17 Mei 2022, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 20.0 sekali lagi diadakan pada 16 Mei 2022. Pada kali ini, program ini menyantuni karya sasterawan negara dengan menjemput Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dalam slot cakna puisi. Selain slot cakna puisi, terdapat juga slot lain dalam program edisi Mei 2022 iaitu Sangkar Puisi – Slot Santai Jiwa dan Sangkar Puisi – Slot Wangian Sukma.

Slot Santai Jiwa menampilkan tujuh pemuisi yang terdiri daripada Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan, “Beraya dan Berwaspada”; Presiden Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) Malaysia, “Selamat Hari Raya” karya Wanrazuhar; Profesor Madya Dr. Nor Hashimah Ismail, “Syukur”; Rusdi Mohamad Noor, “Seloka Raya”; Ahmad Jami’ul Amil, “ Mencari Sebuah Masjid” karya Taufik Ismail; dan Nur Ain Mohamat Zapiru, “Sebuah Penantian”.

Sementara dalam slot kedua pula menampilkan enam orang pemuisi, iaitu Kapten Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dengan puisi bertajuk “Untuk Isteri Kutulis Puisi”; Dr. Zainatul Shuhaida, “Murung”; Lasmi Febrianingrum, “Sudahkan Kaubersyukur?”, H. [email protected] haji Mohd. Ali Haji Raden, “Perjalanan”; Nurshafiqah Mat Zizi, “Lebaran Impian”; dan Profesor Dr. Zamri Radzi “Aku Hanya Mahu ke Seberang” karya Hashim Yaacob.

Slot terakhir merupakan slot cakna puisi. Dalam slot tersebut, Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan telah menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan oleh moderator, Asmawiza Haji Hussin dan berkongsi  pelbagai pandangan, cadangan dan saranan dalam usaha mengantarabangsakan karya sastera negara kita.

Pada awal bicara tersebut, beliau telah berkongsi tema yang menjadi pilihan ketika berkarya. Beliau meletakkan diri sebagai manusia yang melihat perubahan-perubahan yang sebenarnya memberikan cabaran kepada tradisi budaya kita. Contohnya, dalam novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, beliau sebenarnya ingin menyampaikan kepada masyarakat kita semakin banyak kehilangan warisan tradisi dalam kehidupan.

“Dalam usaha menjadi masyarakat madani, kita tidak boleh menolak perubahan tetapi kita perlu mengekalkan nilai-nilai murni dalam masyarakat kerana kita tidak mahu hanya maju dalam bidang material semata-mata sehingga mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan,” tambahnya.

Beliau juga berkata, sastera mewakili budaya ketamadunan bangsa kerana sastera itu sentiasa berkembang. Hal ini dikatakan demikian kerana pengarang melihat sesuatu dalam masyarakat dan mengolah dengan gaya bahasa sastera yang boleh menyentuh emosi dan pemikiran khalayak pembaca.

“Sebenarnya, Malaysia mempunyai banyak karya yang bermutu tetapi sayangnya kita tidak mempunyai satu program yang menyeluruh dan berkesan bagi menterjemah karya-karya ini baik daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mahupun Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM),” katanya ketika menjawab persoalan yang dikemukan oleh moderator untuk mengantarabangsakan sastera di peringkat global.

Beliau juga menyenaraikan beberapa usul dan cadangan dalam usaha untuk mengantarabangsakan karya sastera negara. Antaranya adalah dengan melaksanakan satu program teratur untuk karya-karya terpilih diterjemah ke dalam bahasa asing,  penterjemah tersebut perlulah penutur bahasa asal bahasa yang ingin diterjemahkan, karya terjemahan diterbitkan di negara sasaran dengan kerjasama penerbit negara tersebut, kenalpasti agen pemasaran di negara yang ingin dipasarkan karya terjemahan tersebut dan manfaatkan pusat-pusat pengajian Melayu yang ada di pelbagai negara dalam usaha pengantarabangsasteraan sastera kita secara lebih meluas.

Sumber: Facebook PusatBudaya UUM.

Dalam usaha memastikan karya yang dihasilkan berkualiti, kita perlu mendapatkan pandangan daripada editor dan karya kita perlu dikiritik agar kita mampu menghasilkan sesuatu yang karya yang lebih berkualiti.

“Sebagai seorang yang pernah bergelar editor, penghasilan sesuatu karya mengambil masa yang lama kerana karya tersebut akan disemak berkali-kali sebelum diserahkan bagi memastikan kesempurnaannya. Setiap karya yang dihasilkan pulu akan dipastikan mencapai tahap terbaik sekurang-kurangnya pada peringkat kebangsaan“ katanya.

Menutup bual bicaranya, beliau menyatakan Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan harus diterus dan diperluaskan kerana program ini merupakan medan utuk menunjukkan bahasa Melayu  merupakan bahasa moden, antara bahasa terbesar di dunia, bahasa yang boleh mengungkapkan pemikiran yang kompleks, bahasa pengucapan seni yang dapat difahami di peringkat antarabangsa.

Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 20.0 edisi bulan Mei bersempena sambutan Aidilifitri merupakan anjuran bersama Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), PEMUISI, DBP, Alumni Bengkel Puisi Merdeka (ALUMNI) serta rakan strategik luar negara dari Indonesia, iaitu Universitas Muhammadiyah Profesor Dr. HAMKA (Uhamka), Universitas Trunojoyo Madura dan Universitas Pendidikan Indonesia serta dari negara China iaitu Sichuan International Studies University dan dikendalikan oleh dua orang pengacara, iaitu saudara Harlym Yeo dan  Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!