31 Mei 2022, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Sempena Ulang Tahun Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM) yang ke-76, pihak RTM Sarawak dan Sarawakfm telah mengadakan program persembahan “Juh Bermukun” tanpa henti selama 76 jam, bermula pada 27 hingga 30 Mei 2022.  Persembahan “Juh Bermukun” yang bertempat di Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching disiarkan secara langsung melalui Facebook Langsung RTM Sarawak dan turut diperdengarkan secara langsung melalui radio Sarawakfm.

Golongan lelaki yang menggesek biola dan bertandak sambil menyanyikan pantun.

Bermukun merupakan adat tradisi masyarakat Melayu di Sarawak yang tidak lapuk ditelan zaman. Seni hiburan tradisional ini menggabungkan persembahan tarian dan pantun berirama yang diiringi oleh gesekan biola dan paluan gendang. Bermukun yang sudah lama wujud di Bumi Kenyalang turut menjadi wadah untuk mendidik dan mengkritik perilaku masyarakat selain untuk berhibur. 

Terdapat tiga elemen penting dalam persembahan bermukun, iaitu seh gendang, bertandak dan menopeng. Seh gendang merujuk sekumpulan wanita seramai dua hingga empat orang yang duduk di sebalik tabir, yang berperanan sebagai pemalu gendang sambil menyanyikan pantun. Ruang tengah berdekatan tabir dikosongkan untuk acara bertandak. Kebiasaannya, kaum lelaki yang akan bertandak atau berjoget secara bergilir-gilir. Menopeng pula merujuk penari lelaki yang memakai topeng disebabkan rasa malu untuk menari di khalayak ramai, selain untuk menyembunyikan identiti penari lelaki tersebut. Ketiga-tiga elemen ini boleh dilihat secara percuma dalam program “Juh Bermukun” yang dipersembahkan di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching, lantas mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records sebagai acara bermukun yang dipersembahkan tanpa henti selama 76 jam, dari 27 hingga 30 Mei 2022.

Ucapan perasmian oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, dan juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, Yang Berhormat, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengucapkan syabas atas inisiatif pelbagai pihak dalam menjayakan persembahan “Juh Bermukun” yang boleh dikatakan suatu acara besar di negeri Sarawak. Menurut beliau, persembahan “Juh Bermukun” selama 76 jam tanpa henti sememangnya suatu tempoh yang cukup panjang dan menuntut kesabaran, terutama daripada para seh gendang yang tugasnya memalu gendang sambil melagukan pantun. 

“Penganjuran program melalui kerjasama pelbagai pihak adalah penting dalam usaha untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan memberikan impak positif kepada masyarakat secara keseluruhannya. Berkaitan dengan acara bermukun ini, dengan adanya kerjasama daripada beberapa pihak, maka persembahan ini akan meninggalkan impak yang signifikan dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records,” demikian ucap Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang kemudiannya merasmikan acara bermukun yang bermula pada 27 Mei, pukul 5.00 petang di Auditorium P.  Ramlee, Kuching.

Ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato’ Haji Che Roslan Che Daud.

Dalam ucapan alu-aluannya pula, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato’ Haji Che Roslan Che Daud menyatakan, program yang telah dirangka bermula pada hari ini dan akan berakhir pada 30 Mei 2022, membawa misi dan visi yang sangat besar, iaitu memartabatkan seni budaya setempat supaya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sokongan dan dukungan yang padu daripada kementerian yang berkenaan juga membolehkan program seperti ini terus diadakan demi memartabatkan seni budaya bangsa. 

Menurut Dato’ Haji Che Roslan Che Daud, “Jika dilihat sekali imbas, aktiviti bermukun yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu di Sarawak hampir ada persamaan dengan dondang sayang di Melaka. Secara tidak langsung, program bermukun yang akan berlangsung tanpa henti selama 76 jam ini akan mengeratkan interaksi sosial bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di Sarawak, malah melangkau ke negeri di Semenanjung Malaysia seperti Melaka.” Tambah beliau, “Acara bermukun juga mendapat perhatian dan sambutan daripada generasi muda di Sarawak. Hal ini ditambah dengan persembahan bermukun yang menampilkan tukang gendang, penari, penggesek biola dan pemantun yang hanya boleh disaksikan di negeri Sarawak. Maka itu, budaya bermukun harus dipelihara dan dilestarikan, terutama dalam kalangan generasi muda.”

Persembahan “Jun Bermukun” dijayakan melalui kolaborasi daripada seh gendang dan pemukun dari Kuching, Bintulu, Miri, Mukah, Labuan dan Kota Kinabalu. Acara yang cukup signifikan dalam memelihara budaya tradisi masyarakat Melayu di Sarawak ini dianjurkan oleh RTM Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, dan turut mendapat sokongan daripada saluran radio tempatan di Sri Aman, Bintulu, Miri, Limbang, Sabah dan Labuan.

Pengarah Penyiaran Negeri Sarawak, Encik Nasrul Hakim Mohd Nor, Pengarah Penyiaran Negeri Sabah, Encik Zulkifli Mohamad, dan Pengarah Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Aminah Shamsuddin Mohd. turut hadir memeriahkan majlis perasmian persembahan “Juh Bermukun” dan juga sebagai tanda sokongan terhadap program seni budaya tempatan yang menjadi warisan berharga di negeri Sarawak.  

Persembahan bermukun tanpa henti selama 76 jam ini dibahagikan kepada tujuh bahagian dan menemui garis penamat tepat pada pukul 9.00 malam, 30 Mei 2022. Sebagai acara penutup, para penonton yang datang menyaksikan persembahan bermukun tidak melepaskan peluang berjoget di tengah pentas persembahan bermukun yang menutup tirainya dengan memperoleh pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!