1 November 2022, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – “Anak-anak jurusan kejuruteraan dan sains juga mampu menulis sastera dan kebanyakan mereka lebih berbakat.” Demikian ucapan Novelis Ibrah Sejarah Nombor Satu Malaysia, Hizamnuddin Awang atau nama penanya Web Sutera semasa Sesi Resensi Buku dalam Majlis Perasmian Penutupan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau turut memberikan pelbagai tips supaya penulisan khalayak dapat diterima dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menghantar pelbagai karya kepada DBP. “Terdapat penerbit yang boleh menerima bahasa rojak dan ada pula yang hanya menerima bahasa Melayu Tinggi sahaja dalam penulisan,” ujar Hizamnuddin.

Hal ini dikatakan demikian kerana beliau ingin mengajak anak-anak muda waima bukan dalam pengajian sastera turut mampu menjadi seorang penulis sastera yang hebat. Beliau yang berlatarbelakangkan jurusan sains komputer membuktikan bahawa bukan orang sastera sahaja yang mampu menjadi seorang penulis.

Hizamnuddin Awang atau nama penanya Web Sutera sedang memberikan penerangan sewaktu sesi resensi buku.

Pada awal sesi resensi buku ini, beliau memulakan bicara dengan mengupas novel pertama beliau, iaitu Di Sebalik Hijab yang diterbitkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Novel ini mempunyai dua cerita yang berbeza dengan bertemakan unsur sejarah dan peperangan. Ilham menulis novel ini turut diambil melalui tafsir al-Quran, hadis dan kitab Bible.

“Kerana saya suka cerita sejarah, saya menukilkan dua cerita berbeza yang mengisahkan tentang 7 pemuda gua, iaitu Ashabul Kahfi,” kongsi Hizamnuddin. Novel ini juga telah diulang cetak sebanyak tiga kali dan sebanyak 600 buah buku berjaya dijual secara dalam talian.

Seterusnya, Hizamnuddin meneruskan sesi resensi buku dengan menghuraikan buku kedua beliau yang bertajuk Raja Kesatria: Hijab Raja Zulqarnain. Novel ini diberikan nafas baharu berbanding karya asal, iaitu Macedonia Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain.

Novel ini berjaya diterbitkan semula disebabkan oleh permintaan yang tinggi, namun telah ditukarkan tajuk dan penambahan bab hasil perbincangan Hizamnuddin dengan pihak penerbit. “Saya mengambil inisiatif untuk berbincang dengan editor dan penerbit untuk menerbitkan semula buku ini dengan beberapa syarat, iaitu dengan penambahan bab dan penukaran judul,” jelas Hizamnuddin.

Tambah beliau lagi, dalam penulisan novel ini, beliau tidak menggunakan bahasa slanga seperti “tak”, “mu”, dan “pula”. Sebaliknya menggunakan tatabahasa yang tepat termasuklah kata panggilan yang formal. Hasilnya, novel ini telah berjaya dijual sebanyak 10 000 buah sehingga kini.

“Matlamat saya telah tercapai untuk menghasilkan sebuah novel sastera Melayu yang menggunakan bahasa Melayu Tinggi sepenuhnya,” ujar Hizamnuddin.

Beliau turut menegaskan, untuk menulis suatu cerita, penulis dilarang dan tidak sepatutnya mencipta seorang hero atau wira yang melangkaui kekuatan, kehebatan dan keagungan Rasulullah SAW.

Mengakhiri sesi resensi buku ini, Hizamnuddin menyeru dan mengajak para pelajar supaya mencontohi beliau, iaitu orang yang berlatarbelakangkan sains tetapi mampu meminati dan mengusai bidang sastera. Pelajar yang berlainan jurusan juga mampu meminati bidang lain dan tidak perlu hanya fokus kepada satu bidang sahaja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.