19 September 2022, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura, sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada Hikayat Patani telah dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 17 September 2022. Persembahan yang julung kalinya menggabungkan teater dan syair di satu pentas yang sama ternyata mendapat sambutan daripada peminat naskhah sastera tradisional.

Berlatarkan sejarah kesultanan Pahang, gabungan teater dan syair Setanggi Ratna Inderapura menonjolkan kehandalan Raja Ungu, iaitu Raja Perempuan Patani ketiga sebagai serikandi perang. Sebelum pulang ke Patani memegang takhta kerajaan, serikandi perkasa itu merupakan Sultanah Kerajaan Pahang, isteri kepada Sultan Abdul Ghafur yang dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultanah Alam Syah.

Naskhah yang memaparkan epik peperangan Kesultanan Pahang menentang Siam ini memperlihatkan kehebatan Raja Ungu menewaskan Apya Deca (Ayuthaya-Siam). Sebelum itu, Apya Deca telah berjaya membunuh Sultan Abdul Ghafur. Kemudiannya, Raja Kuning, iaitu puteri tunggal Raja Ungu dan Sultan Abdul Ghafur dicagarkan kepada Apya Deca oleh kekandanya Raja Biru supaya Patani tidak diserang.

Barisan produksi pementasan teater syair.

Selain menunjukkan bangsa Melayu yang biasanya bersenjatakan keris, tombak dan lembing, teater syair ini juga memaparkan Raja Ungu berjaya menumpaskan Apya Deca dengan hanya membelit lehernya bersenjatakan kain cindai yang menyebabkan Apya Deca muntah darah dan meninggal dunia. Yang menariknya, persembahan teater syair ini disulami dengan dendangan syair dan nazam, lantas menjadikannya sebagai teater muzikal pertama yang dipersembahkan kepada khalayak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat (YB) Datuk Zahidi Zainul Abidin dan isteri hadir dan turut sama menonton teater ini. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga dengan usaha pementasan teater ini. “Bagi saya, kalian bukan sekadar membuat persembahan, tetapi sedang berjuang dan berperang dengan takdir modenisasi untuk terus menjulang martabat bangsa. Dalam lemas dan tenat dunia kini yang digasak dengan rencam arus teknologi sehingga ada yang hilang jati diri, kalianlah pejuang insan yang meminjamkan diri dan kudrat kepada negara, tanpa lelah berusaha, kalian mengangkat semula khazanah bangsa supaya segalanya tidak hilang,” demikian ucapan YB Datuk Zahidi yang ditujukan khusus kepada produksi yang mengusahakan persembahan teater syair Setanggi Ratna Inderapura.

Dalam sidang media yang berlangsung setelah berakhirnya persembahan teater, YB Datuk Zahidi memberitahu pihak kementeriannya akan menjadikan kisah Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem yang berupaya menembusi pasaran filem antarabangsa. “Ramai yang perlu tahu mengenai kisah Raja Ungu ini kerana memaparkan banyak nilai seni dan budaya yang sangat bermakna. Malah cerita ini bukan sahaja menonjolkan sejarah Melayu tetapi elemen seperti syair dan nazam Melayu juga harus ditonjolkan kepada generasi muda,” demikian kata YB Datuk Zahidi.

Tambah beliau, “Kisah sejarah Sultanah Alam Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Ungu, serikandi Melayu yang terkenal dengan kepandaian berpencak dan bermain senjata, dan mengetuai angkatan perang dapat dijadikan pengajaran khusus buat generasi muda pada masa ini.”

Berkenaan hasrat menjadikan kisah Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem, YB Datuk Zahidi memberitahu beliau akan ke Thailand dalam masa terdekat untuk mengadakan kolaborasi strategik antara produksi filem tempatan bersama-sama produksi filem Thailand bagi tujuan berkenaan. “Minggu depan saya akan ke Thailand kerana kita mahu membawa kisah Setanggi Ratna Inderapura ini menembusi pasaran antarabangsa. Saya juga akan berusaha mencari produksi filem di sana untuk bekerjasama dalam mengeluarkan filem ini,” katanya kepada media.

Pementasan Setanggi Ratna Inderapura dijayakan dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara, Anjung Seni Nilakandi dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa UUM, Profesor Madya Dr. Hishamudin Isam dan Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Encik Mohd. Aqi Mohd Azmi turut hadir menyaksikan pementasan teater syair. Penulisan skrip dan pengarahan teater ini digarap oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir, penggiat teater dan pendendang syair yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di UUM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.