20 April 2022, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkongsian berkaitan dengan ilmu tradisional alam Melayu khususnya merujuk naskhah perubatan Melayu amat menarik untuk diteliti. Dengan itu, kita memahami bagaimana generasi terdahulu menyelidiki, membuat uji kaji dan seterusnya berhasil memformulasikan rawatan ataupun penawar kepada sesuatu penyakit. Paling mengujakan apabila sesuatu penyakit itu dihubungkaitkan pula dengan unsur alam seperti tanah, air, api dan angin.

Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Mohd. Zarif.

Penulisan bahagian ketiga ini akan meneliti kandungan rahsia sihat dan cantik berdasarkan perkongsian Profesor Pengajian Islam dan Manuskrip Melayu, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Mohd. Zarif.

Sebelum itu, masihkah para pembaca mengingati doa ketika melihat cermin?

Doa tersebut bermaksud, ‘Ya Allah sebagaimana Engkau telah cantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku.’

Daripada doa yang dikongsikan ini fahamlah kita bahawa secara holistik, pakej cantik kejadian di sini ialah sihat dan cantik tubuh badan akan menyerlah pula kepada keseluruhan penampilan seseorang yang ditunjangkan dengan akhlaknya. Akhlak ini sudah tentu pula bersandar pada tingkah laku dan tutur kata seseorang yang mencerminkan akal budi serta santun bahasanya kepada orang lain dan masyarakatnya.

Mengamati doa ini kemudian dihubungkan dengan perkongsian Profesor Dr. Muhammad Mustaqim memang sangat menarik, kerana berdasarkan kajian beliau, generasi Melayu terdahulu sudah melaksanakan pengintegrasian ilmu.

Ilmu yang meliputi pakej yang lengkap untuk melahirkan individu yang sempurna kerana bagi generasi terdahulu yang berpaksikan tauhid, Nabi Muhammad SAW ialah suri tauladan yang terunggul. Oleh hal yang demikian, pemindahan ilmu zaman silam telah pun berlaku dengan pesat apatah lagi dengan adanya pengaruh Islam pada abad 1300M.

Ilmu-ilmu ini sudah tentu berpaksikan ajaran al-Quran dan sunah, dan hikmahnya walaupun al-Quran satu-satunya memiliki mukjizat yang dipelihara oleh Allah SWT sehingga dunia ini menuju titik noktahnya, manuskrip-manuskrip Melayu ini seolah-olah diizinkan oleh-Nya jua untuk hidup dan mengiringi kitab suci ini. Simboliknya, daripada tubuh yang sihat ini, manusia alam Melayu ini akan dapat menghidupkan ilmu-ilmu daripada kitab suci ini kelak.

Persoalannya, bagaimanakah manusia alam Melayu mendapat ilham merawat penyakit yang dihidapinya? Profesor Dr. Muhammad Mustaqim mengatakan semuanya berlaku daripada interaksi generasi terdahulu dengan alam. Dikatakan, ketika itu ditemui seekor ibu burung yang berjaya merawat kaki anaknya yang sengaja dipatahkan beberapa kali oleh manusia kerana ingin melihat apakah yang akan dilakukan oleh ibu burung ini untuk merawat kaki anaknya yang dipatahkan itu, dan dengan menggunakan daun rusuk kerbau dan daun lemiding, ibu burung ini berjaya merawat kaki anaknya yang patah.

Perkongsian bagaimana seekor ibu burung merawat kaki anaknya yang sengaja dipatah oleh manusia beberapa kali.

Kisah ibu burung ini seolah-olah terhubung pula dengan kisah Qabil, anak Nabi Adam yang buntu kerana terkorbannya Habil, yang akhirnya ditunjukkan Allah dengan perilaku seekor burung yang menimbus seekor lagi burung yang telah mati. Burung juga menjadi petunjuk ilmu perubatan di alam Melayu ini semasa bermula dan terus berkembang.

Sejak itu, dikatakan ilmu perubatan ini terus berkembang dan hingga kini manuskrip-manuskrip ilmu Alam Melayu ini tersimpan dan dijaga rapi bak menjaga “sang puteri” di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Manuskrip ini terpelihara dan dilindungi dengan sepenuh hati.

Yang menariknya, menurut Profesor Dr. Muhammad Mustaqim, ilmu-ilmu perubatan Alam Melayu ini meliputi unsur roh dan jasad. Walaupun dilatari unsur animisme kemudian Hindu dan Hindu-Buddha, dan akhirnya Islam, pengaruh ini melatari budaya keilmuan perubatan Melayu.

Daripada sejarah dan unsur budaya ini jelaslah apa-apa yang dikongsikan oleh Profesor Dr. Muhammad Mustaqim, iaitu generasi alam Melayu yang memiliki ilmu perubatan ini turut melakukan adaptasi, penyesuaian, pembersihan dan mengalami juga reformasi kepada amalan perubatan tertentu dan proses ini sentiasa berterusan bagi mengekalkan amalan perubatan ini dari generasi ke generasi dan kemudian terakam melalui naskhah perubatan Melayu, iaitu “Kitab Tib”.

Berdasarkan kajian beliau juga bahawa perubatan yang dimaksudkan di alam Melayu ini ialah ilmu dan seni yang berkaitan dengan pemeliharaan kesihatan dan pencegahan, pengurangan dan penyembuhan penyakit. Kemudian ilmu ini dipanggil dengan beberapa nama antaranya ilmu tib, ilmu tabib, perdukunan, perbomohan, perubatan, mujarrabat, paubatan, usada dan lain-lain.

Kemudian pengamal perubatan Alam Melayu ini serasi dengan istilah tib dan dilihat paling sesuai, menyeluruh dan lebih menggambarkan penghasilan, perkembangan dan kemajuan serta pengamalan ilmu dalam konteks masyarakat Melayu.

Tanpa diketahui umum bahawa para tabib dan dukun ini sebenarnya mempraktikkan perubatan yang bersifat ilmiah dan amat ketara sistematiknya kerana ditemukan kaedah, terdapat istilah dan pendekatan yang mantap dan tetap daripada “Kitab Tib” ini.

Ilmu perubatan ini diberikan perspektif perubatan tradisional berbanding sains moden. Inilah istimewanya “Kitab Tib” Melayu kerana hubungan roh dan jasad itu terikat dengan kukuh untuk melahirkan sihat yang holistik.

Uniknya ilmu tib Melayu ini menampilkan variasi dan trend (aliran) tertentu. “Ilmu ini juga menekankan keseimbangan rohani dan jasmani,” ujar Profesor Dr. Muhammad Mustaqim lagi. Malah yang paling tekal perjuangan aliran perubatan ini sejak beratus-ratus tahun lampau ialah wujudnya pertallian erat antara perubatan dengan hikmat, iaitu berlandaskan norma Islam yang beriktikad menyerah diri kepada Yang Maha Kuasa, iaitu tawakal, manakala adaptasi unsur pra-Islam yang masih diwarisi oleh pengamal perubatan tradisional menerusi ilmu tib ini termasuklah mantera, jampi, simbolisme haiwan mistik seperti naga, dewa/batara guru dan lain-lain.

Daripada perkongsian ini jelas hikmah yang ditanamkan oleh ilmu tib Melayu iaitu memahami bahawa segala penyakit yang dialami oleh seseorang itu didatangkan oleh Allah SWT, oleh hal yang demikian, perawatan yang dilakukan cumalah sebahagian usaha yang dilakukan oleh pengamal ilmu ini dan selebihnya kuasa daripada-Nya jualah yang menyembuhkan atau mengurangkan sesuatu penyakit.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.