4 Januari 2023, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Filem Escape merupakan arahan sulung Ikhwansha Hazer yang turut menulis lakon layarnya yang bercorak seram. Filem ini diterbitkan oleh Dreamland Productions bersama-sama DMY Creation. Ikhwansha Hazer sebelum ini pernah menulis lakon layar filem arahan Osman Ali, iaitu Sejoli: Misi Cantas Cinta.

Escape sepatutnya ditayangkan bermula pada 19 Mac 2020. Walau bagaimanapun, tayangan filem ini terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik COVID-19 selepas meneliti, mengkaji, mendengar serta menilai pandangan dan nasihat daripada beberapa pihak.

Selepas lebih dua tahun ditunda, akhirnya Escape akan memulakan tayangan umum di seluruh negara pada 5 Januari 2023. Sehubungan dengan itu, Escape menjadi filem Melayu tempatan pertama yang ditayangkan pada tahun 2023.

Escape membawakan kisah seorang lelaki amnesia, iaitu Adam yang dilakonkan oleh Kamal Adli yang terkurung di dalam sebuah bilik misteri. Setelah sekian lama dalam keadaan sebegitu, akhirnya Adam membuat keputusan untuk melawan masa dan membongkar semula identiti sebenarnya demi menghalang plot jahat sebuah kumpulan pengganas yang mahu menggugat keamanan negara.

Selain Kamal, Escape yang menelan kos perbelanjaan penerbitan kira-kira RM600 000 turut menampilkan Riz Amin sebagai Inspektor Azizul, pelakon aksi lasak, Pablo Amirul sebagai Hitman, Jue Aziz (Operator Polis), pelakon veteran Dato’ Jalaluddin Hassan (Mejar Dzulkarnain), Zamarul Hisham (Imam Muljain), Elizabeth Tan (Eva) dan Amar Asyraf sebagai Hamzah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.