mohd Rosli Saludin yang merupakan Felo Penyelidikan Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai ahli panel. Beliau juga merupakan Tokoh Warisan Orang Hidup.

Ruang bicara ini membolehkan Profesor Madya Mohd Rosli menyentuh pelbagai Adat Perpatih yang masih teguh diamalkan di Negeri Sembilan. Menurut beliau, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan menyebut bahawa adat ini berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera dan diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang.

Adat ini ialah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya merupakan petani pada ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan mengenai bila adat ini diwujudkan. Pun begitu, secara umumnya, Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau Minangkabau pada abad ke-14 Masihi.

Pada hakikatnya, adat undang-undang yang sebenar sudah wujud sejak zaman Nabi Allah SWT. Hal ehwal perkahwinan dan pentadbiran ini juga telah digunakan oleh umat Nabi Muhammad hingga hari ini, manakala setiap amalan dan adat pula terbentuk oleh penduduk setempat.

Negeri Sembilan diketahui terkenal kerana keunikan kewujudan suku-sukunya seperti Biduanda, Paya Kumboh, Tanah Datar, Batu Hampar, Tiga Nenek, Anak Acheh, Mungkal dan sebagainya. Menjawab persoalan yang bertanyakan mana antara suka-suku ini bakal terpilih dalam pemilihan dan pelantikan menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Profesor Madya Mohd Rosli menjelaskan bahawasanya pemilihan akan dilakukan hanya daripada empat suku, iaitu Sungai Ujung, Jelebu, Johol dan Rembau mengikut kekananan mereka.

Beliau turut berpesan bahawasanya tidak sepatutnya wujud berpuak-puak dalam hal ehwal pelantikan pemimpin. Pusaka adat ialah suatu perkara yang cukup berat dan perlu diteliti dengan memilih dan memerhatikan kelayakan pemimpin yang bakal dilantik. Perkara ini perlu diperhalusi supaya pemimpin yang baik dan layak bakal diangkat menjadi pemimpin. Namun begitu, mereka tidak terpilih tidak bermakna mereka tidak baik mahupun tidak layak. Berkecil hati boleh menimbulkan sistem yang tiada musyawarah, tidak reda-meredai dan tiada permuafakatan yang sebenarnya ialah unsur asal yang menyumbang kepada kehebatan sistem Adat Perpatih.

Berkaitan pemilihan pemimpin, beliau menjelaskan bahawa mengikut Adat Perpatih, pemimpin perlu datang daripada keturunan yang baik serta mempunyai kedudukan ekonomi yang baik untuk memudahkan mereka membantu masyarakat mereka. Hal yang perlu dielakkan dalam pemilihan pemimpin adalah seperti pemimpin yang terputus nasabnya.

Negeri Sembilan juga terkenal dengan adat masuk suku atau adat berkadim atau adat berkodin, iaitu adat bersaudara. Berkadim ialah satu jalinan ikatan kekeluargaan antara individu (daripada suku A atau orang luar tidak punya suku) ke keluarga yg bersuku B atau dipanggil masuk kumpulan suku

Kata beliau, “Kodin ada dua, iaitu Kodin pinang sebatang yang bermakna individu tersebut membawa diri sahaja dan kodin aur serumpun, iaitu dengan membawa keluarga untuk disukukan dalam suku-suku tersebut. Ini suatu contoh amalan yang baik.”

“Sebagai contohnya, pengantin lelaki yang datang dari negeri Kelantan perlu dikodinkan supaya mendapatkan orang dan suku yang akan membantu, menjadi teman berbincang buat beliau. Bayangkan jika dia perlu menunggu suku asalnya dari Kelantan yang mungkin boleh memakan masa lapan jam perjalanan untuk membantunya disebabkan dia tidak mempunyai suku,” tambah beliau.

Menepis dakwaan bahawasanya Adat Perpatih dikatakan sebagai syirik dan bidaah, Profesor Madya Mohd Rosli menjelaskan bahawasanya anak adat perlu menunjukkan contoh yang baik kerana apabila tersilap langkah, hal yang demikian boleh menimbulkan prasangka. Mereka perlu bertanya yang mana dikatakan bidaah dan yang dikatakan syirik kemudiannya perlu menjelaskan sebaik-baik yang mungkin kepada mereka yang bertanya.

Menyentuh mengenai pewarisan harta mengikut Adat Perpatih, beliau menerangkan dengan panjang lebar bahawasanya tanah adat diwariskan kepada anak perempuan. Pun begitu, anak lelaki turut mewarisi dan mempunyai kuasa penuh namun tidak diletakkan nama mereka disitu.  Jika mahu adanya hitam putih terhadap tanah tersebut perlulah wujud permuafakatan antara adik-beradik kerana tanah tersebut merupakan tanah kekeluargaan dan tanah persepakatan.

Tambah beliau lagi, “Jika tanah tersebut sudah menjadi bentuk duit, maka duit tersebut bukan hak mutlak perempuan. Dalam hal ini, perkiraan dari aspek faraid akan berlaku. Bagi setiap aspek yang melibatkan wang ringgit, lelaki akan mendapat hak yang lebih banyak berbanding dengan perempuan. Jika berlaku apa-apa kepada adik-beradik perempuan, adik-beradik lelaki wajib membantu seperti dalam hal persekolahan anak-anak dan menyediakan kewajipan yang berkaitan.”

Beliau juga menjelaskan amalan-amalan baik yang dipraktikkan oleh Adat Perpatih seperti amalan pemakanan, pewarisan, perkahwinan, pertunangan yang mana jika dikaji kesemuanya mempunyai falsafah yang baik dan molek untuk dipraktiskan oleh masyarakat hari ini serta kekal relevan untuk generasi akan datang.

Dapat disimpulkan di sini bahawasanya kita perlu mengambil inisiatif untuk memahami makna dan falsafah di sebalik adat-adat yang terkandung dalam Adat Perpatih seterusnya memperpanjang perkara ini kepada generasi muda agar adat ini dapat dilestarikan oleh generasi seterusnya serta tidak lekang dek perubahan zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.