27 Mac 2023, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepelbagaian budaya di Malaysia menyemarakkan lagi keunikan negara ini di mata persada dunia. Semestinya adat resam dan budaya setiap kaum di Malaysia perlu dijaga agar kekal utuh dan tidak lekang dek masa. Hal ini bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat, tetapi juga untuk menjaga warisan nenek moyang kaum masing-masing agar dapat diwariskan kepada generasi muda.

Pada kesempatan kali ini, penulis ingin menceritakan tentang keastetikan budaya suatu etnik di negeri Sarawak atau lebih dikenali sebagai Bumi Kenyalang yang memfokuskan kaum wanita etnik tersebut. Keunikan dan keistimewaan Ngepan Iban dalam budaya etnik Iban inilah yang menjadi pencetus idea kepada penulis untuk berkongsi dengan lebih mendalam mengenai perkara tersebut.

Ngepan Iban
Ngepan dalam bahasa Iban merujuk kepada pakaian, manakala Ngepan Iban pula merujuk kepada pakaian masyarakat Iban di Sarawak. Menelusuri keunikan etnik Iban yang bukan sahaja kaya dengan pelbagai warisan budaya yang melibatkan adat perkahwinan, kepercayaan dan adat resam, namun budaya Ngepan Iban terutamanya aksesori Ngepan wanita Iban pasti mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Lampit Pirak.
Buah Pauh.

Pemakaian aksesori mempunyai nilai yang signifikan dalam penata gaya Ngepan wanita Iban. Sebelum penulis mengulas secara terperinci mengenai aksesori-aksesori Ngepan Iban, alangkah baiknya penulis meringkaskan dahulu proses pemakaian busana ini.

Pemakaian Ngepan Iban haruslah bermula dengan memakai “Kain Tating” ataupun “Kain Kebat”, kemudian disilangkan “Selampai” dan disarungkan “Marik Empang” pada bahagian dada, lalu dipakaikan “Rawai” dan bahagian pinggang dililitkan dengan menggunakan “Tali Mulong”. “Tumpa” (gelang perak) disarungkan pada kedua-dua belah tangan dan lengan. Kemudian rambut perlu disanggul siput supaya “Sugu Tinggi” yang dipakaikan pada bahagian kepala tidak jatuh dan ditambah dengan “Thucuk Sanggul” untuk menguatkan lagi “Sugu Tinggi”. “Antin Pirak” dipakaikan pada kiri dan kanan telinga serta jari akan diselitkan dengan “Buah Pauh” sebagai aksesori tambahan, manakala “Gerunchung Kaki” pula dipakai pada bahagian pergelangan kaki.

Koleksi Perhiasan Ngepan Iban
Menurut Wan Juliana Emeih Wahed dan Patricia Pawa Pitil (2018), “Sugu Tinggi” merupakan perhiasan perak yang dipakai semasa mengenakan Ngepan Iban yang dicucukkan dalam sanggul wanita Iban. Kilauan yang terpancar pada material yang bermotifkan flora ini amat unik apabila terkena sinaran cahaya.

Selain “Sugu Tinggi”, “Tuchuk Sanggul” (cucuk sanggul) merupakan material budaya yang penting dalam hiasan kepala wanita Iban. Fungsinya adalah untuk menyokong sanggul rambut apabila mengenakan “Sugu Tinggi” yang agak berat agar tidak jatuh dan longgar. Reka bentuknya pula adalah tajam, diperbuat daripada perak dan mempunyai beberapa motif ukiran seperti cucuk sanggul yang digunakan oleh para wanita dari negara China.

Perhiasan perak yang dipakai pada pinggul wanita Iban sebelum menggunakan “Rawai Pirak” pula dikenali sebagai “Sementing Ringgit” yang mempunyai keunikan bentuk yang tersendiri, iaitu mempunyai duit syiling yang bercantum rapat dan berjurai ke bawah. Apabila wanita Iban memakainya, maka akan kedengaran bunyi yang gemersik dan berkilauan. Keunikannya semakin menonjol apabila alunan bunyi “Sementing Ringgit” dan “Kain Tating” menghasilkan bunyi yang senada ibarat “Burung Emping Aling” dan pastinya menarik perhatian orang ramai yang mendengarnya.

Sugu Tinggi.
Tuchuk Sanggul.

Aksesori yang seterusnya pula lebih istimewa kerana pembuatannya bukan hanya daripada perak untuk membentuk gulungan, tetapi juga ditusuk dengan rotan bagi membentuk bulatan yang menyerupai bengkung. Perhiasan yang unik ini ialah “Rawai Pirak” yang digunakan pada pinggul wanita bagi memperlihatkan lekuk tubuh apabila menggunakan Ngepan Iban. Pemakaian “Rawai Pirak” dalam Ngepan Iban memerlukan kesabaran yang tinggi kerana saiz “Rawai Pirak” yang agak ketat menyukarkan pemakainya tidak selesa untuk duduk atau melakukan aktiviti seperti berjalan dan menari.

Menurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2020), “Lampit Pirak” merupakan tali pinggang besar yang diperbuat daripada perak dan merupakan hiasan yang digunakan pada bahagian pinggang selepas memakai “Sementing Ringgit” dan “Rawai Pirak”. Ciri-ciri utama yang terdapat pada “Lampit Pirak” adalah mempunyai ukiran flora pada bahagian dokoh dan di sekelilingnya.

“Tali Mulung” atau dikenali sebagai “Tali Ujan” merupakan aksesori tambahan untuk mengindahkan lagi aura dan seri pemakai Ngepan Indu Iban. Ciri-ciri khas “Tali Mulung” adalah mempunyai serpihan perak yang halus dan kemudiannya dicantumkan untuk menjadi tali yang panjang. Bentuknya yang halus dan rapuh mengharuskan pemakainya berhati-hati agar tidak memutuskan tali perak yang terdapat pada aksesori “Tali Mulung”.

Menurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2020), “Tumpa Bentuk” merujuk kepada gelang tangan yang diperbuat daripada perak. Kebiasaannya, aksesori “Tumpa Bentuk” akan dipakai secara bertingkat-tingkat pada seluruh pergelangan tangan sehingga ke paras lengan dan mempunyai pelbagai saiz bermula daripada saiz kecil sehinggalah ke saiz yang besar. Tujuan pemakaian “Tumpa Bentuk” dalam Ngepan Iban adalah untuk menghiasi pergelangan tangan pemakainya. “Tumpa Bentuk” selalunya dibuat dengan teknik menempa perak dan kemudiannya diukir menggunakan motif flora atau bergaris-garis bagi menambah nilai estetika dalam objek budaya tersebut.

Menurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2021), “Gerunchung Kaki” yang diperbuat daripada perak dan dihiasi dengan loceng akan dipakaikan pada kaki, manakala pemakaian “Buah Pauh” pula sebagai perhiasan tambahan.

Gerunchung Kaki.

Kesimpulannya, aksesori budaya Ngepan Iban amat unik dan istimewa bagi penulis sendiri kerana berpeluang menceritakan secara terperinci untuk menjadi tatapan para pembaca yang mencintai dan sentiasa menginginkan pengetahuan mengenai budaya setiap kaum di Malaysia. Menurut Gregory Kiyai (2021), hubungan antara masyarakat Iban dengan alam telah mengembangkan minda mereka dalam berkreativiti untuk menghasilkan estetika seni terhadap objek yang dicipta bagi menyuntik elemen-elemen keindahan, cantik dan menarik.

Akhir kata menurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2020), dalam masyarakat Iban mereka menganggap warisan dan pusaka sebagai aspek budaya yang melambangkan identiti dan pengenalan diri. Oleh sebab itu, budaya Ngepan Iban perlu dikekalkan kerana budaya ini merupakan contoh teladan kepada masyarakat Iban agar tidak lupus ditelan zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.