2 Jun 2022, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Gawai atau sering disebut Gawai Dayak merupakan perayaan tradisi yang disambut dengan penuh meriah oleh etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak. Hari Gawai yang disebut “Ari Gawai” dalam bahasa Iban dan “Andu Gawai” dalam bahasa Bidayuh disambut pada tarikh 1 Jun setiap tahun.

Tarikh sambutannya tidak berubah dan mula disambut secara besar-besaran sejak 25 September 1964 apabila Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Hari Gawai pada peringkat negeri yang pertama ialah pada 1 Jun 1965.

Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil “Hari Sarawak” oleh pemerintahan Rajah Brooke. Pada masa ini, tarikh 1 dan 2 Jun diisytiharkan sebagai cuti umum di Sarawak bagi memberikan peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu untuk merayakan Hari Gawai, selain menzahirkan rasa kesyukuran atas segala keberkatan, keharmonian, rezeki dan tuah yang diperoleh oleh suku kaum tersebut.

Rumah Terbuka Hari Gawai di Borneo Convention Centre pada 1 Jun 2022.

Hari untuk Berpesta

Menurut sejarahnya, Hari Gawai diraikan sebagai tanda berakhirnya musim menuai padi bukit, selain untuk melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada “petara” atas rezeki padi yang diperoleh pada musim tersebut. Maka itu, Hari Gawai merupakan hari untuk suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu untuk berpesta dan bergembira bagi meraikan rezeki menuai padi kerana perkataan “gawai” itu bermaksud pesta. Pendek kata, Hari Gawai merupakan hari menyambut tahun baharu yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baharu. Selain itu, Hari Gawai bertujuan untuk meraikan “semangat padi” yang telah memberikan rezeki dan mengharapkan rezeki bertambah dan tiada apa-apa yang buruk berlaku dalam kehidupan etnik peribumi Sarawak itu pada musim menanam padi yang akan datang.

Air “Tuak” dan Kuih Tradisional

Menyingkap cara masyarakat zaman dahulu menyambut Hari Gawai, suku kaum Dayak akan membuat persediaan awal, iaitu sebulan sebelum tibanya tarikh 1 Jun. Dalam tempoh sebulan itu, suku kaum peribumi yang menyambut Hari Gawai akan menyediakan air tapai yang dipanggil sebagai “tuak”. “Tuak” dihasilkan daripada penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampurkan ragi sebelum disimpan di dalam tempayan. Penapaian “tuak” biasanya mengambil masa kira-kira sebulan. Apabila sudah ada sedikit air “tuak” tulen yang terhasil daripada nasi pulut yang ditapai itu, air itu akan dicampurkan dengan gula secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut. Setelah hampir cukup sebulan, air “tuak” itu akan ditapis dan disimpan di dalam botol.

“Tuak” akan diminum semasa sambutan Hari Gawai dan biasanya tetamu yang datang berkunjung ke rumah panjang akan diberikan minuman “tuak”. Dalam masyarakat Iban, “tuak” dipanggil “ai pengayu” yang bermaksud “tuak untuk panjang umur”. Sebelum meminumnya, “ooohaa” akan dilaungkan yang menandakan perayaan Hari Gawai sudah tiba. Sebelum tiba hari perayaan juga, kaum wanita akan sibuk bekerjasama membuat kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan yang diperbuat daripada tepung beras, tepung gandum, santan dan telur.

“Kumang” dan “Keling” Gawai

Pemenang “Kumang” dan “Keling” Gawai.

Dalam tempoh sebulan menjelang Hari Gawai, pertandingan “Kumang Gawai” dan “Keling Gawai” akan diadakan bertujuan untuk memilih gadis dan jejaka yang bukan sahaja cantik dan tampan tetapi mempunyai pengetahuan tentang adat dan tradisi suku kaum masing-masing. Pemilihan “Kumang Gawai” yang disertai oleh gadis remaja dan “Keling Gawai” oleh lelaki remaja juga dinilai berdasarkan pakaian tradisi yang dipakainya berserta dengan aksesori yang bersesuaian dengan pakaian dan suku kaum yang diwakili oleh peserta pertandingan tersebut.

Setiap Bahagian di Sarawak akan mengadakan pertandingan ini, dan “Kumang Gawai” dan “Keling Gawai” yang mewakili Bahagian masing-masing akan beradu kecantikan, ketampanan dan kebijakan akal masing-masing pada malam kemuncak pertandingan yang kebiasaannya berlangsung sebelum tiba tarikh 1 Jun. Merujuk pada 11 Bahagian di Sarawak, suku kaum Iban kebanyakannya mendiami Bahagian Sri Aman, Kapit dan Betong. Suku kaum Bidayuh yang terbahagi kepada empat kategori, iaitu Bidayuh Biatah, Bidayuh Bau-Jagoi, Bidayuh Bukar-Sadong dan Bidayuh Selakau pula kebanyakannya tinggal di Bahagian Serian. Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah dan Kelabit pula kebanyakannya mendiami daerah di Bahagian Miri dan Bintulu.

Ayam dan nasi di dalam buluh yang dibakar.

“Ngabang” atau “Bijarah”

Seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, Hari Gawai juga diraikan dengan mengadakan aktiviti berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Dalam bahasa Iban, amalan kunjung-mengunjung disebut “ngabang” manakala suku kaum Bidayuh menyebutkan “bijarah”.  Maka itu, selain berpesta dan melakukan amalan tradisi, pada Hari Gawai juga semua adik-beradik dan sanak saudara yang tinggal berjauhan akan berkumpul di rumah panjang, atau pada masa ini di rumah ibu bapa yang tinggal di kampung. Semuanya akan berkumpul dan bersama-sama memeriahkan hari kebesaran tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang. Yang menariknya, semua orang boleh “ngabang” atau “bijarah” walaupun tidak mengenali penghuni rumah berkenaan.

Dalam kalangan suku kaum Bidayuh, sebelum berlangsungnya pesta atau sambutan gawai di rumah panjang pada waktu malam, upacara “birambet”, iaitu menyambut kedatangan golongan lelaki dan tetamu dari luar yang datang ke rumah panjang akan diadakan pada waktu petang. Dalam upacara ini, golongan wanita akan beratur di sepanjang laluan menuju ke rumah panjang sambil memegang sebotol tuak dan kuih tradisional. Segelas tuak dan kuih tradisional akan diberikan kepada golongan lelaki dan tetamu yang berjalan menuju ke rumah panjang sebagai tanda sambutan dan mengalu-alukan kedatangan mereka.

Hidangan Tradisi

Assam, hidangan tradisi suku kaum Bidayuh.

Makanan tradisi, iaitu ayam yang dimasak di dalam buluh menjadi menu wajib yang dihidangkan semasa Hari Gawai. Bagi masyarakat Iban, hidangan tradisi itu disebut “ayam pansuh” atau “manok pansuh” manakala suku kaum Bidayuh pula memanggilnya “assam” atau “issam”. Terdapat perbezaan antara “ayam pansuh” dengan “assam”.  “Ayam pansuh” ialah daging ayam yang dicampurkan daun pucuk ubi manakala “assam” ialah daging ayam yang digaul dengan nasi yang sudah dimasak. Persamaannya pula ialah hidangan tradisional itu dimasak dengan cara memasukkan daging ayam dan ramuan tertentu ke dalam buluh dan kemudian dibakar menggunakan kayu api.

Perayaan Tradisi yang Kekal Terpelihara

Seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat peribumi di Sarawak, Hari Gawai disambut dengan cara dan gaya moden, namun masih mengekalkan sebahagian upacara tradisional seperti penyediaan makanan tradisional, pemakaian pakaian tradisional, berpesta di rumah panjang dan menjaga pantang larang semasa membuat persediaan menyambut Hari Gawai. Kini, sambutan Hari Gawai bukan sahaja dimeriahkan oleh masyarakat peribumi malah diraikan oleh kaum lain dengan mengunjungi rumah rakan yang meraikan perayaan tradisi itu.

Sememangnya perayaan Hari Gawai menjadi lambang yang memperlihatkan perpaduan, aspirasi dan identiti suku kaum peribumi di Sarawak. Kini, walaupun pemodenan di Sarawak semakin berkembang, Hari Gawai masih kekal sebagai perayaan tradisi utama yang disambut meriah oleh masyarakat di Bumi Kenyalang.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!