Oleh Syaza Wardina
7 Mei 2022, 06:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut meriah di seluruh dunia, termasuklah di Kampung Nelayan Warna-warni, Program Transformasi Diraja Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang meraikannya dalam satu majlis meriah baru-baru ini.

Majlis sambutan Aidilfitri tersebut turut dimeriahkan dengan sajian istimewa, Lemang “Warna-warni” yang disediakan sebagai hidangan seri majlis berkenaan.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menerima undangan Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran komuniti Kampung Seberang Ramai.

Suasana Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran komuniti Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

“Lemang ‘Warna-warni’ yang disajikan adalah signifikan kepada pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) dengan kerjasama pelbagai agensi negeri dan persekutuan serta swasta dan masyarakat setempat,” demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Katanya, “Keistimewaan Lemang ‘Warna-warni’ adalah pada warnanya yang menarik selain mengekalkan resipi tradisi sajian lemang yang dihidangkan bersama-sama rendang dan serunding.”

Tambah beliau lagi, lemang tersebut menjadi lebih istimewa kerana disediakan oleh warga asnaf di bawah bimbingan MAIPs yang mengekalkan cita rasa asli lemang dengan aroma yang memikat.

Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran komuniti Kampung Seberang Ramai dihadiri lebih 300 penduduk tempatan dan turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Panglima Markas 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.