23 Mei 2022, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Uniknya arkib tempat saya bertugas sekarang, iaitu di negeri Johor, merupakan arkib yang pesat berkembang dengan rekod dan dokumen sejak ditubuhkan pada Mei 1972. Arkib Negara Malaysia Johor terletak di Tingkat 7, Wisma Persekutuan, di Jalan Ayer Molek, Johor Bahru ini menempatkan rekod dan dokumen berkaitan Johor seawal abad ke-19.

Pelbagai pihak dari dalam dan luar negara telah mengunjungi Arkib Johor bagi melaksanakan kerja-kerja penyelidikan khususnya berkaitan dengan negeri Johor. Ada perkongsian menarik ingin saya sertakan dalam penulisan ini melalui penelitian saya kepada rekod-rekod arkib di sini, satu daripadanya ialah berkaitan dengan catur perang Johor.

Apabila menyebut catur, saya yakin pembaca pasti memahami bagaimana catur Inggeris serta catur Cina menjadi satu permainan otak yang sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Menurut Dr. Mohd. Hasanuddin bin Mohd. Yusof, seorang penyelidik catur Melayu memberitahu bahawa catur perang Johor merupakan satu daripada rekod penting membuktikan wujudnya permainan ini sebagai alat mempertajam strategi peperangan dalam era sejarah Johor Lama khususnya pada era pemerintahan Raja Kecil Siak (1718 − 1722).

Arkib Negari Johor.

Apa-apa yang menarik hendak saya kongsikan ialah catatan berkaitan dengan catur Johor turut berada dalam simpanan Arkib Negara Malaysia Negeri Johor. Dalam kajian sebelum ini, terdapat beberapa catatan manuskrip Melayu merakamkan bahawa masyarakat Melayu seawal abad ke-15 di Melaka telah bermain catur bagi mengisi masa lapang di samping menguji kepintaran masing-masing. Turut dicatatkan tokoh permainan catur pada masa abad ke-15 bukan sahaja mampu menangani permainan catur dengan baik tetapi turut berjual beli pantun dalam masa yang sama. Hal ini menunjukkan permainan ini sinonim dengan tahap keintelektualan pemainnya. Permainan ini kemudiannya diwarisi oleh kesultanan Johor, kejituan tumpuan kepada permainan ini dikatakan sehingga mampu mengalih perhatian pemain daripada suasana peperangan buat seketika.

Catur dalam masyarakat Melayu Johor khususnya pada awal abad ke-18 adalah permainan yang dimainkan oleh semua golongan khususnya golongan bangsawan.

Kaedah permainan catur Johor berbeza daripada beberapa catur lain yang sejenis dengannya. Catur Johor turut digelar sebagai catur perang dan pemain mempunyai dua objektif untuk menentukan pemenang. Setiap pemain catur Johor perlu mencapai salah satu matlamat sama ada berjaya menawan sebanyak mungkin bidak lawan ataupun menguasai ruang kubu pertahanan lawan.

Kejayaan salah satu objektif ini membolehkan pemenang permainan ini ditentukan. Peraturan permainan catur perang Johor ini sesungguhnya ialah realiti perang ke dalam sebuah permainan. Mungkin ada yang mempertikaikan permainan ini turut dimainkan di beberapa wilayah moden Malaysia mahupun Indonesia. Akan tetapi, hal yang demikian hanya menunjukkan bahawa catur Johor ini mempunyai pertalian sejarah yang tersebar ke seluruh wilayah yang pernah menjadi sebahagian dari wilayah jajahan takluk Johor.

Catatan berkaitan dengan permainan catur Johor atau catur perang ini telah dirakamkan dengan kemas oleh Istana Johor sebelum kemudiannya seorang tokoh Johor, iaitu Mejar Mohamad Said Sulaiman memeliharanya dalam bentuk catatan yang disalin semula. Beliau ialah individu yang penting di istana semasa pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim al-Masyhur Johor.

Kelebihannya mengakses dokumen bernilai tinggi di istana Kesultanan Johor ini telah memberikannya peluang untuk menyalin semula manuskrip tulisan tangan yang uzur dan tidak mampu mengelak daripada kemusnahan. Salinan dalam tulisan Jawi bertaip menjadikan maklumat berkenaan telah berjaya dipanjangkan usianya hinggalah abad 21 ini. Atas usaha beliaulah akhirnya satu daripada permainan Johor yang intelektual sifatnya dapat diselamatkan untuk rakyat Johor hari ini khususnya dan Malaysia umumnya.

Pada hari ini, dokumen berkaitan dengan permainan catur Johor telah menggamit lebih ramai penyelidik baru untuk menjalankan kajian yang lebih mendalam di Arkib Negara Malaysia Negeri Johor. Daripada sebuah sumber primer di arkib, catur Johor wajar dilahirkan semula ke dalam masyarakat supaya menjadi sebuah budaya yang perlu dilestarikan kembali ke dalam ganerasi muda keseluruhannya.

Usaha ini selayaknya mendapat sambutan daripada agensi penggerak yang penting seperti Yayasan Warisan Johor yang bukan sahaja mempunyai dana malah kepakaran dan peralatan yang bersesuaian dalam memelihara dan memulihara budaya ketamadunan Johor. Peranan agensi ini dalam mengembalikan catur ke dalam masyarakat tidak kurang pentingnya seperti peranan yang dimainkan oleh pusat intelektual Johor di Pulau Penyengat pada abad ke-18 itu sendiri.

Melalui pemugaran sejarah catur Johor dan kembalinya ke dalam inventori permainan rakyat tidak bermakna akan meminggirkan catur lain yang telah sedia ada sejak awal abad ke-20. Sebaliknya, permainan catur Johor ini bukan sahaja menjadi salah satu pilihan permainan catur tapi menjadi identiti Johor dalam permainan khususnya berkaitan dengan sukan otak. Permainan ini kelak menjadikan masyarakat tidak melupakan masa lalu bagaimana hebatnya Johor pada abad ke-16 hingga abad ke-18. Sejarah yang bukan sahaja mewarnai bidang politik, ekonomi dan bahasa malah turut melibatkan kesan dalam aspek budaya dan juga permainan dalam masyarakat Melayu moden khususnya.

Catur Johor satu daripada beribu-ribu sumber sejarah yang boleh didapati dari Arkib Negara Malaysia Negeri Johor. Selain maklumat sejarah dan rekod-rekod pentadbiran, mungkin sekiranya orang awam mahupun pelajar ingin melihat dengan lebih dekat bagaimana proses satu-satu dokumen dipelihara dan dijaga rapi, bolehlah merancang masa anda untuk membuat temu janji melawat arkib.


Penulis ialah Pengarah, Arkib Negara Malaysia Negeri Johor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.