7 Disember 2022, 22:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 yang bertemakan “Menghubungkan Tekstil kepada Komuniti untuk Pertumbuhan Mampan” di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 5 hingga 7 Disember 2022.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang bertitah dalam Majlis Pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022.

Dalam majlis tersebut, KDYMM Raja Permaisuri Agong turut berkenan menghadiahkan Keringkam Sarawak milik baginda kepada Muzium Sarawak untuk dipamerkan kepada khalayak umum.

Titah KDYMM baginda, keringkam berusia 35 tahun yang diterima baginda merupakan satu daripada hantaran perkahwinan yang mempunyai nilai seni yang tinggi serta perlu dihargai dan dihayati oleh generasi baharu supaya tidak lupa untuk memartabatkan keindahan seni tenunan kain.

“Pada hari ini, saya mahu menyerahkan keringkam ini kepada kerajaan negeri Sarawak untuk dipamerkan di Muzium Sarawak kerana ianya merupakan keringkam buatan Sarawak,” titah KDYMM baginda pada Majlis Pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 di Hotel Pullman Kuching.

KDYMM baginda turut bertitah bahawa wilayah di Kepulauan Borneo, iaitu Sarawak, Sabah dan Brunei mempunyai pelbagai hasil kekayaan warisan tekstil yang masih belum diterokai dan KDYMM baginda berkenan untuk mambawa hasil seni atau kraf tangan asli Sarawak ke London bersempena Minggu Kraf London pada tahun depan yang bertemakan etnik asli, seni corak dan kraf.

“Saya berharap seluruh dunia akan dapat melihat kekayaan hasil seni dan kraf yang kita ada seperti songket keringkam daripada Melayu Sarawak, Pua Kumbu daripada kaum Iban serta songket Rajang Melanau yang terkenal dengan teknik bunga tersembunyi kerana orang Barat sangat suka dengan nilai seni dan corak,” titah KDYMM baginda lagi.

KDYMM Raja Permaisuri Agong turut memohon kepada enam penjara di Sarawak supaya menghasilkan produk kraf yang berbeza dan mencabar Penjara Puncak Borneo untuk menghasilkan Pua Kumbu dalam penghasilan dan tenunan samping.

Di samping itu, KDYMM baginda bertitah kepada para tukang tenun yang mahir agar tidak lokek berkongsi ilmu serta menurunkan kemahiran yang ada kepada generasi baharu kerana kini semakin berkurangan individu yang mahir dan pakar yang terlibat dalam bidang ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengunjungi pameran di gerai-gerai yang dibuka bersempena majlis tersebut.

Keringkam merupakan selendang, skaf atau tudung tradisional yang menjadi lambang mahkota dan antara pelengkap busana tradisonal bagi wanita Melayu di Sarawak yang menyerlahkan lagi keayuan serta kelembutan mereka.

Seramai 12 orang penceramah ternama termasuklah wakil-wakil dari luar negara seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Belanda dan Turki telah diundang. Turut hadir menyerikan majlis ialah isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.

Tujuan program ini adalah untuk memupuk hubungan antara masyarakat dengan para pemain industri tekstil selain menjadi platform pertukaran idea ke arah pemeliharaan dan kemampanan tekstil di seluruh dunia.

Simposium ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan selepas Simposium Tekstil Asean yang telah diadakan di Putrajaya pada September lalu dengan penyertaan dari negara-negara di rantau Asia Tenggara serta dari benua lain merangkumi India dan negara-negara Eropah. Majlis perasmian tersebut boleh ditonton secara dalam talian di https://www.facebook.com/unitkomunikasidanpenerangansarawak/videos/514647610612195.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.