5 Jun 2022, 08:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lagu-lagu rakyat klasik negara kita yang terkenal dalam kalangan kanak-kanak kembali bergema di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 3 dan 4 Jun 2022 lalu menerusi pementasan konsert Pesta Haiwan (The Carnival of the Animals).

Antara lagu yang dipersembah oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) secara instrumental (rangkaian/bersendirian), termasuklah rangkaian Ikan Kekek dan Kenek-kenek Udang; serta Anak Itik Tok Wi, dan Burung Kakak Tua, dengan Bangau Oh Bangau, serta Oh Bulan, dan Gelang Si Paku Gelang secara bersendirian. Konsert persembahan OSK ini ditaja oleh Centrestage Vision Dynamic.

Lagu yang popular dalam kalangan kanak-kanak prasekolah turut menarik perhatian penonton yang sebahagian besarnya kanak-kanak, iaitu Satu Labah-labah turut dipersembah dengan aksi seekor labah-labah yang dilakonkan menjelma di pentas. Oleh sebab takut, tiga watak itik menghalaunya. Setelah serangga itu tiada, watak itik mengajak kanak-kanak dalam kalangan penonton naik ke pentas Panggung Sari menyanyikan lagu itu dengan iringan muzik oleh OSK.

OSK juga tidak lupa dengan kemasyhuran semasa apabila memainkan rangkaian lagu runut bunyi siri animasi televisyen terkenal, Upin & Ipin, iaitu Gembira Bermain dan Sahabat Selamanya.

Pesta Haiwan yang digubah oleh komposer Perancis, Camille Saint-Saens membawa penonton ke dalam kehidupan setiap haiwan yang diwakili instrumen muzik berbeza untuk setiap satunya. Untuk pementasan selama dua hari itu, persembahan instrumental OSK dipimpin oleh Nasran Nawi.

Persembahan instrumental Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Nasran Nawi.

Bermula dengan kerajaan haiwan di daratan sehinggalah kepada kumpulan ikan di lautan, penonton dibawa menikmati kisah kehidupan haiwan tersebut di habitat semula jadi mereka dalam bentuk muzikal.

Istimewa dan tidak semua orang pernah menyaksikannya, pementasan dalam segmen pertama Pesta Haiwan itu menceriakan dan memukau penonton melalui pelbagai karakter haiwan dan persembahan khas hasil sentuhan pelukis pasir, Bernice Wong secara langsung.

Bernice dari Pulau Pinang, menjadi individu penting dalam penghasilan pelbagai karakter haiwan dan persembahan khasnya telah menceriakan penonton.

Antara haiwan yang ditampilkan sambil Bernice melukis dengan pasir itu termasuklah pengenalan serta perarakan diraja singa, ayam betina dan ayam jantan, kura-kura, gajah, kanggaru dan dinosaur yang hanya tinggal rangka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!