16 Jun 2022, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis lakon layar, pengarah sinematografi, dan pelakon lelaki utama filem yang menjadi buah mulut peminat filem tempatan sejak penghujung tahun 2021 hingga kini, Prebet Sapu turut tercalon untuk kategori masing-masing dalam Anugerah Global Emas Malaysia (MGGA) 2022 yang akan diadakan di Istana Budaya (IB) pada 16 Julai hadapan.

Prebet Sapu atau dalam MGGA 2022 ini disebut sebagai Hail, Driver! sendiri turut tercalon sebagai 10 Buah Filem Teratas (Top 10 Films) bersama-sama Drowning in Holy Water dari Iran, Full Time (Perancis), Memoryland (Jerman-Vietnam), No Ground Beneath the Feet (Bangladesh), Rehana (Singapura-Bangladesh), The Silent Forest (Taiwan), Two Friends (India), Whether the Weather is Fine (Filipina-Singapura) dan White Building (Perancis-Kemboja).

Karyawan filem Prebet Sapu itu ialah Muzzamer Rahman (yang juga pengarah) dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Hafiz Rashid dan Fairuz Ismail (Sinematografi Terbaik) dan Amerul Affendi (Aktor Terbaik).

Sementara itu, dua orang tokoh perfileman negara, iaitu pelakon Sharifah Amani dan penulis/penerbit filem, Amir Muhammad antara yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa pemilihan bersama-sama lima orang tokoh lain.

Perkara ini diumumkan semasa majlis pengumuman senarai pencalonan MGGA 2022 oleh Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-5 dan MGGA 2022 sendiri di sebuah kompleks beli-belah terkemuka dekat pada 15 Jun 2022 yang lalu. Dalam majlis tersebut, MIFFest ke-5 juga mengumumkan bahawa Tourism Malaysia akan menyertai festival tahun ini sebagai pihak sokongannya.

Berdasarkan senarai, filem Two Friends mengungguli pencalonan apabila tercalon dalam lima buah kategori, dengan dua pelakon utamanya, Arif Shaikh (berumur 10 tahun) sebagai Safikul dan Asik Shaikh (berusia sembilan tahun) sebagai Palash, sama-sama dicalonkan dalam kategori Aktor Terbaik. Oleh sebab itu, mereka merupakan calon termuda dalam MGGA setakat ini.

Secara keseluruhan, lebih 100 buah filem menyertai MGGA 2022. Majlis tersebut turut mengumumkan lima orang tokoh atau penggiat filem yang diundang sebagai juri MGGA 2022, iaitu Christine Hakim (aktres veteran Indonesia) sebagai Presiden Juri, Lav Diaz (pembikin filem Filipina), Sabrina Baracetti (Presiden Festival Filem Timur Jauh Udine), serta Ho Wi Ding (pengarah Malaysia yang berpangkalan di Taiwan) dan Chong Keat Aun (pengarah Malaysia).

Dua orang tokoh veteran perfileman, iaitu Kim Dong-Ho dan Hou Hsiao-Hsien pula telah dipilih untuk menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

“Anugerah ini sepatutnya disampaikan kepada Dong-Ho dan Hsiao-Hsien pada tahun 2020,” jelas Pengerusi MIFFest ke-5 dan MGGA 2022, Joanne Goh dalam ucapan beliau. Malangnya, tambah Joanne, pihak beliau terpaksa menangguhkannya oleh sebab COVID-19. Menurut beliau lagi, Dong-Ho dan Hsiao-Hsien telah menghasilkan banyak karya yang terkenal untuk festival-festival, dan seluruh industri filem.

“Dong-Ho merupakan salah seorang pengasas Festival Filem Antarabangsa Busan, dan Festival Filem Antarabangsa Gangneung, selain Presiden Kehormat MIFFest. Tanpa bimbingan beliau, saya mungkin gagal meneruskan penganjuran MIFFest dan MGGA kerana tidak bersemangat,” katanya lagi.

Sementara itu, bersempena dengan MIFFest ke-5, dan MGGA 2022 ini, turut diadakan tayangan filem-filem hebat dari beberapa negara. Senarai filem terkenal akan ditayangkan dalam beberapa kategori tayangan, iaitu Pawagam Dunia, Pawagam Asia, dan Pawagam Malaysia.

Menurut pengumuman tersebut, perasmian MIFFest ke-5 akan dimulakan dengan tayangan filem Edge of the World dari Amerika Syarikat yang membawa kisah Kapten James Brooke menjadi pemerintah Sarawak selama beberapa tahun.

Edge of the World menjalani penggambaran sepenuhnya di Sarawak, dan disokong oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB). Difahamkan, STB gembira apabila menerima berita filem ini akan ditayangkan semasa MIFFest ke-5.

Pengarah Edge of the World, Michael Haussman sendiri, serta pelakon Josie Ho, Bront Palarae dan pelakon lain dijadualkan bertemu dengan penonton semasa majlis perasmian MIFFest ke-5 pada 10 Julai 2022 nanti.

Bersempena dengan MIFFest ke-5 juga turut diadakan Pemasaran Projek MIFFest Pertama pada 12 dan 13 Julai 2022 untuk mencari projek filem cereka yang berpotensi di malaysia. Dalam acara itu, kelima-lima pilihan rasmi akan berpeluang bertemu dengan penerbit, pengedar, serta pelabur tempatan, dan antarabangsa untuk membincangkan projek-projek mereka.

Antara yang menjadi juri untuk Pemasaran Projek MIFFest ke-5 termasuklah pelakon Wu Ke-Xi, Keoh Chee Ang (penerbit) dan Vijay Munisamy (penerbit eksekutif).

Pada majlis pengumuman tersebut, pengacara turut mengumumkan lima pilihan rasmi yang terpilih, iaitu Don’t Assume Still Waters, arahan Leysha Al-Yahya, The Depths (David Yanez), Sunny, Benny & Jenny (Jin Ong), Garek (Cech Adrea), dan Maybe Today, If Not Today, Maybe Tomorrow.

Jika MGGA 2022 berlangsung di IB, MIFFest ke-5 akan diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur  dari 10 hingga 15 Julai 2022. MGGA 2022 akan disiarkan di Unifi TV (siaran langsung di Malaysia), Viu TV HK (siaran tertangguh di Hong Kong), dan YouTube MIFFest (siaran langsung di seluruh dunia). Untuk maklumat lanjut tentang festival tersebut, layari miffest.com.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.