Oleh Lee Kuok Tiung
30 Mei 2022, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanggal 30 dan 31 Mei merupakan kemuncak kemeriahan sambutan Tadau Kaamatan yang merupakan pesta menuai masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah.

Perayaan bulan lima etnik peribumi Sabah yang antara lain meraihkan semangat Huminodun selalunya diwarnai dengan pelbagai adat budaya yang unik yang lazimnya telah diketahui oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.

Apa-apa yang sering kali didengari atau dilihat orang luar mungkin hanyalah mengajak tetamu ikut serta menari-nari lenggang Sumazau tetapi sebenarnya lebih daripada itu.

Menjadi kebiasaan dalam sesebuah keluarga di Sabah mempunyai berbilang etnik dan mempraktikkan kepercayaan agama yang berlainan. Anak hasil perkahwinan antara Cina dengan Kadazan misalannya akan dikenali sebagai Sino. Dalam sebuah keluarga juga kita boleh melihat adik-beradik ada yang beragama Kristian, Buddha dan Islam.

Kebetulan pula perayaan Kaamatan pada tahun ini diraikan bersama-sama dengan sambutan Hari Raya Aidifitri telah menjadikan suasana sambutan pada tahun ini lebih istimewa dengan bertemakan “Kaamatan monunduon do winorun”.

Hal ini ditambah dengan pandemik COVID-19 yang melanda sebelum ini, menyebabkan dua siri Kaamatan yang lepas disambut dengan norma baharu yang dibelenggu pelbagai sekatan.

Acara kemuncak sambutan Kaamatan ialah pertandingan Unduk Ngadau, iaitu pertandingan ratu cantik peringkat negeri di Dewan Hongkod Koisaan KDCA. Para finalis yang berentap di KDCA Penampang terdiri daripada juara-juara daerah di seluruh Sabah akan memperagakan baju tradisi suku etnik masing-masing dan bersedia diuji dalam pelbagai aspek baik perwatakan diri khasnya jati diri dan identiti, gaya berjalan, termasuk kemampuan serta kepetahan (lancar dan yakin) berbahasa ibunda.

Antara sebab mengapa Unduk Ngadau berlangsung selama sebulan adalah kerana sambutan ini bermula pada peringkat daerah dan final diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA.

Media biasanya juga tidak akan terlepas membuat liputan terhadap pelbagai aspek acara tradisional ini termasuklah kelengkapan pakaian tradisional, kriteria-kriteria penilaian memakai aksesori perhiasan, pembawaan diri atas pentas (tidak kelihatan janggal atau kekok), komunikasi nonverbal seperti senyuman manis yang asli mahupun sebarang tips-tips yang dikongsikan oleh para juri yang berpengalaman secara gratis.

Paling menyeronokkan apabila melihat gelagat entri-entri dalam media sosial yang obses berdebat − siapakah yang paling layak dinobatkan sebagai pemenang? Meskipun ada kalanya nampak wujud sentimen kedaerahan yang melampaui batas, namun pada hakikatnya hal yang demikian menyerlahkan semangat pisompuruan yang bermakna perpaduan dan semangat kekitaan yang tetap harmoni. Jangan terkejut mahupun terkilan jikalau ada kalanya juri UN pun “diserang” kredibiliti mereka membuat penilaian. Begitu pun, tidak kurang juga yang sekadar mengikuti kepelbagaian ragam itu sebagai pandangan dan buah fikiran untuk menambah ilmu mahupun hiburan semata-mata.

Masing-masing cuba menyudut dari sudut pandang yang berbeza berdasarkan ilmu, pengetahuan, pandangan tersendiri berkenaan mana-mana yang betul dan tidak betul. Ada yang menyukai yang asli (original) tetapi ada yang mengusulkan rombakan sesuai dengan asimilasi budaya dan arus permodenan.

Meskipun ada juga acara lain seperti Buvazoi Tavantang (Mr. Kaamatan) tetapi tetap tidak boleh lawan Unduk Ngadau. Terdapat juga Sugandoi, iaitu pertandingan menyanyi yang nampak semakin mendapat tempat tanpa prasyarat seketat Unduk Ngadau tetapi tidak mustahil pada masa akan datang untuk lagu dialek lokal.

Penghayatan nilai tradisi itu sebenarnya subjektif dan terbuka luas. Ada yang advokasi keinklusifan yakni semua atau kepelbagaian tetapi tidak kurang juga yang ingin mengenalkan nilai suku marginal atau kelompok etnik momogun tertentu. Tidak dapat dinafikan ada bahasa subetnik tertentu yang berada di ambang kepupusan dewasa ini.

Pengunjung KDCA daripada pelbagai latar belakang yang berbeza akan berpeluang melihat rumah kebudayaan subetnik KDMR yang diusahakan oleh kerajaan dan persatuan etnik di Sabah sebagai satu usaha memelihara warisan budaya komuniti terbesar Sabah.

Tempoh sebulan menjadi medan kepada pengusaha makanan menjual pelbagai jenis makanan seperti Bazaar Ramadan. Justeru itu tidak mustahil menemui pelbagai makanan tradisional yang diusahakan oleh orang-orang tempatan tetapi tidak kurang juga makanan Barat seperti burger dan masakan ala Barat.

Hinava, tuhau, bambangan, nasi linopot, dan banyak lagi sudah menjadi sebahagian makanan eksotik yang mempunyai kepelbagaian cara memakannya. Makanan lain seperti sinalau bakas, pinaasakan atau bosou turut digemari ramai tetapi terhad pembuatannya disebabkan oleh faktor agama dan budaya.

Uniknya di Sabah, kita biasa melihat orang Sabah berbeza kaum dan kepercayaan boleh duduk makan dan minum semeja. Konsep silaturahim boleh dilihat berdasarkan restoran di Sabah juga banyak seperti di Sarawak apabila banyak warung makanan yang memberikan alternatif kepada pelanggan untuk memilih sementara tuan kedai fokus pada jualan air minuman sahaja.

Akhir sekali, Selamat Menyambut Pesta Kaamatan “Kotobian Tadau Tagazo Kaamata”. Tidak lupa juga, Selamat Menyambut Hari Gawai “Gayu Guru Gerai Nyamai” kepada pribumi Sarawak yang meraikannya.


Mejar Profesor Madya Dr. Lee Kuok Tiung ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.