18 April 2022, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Industri komik di Malaysia antara yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19 yang lalu. Tempoh dua tahun ini memberikan pelbagai pengalaman bagaimana iltizam penggiat bidang ini bertahan dan terus dapat kembali meraikan pengetahuan daripada pelbagai sudut kebudayaan menerusi bahan bacaan komik. Walaupun tidak sehebat khalayak pembaca genre kreatif novel dan antologi yang lainnya, komik tetap menghargai pengikut setianya. Karya-karya baharu tetap diusahakan untuk diterbitkan walaupun berdepan dengan banyak halangan.

Bertempat di KL Getaway Mall, Kerinchi, Kuala Lumpur, akan berlangsung satu program bagi menyemarakkan kembali industri kartun dan komik dengan menganjurkan program Zoom Kartun Ramadan  bersempena dengan April Bulan Kartunis Malaysia (April Toon).

Menurut Presiden ANIMASI, Encik Amir Hamzah, objektif mengadakan program ini adalah untuk melahirkan generasi artis yang berbudaya dan tidak melupakan seni warisan Malaysia menggunakan medium kartun dan komik dan yang paling penting merealisasikan moto Komik Biz Studio, sebuah portal komik yang dibangunkan oleh Pengasas Komik Biz, iaitu “Bersatu Sebarkan Manfaat”.

Selain itu, misi yang hendak dicapai melalui usaha ini adalah untuk mendidik masyarakat supaya kembali menyukai seni Malaysia.

Paling penting, ujarnya lagi, adalah untuk memberikan aspirasi dan inspirasi dalam bentuk seni baharu supaya menjadi penetapan trend (trendsetting) serta memberi peluang kepada pengkarya bertapak dan menyebarluaskan ilham dalam bentuk produk lain selain komik supaya lebih berdaya saing.

Pengasas Komik Biz dan Pengarah Majalah Etudea, Encik Mohd. Fikri Azman.

Turut membahu bersama ialah Pengasas Komik Biz dan juga Pengarah Majalah Etudea, Encik Mohd. Fikri Azman,  berharap menerusi kolaborasi menjayakan program ini akan dapat mencapai visi menjadi organisasi yang pertama dalam bidang penerbitan karya kartun dan komik serta penulisan yang mempromosikan khazanah seni warisan Malaysia menerusi persembahan karya artis dan membudayakan seni Malaysia dalam bentuk yang lebih moden dan terkini menjelang tahun 2025.

Orang ramai diundang hadir memeriahkan program ini dengan mendapatkan maklumat daripada poster yang dikongsikan ini; atau hubungi urus setia melalui talian 013-6325728/03-77731160; atau e-mel [email protected] serta boleh melayari laman web komikbiz.com.

Yang akan turut hadir dalam karnival dua hari ini ialah pasukan elit pekomik Biz Studio dan pelbagai aktiviti turut diadakan. Pastikan anda tidak ketinggalan menjayakan program dua hari ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!