20 April 2022, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Baru-baru ini, teater “Langit Perang di Tanah Air” karya dan arahan Khairunazwan Rodzy dipentaskan buat lima malam, bermula pada 15 April 2022 hingga 19 April 2022 yang berlangsung di studio Revolution Stage, Petaling Jaya.

“Langit Perang di Tanah Air” bukan sahaja berdiri sebagai sebuah naskhah yang memaparkan nasib keluarga dalam kekangan kemampuan mereka untuk memilih keputusan, tetapi juga buat pengamatan dan penonton dalam nasib mereka sebagai rakyat dalam sesebuah negara. Bagaimana gelagat pemimpin sebuah masyarakat yang akan berpaling terhadap masyarakatnya apabila mereka ditimpa gejolak? Khairunazwan menggarap sebuah alegori pendek tentang sifat egoistik oleh para pemimpin “yang bertanggungjawab”.

Garapan Khairunazwan dalam drama ‘Langit Perang di Tanah Air’ memaparkan suara-suara yang terkurung dalam pekung rakyat, dengan menggunakan watak adik-beradik yang lapan sebagai alegori cerita masyarakat negara yang berbilang fikiran, persetujuan dan masalah.

Jelas bagaimana pengarang bermain dengan alegori itu apabila setiap watak adik-beradik yang lapan itu mempunyai masalah yang pelbagai dan latar hidup yang berbeza-beza. Mereka dilihat sebagai adik-beradik yang mempunyai konflik seteguh batu, namun terpaksa untuk bersatu sementelah masing-masing terperangkap dalam tragedi. Seperti idea yang berbunyi tragedi itu menyatukan manusia.

Sembilan watak utama yang menjayakan teater “Langit Perang di Tanah Air”.

Malah dilihat juga melalui sembilan watak utama dalam drama ini, mereka ialah wakil bagi setiap lapisan masyarakat sesebuah negara; tidak kira negara apa, seperti ahli korporat, wartawan, seniman, “mat rempit” malah suami dan isteri, bahagia ataupun sebaliknya, itu semua adalah masyarakat yang dipaparkan melalui hubungan adik-beradik ini.

Dengan konflik yang tersendiri dan tidak sentiasa bersekedudukan antara satu dengan lain, mereka menemui titik temu antara mereka apabila sebuah bencana; seperti perang, menimpa mereka yang menyaksikan nasi telah menjadi bubur.

Dalam drama ini, Malaysia sudah mencapai tahun 2030. Bagaikan mimpi, langit Malaysia pada malam Hari Raya Aidilfitri (sesuai dengan pementasannya pada bulan puasa) tahun itu berwarna perang. Sekelip mata sebuah negara yang aman dilanda bencana perang, dilihat melalui lensa lapan orang adik-beradik yang telah berpecah-belah hubungan sesama mereka. Dalam gemelut perang yang mencemaskan, masing-masing berusaha untuk pulang ke rangkulan keluarga yang tercinta.

Walaupun dalam keadaan krisis, ketua-ketua negara pula dipaparkan sebagai pihak yang leka dan tidak kompeten, sekali gus melalaikan mereka untuk bertindak menyelamatkan rakyat sedangkan rakyat tiada kerja campur tangan dalam urusan peperangan dari awal lagi.

Khairunazwan menggarapkan babak-babak kabut dan mencemaskan yang bermain secara parallel, dan menarik penonton untuk menjelajah ke dalam cerita dengan lebih naik-turun emosi. Seperti yang dibuat dalam naskhah “Muzikal Sudirmania”, unsur babak yang memotong-motong dan mencemaskan penonton itu lebih lantang sebagai pendorong cerita.

Teater “Langit Perang di Tanah Air” berlatarkan kehidupan pada tahun 2030.

Dari sudut pandang Thia, kepada sudut pandang Angah, kepada sudut pandang Anjang malah sudut pandang Perdana Menteri (yang perlahan dipaparkan sebagai antagonis), Khairunazwan dan para dramawan berhasil mementaskan pementasan yang mapan naratifnya, kemas garapannya.

Setiap karyawan mempunyai matlamat masing-masing dalam menukang karya. Matlamat yang menjadi sasaran utama seorang karyawan adalah mencari kebenaran atau keadilan buat masyarakatnya.

Pada hakikatnya, tiada siapa-siapa yang sempurna dalam menggalas peranan seorang manusia, mahupun seorang pengkarya yang berkarya untuk menyuarakan keadilan. Namun begitu, dalam ketidaksempurnaan itu, kita masih cuba untuk menegakkan keadilan, kerana itulah yang memanusiakan kita. Penulis drama “Langit Perang di Tanah Air” cuba untuk mengetengahkan isu keadilan yang dikeluarkan daripada suara-suara rakyat dalam gelombang krisis ciptaan penulis.

Kekuatan yang dapat dilihat dan diyakini oleh para penonton dalam pementasan teater ini ialah elemen transisi yang dikemaskan oleh para dramawan. Antara setiap babak dan adegan, perubahan nuansanya lebih meyakinkan. Juga jika dilihat pada penyusunan tata cahaya, siluet dan warna yang dipancarkan pada wajah Perdana Menteri dan Thia ketika harapan semakin memudar dan bayang cahaya langit berwarna perang.

Teater ini mengisahkan lapan beradik yang mempunyai masalah yang pelbagai dan latar hidup yang berbeza-beza.

Menampilkan sekumpulan pelakon teater baharu, pementasan ini adalah pementasan pertama mereka sebagai sebuah kumpulan kepada khalayak awam. Baihaq Majid, Azri Khair, Jihaa Sham, Fatin Q, Izzat Syahmi, Iz Rafdhy, Arissa Rahim, Jeremy Bong tampil sebagai pelakon dengan persembahan yang kuat dan menjanjikan, dan Faiq Irfan dan Khal Isyaf sebagai dramawan yang makin ramah dalam ranah teater pula semakin berani dalam mengangkat watak-watak yang mencabar.

Pementasan teater “Langit Perang di Tanah Air” kali ini merupakan pementasan kedua bagi naskhah itu oleh dramawan Revolution Stage. Memandangkan ini ialah naskhah dramatis yang sudah mapan kepengarangannya, malah dengan beliau juga berdiri sebagai pengarah, dari sisi penceritaan itu sahaja sudah cukup meyakinkan khalayak yang mereka akan menonton sebuah teater yang menjanjikan kepuasan.

Namun demikian, pementasan kali ini memaparkan kekuatan para pelakon yang akan menyambung jalur pelakon teater tanah air. Walaupun ini adalah persembahan pertama mereka secara satu kumpulan kepada khalayak awam, persembahan mereka tetap menyuntik emosi; memberikan lambang harapan bahawa semangat prodigi pelakon teater tempatan masih kuat dan semakin terang masa hadapannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.