19 Mei 2022, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Pada 17 Mei 2022 lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia melancarkan lagu Kempen Cuti-cuti Malaysia versi kedua berjudul Menemui Semula di sebuah hotel terkemuka dekat sini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyampaikan ucapan pelancaran Menemui Semula dan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

Lagu ciptaan Ananth Kumar (irama) dan James Boyle (lirik) tersebut didendangkan oleh penyanyi terkenal tanah air, Aina Abdul. Aina turut muncul dalam majlis pelancarannya mendendangkan Menemui Semula yang bergenrekan pop etnik bersama-sama aliran muzik dunia, hip hop dan muzik tarian elektronik (EDM) secara langsung dengan suara mantap, dan mendapat tepukan bergemuruh.

Menemui Semula yang turut menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang dan gendang, antara lain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama-sama keluarga tersayang. Pelancarannya selari dengan fokus kerajaan untuk memperkasakan pelancongan domestik, seiring dengan peralihan ke fasa endemik yang bermula sejak 1 April 2022 lalu, dan sebagaimana tujuan lagu Menemui Semula, Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PPP2022) turut dilancarkan.

Pelancaran Menemui Semula dan PPP2022 disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Nancy memberitahu, PPP2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April 2022 lalu, katanya, melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.

‘Inisiatif ini bakal diperluas secara berperingkat, melibatkan Kluster Pengangkutan Udara, dan Kluster Penginapan, selain Kluster Pelancongan Minat Khas, merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema,’ tambah Nancy.

Aina Abdul mendendangkan Menemui Semula secara langsung dengan suara mantap, dan mendapat tepukan bergemuruh.

Menurutnya lagi, pelancaran PPP2022 bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan, atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa. Langkah ini seterusnya, tambah Nancy, mampu merangsang permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing.

“Di bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 sehingga RM15 yang bakal memberi manfaat kepada 64,675 orang pengguna,” jelas Nancy.

Menurut beliau lagi, pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi KLIA dengan KTM Mobile, secara dalam talian, atau mesin tiket.

Sementara itu, di bawah Kluster Persatuan Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA), dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi aplikasi e-marketplace Shopee.

“Rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula pada 29 April sehingga 31 Oktober 2022 bagi tempoh perjalanan hingga 31 Disember 2022,” jelas Nancy.

Setiap pengguna atau pemegang MyKad, tambah beliau, layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay. Dianggarkan 14 925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2 985 000.

Yng turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Dr. Santhara J.P., Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, dan wakil-wakil rakan kerjasama pelancongan.

Selain Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan dan lagu Menemui Semula, turut diadakan sesi minum petang dan sambutan Aidilfitri kerana Syawal 1443 Hijrah masih ada. Hadirin dan tetamu kehormat dihiburkan oleh persembahan menggesek biola sambil menari daripada Mohamad Aqmal Daniel Hashim, 22 tahun, dan sekali lagi Aina.

Sementara itu, video Menemui Semula boleh dilayari di laman YouTube Malaysia Truly Asia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!