Oleh Raduan Norudin
29 Jun 2022, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kudat – Pada 16 hingga 20 Jun 2022 lalu, sebanyak 18 orang seniman telah menyertai projek rintis yang diberi nama Panggilan Pulau di sebuah pulau kecil di Kudat, Sabah. Pulau Silk bersaiz 3.0 kilometer x 3.0 kilometer persegi, berpenduduk tidak melebihi 100 orang. Acara ini dianjurkan oleh SILA Kuantan dan Persatuan Seni Rupa (PeRUPA) Malaysia, dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Keindahan Kampung Lagaton, Pulau Silk.

Dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu peserta perlu mengharungi lima jam perjalanan darat ke Kampung Mapan-Mapan, Kudat. Dari pesisir pantai Mapan-Mapan pula, perlu menaiki bot satu jam perjalanan ke Kampung Lagaton, Pulau Silk.

Sebuah pulau yang indah, penduduknya masih mengekalkan kaedah tradisional dalam kehidupan seharian dan yang penting adat, budaya dan agama masih digenggam erat oleh keseluruhan penduduknya.

Aktiviti utama mereka ialah menjadi nelayan dan mengusahakan kebun secara ala kadar untuk sumber makanan harian. Tenaga elektrik diperolehi daripada generator manakala sumber air minuman dan masakan dari tadahan air hujan dan telaga. Ada juga penduduk yang mahir mengayam tikar mengkuang untuk kegunaan sendiri dan jualan. Salah seorang anak Bajau Laut Pulau Silk, iaitu Profesor Dr. Zahimie Sahibil ialah orang yang membantu dari awal hingga akhir kumpulan seniman sepanjang berada di pulau tersebut.

AKTIVITI SOSIAL DAN SENI VISUAL

Acara pertama yang dilakukan ialah penyerahan hadiah dan cederamata kepada penduduk dan pihak surau. Wang yang didermakan oleh orang ramai telah digunakan membeli barang keperluan seperti generator, solar, sejadah, tudung wanita, telekung, quran dan kitab mukadam. Semua barang diserahkan dan diterima dalam keadaan terharu kerana sumbangan tersebut amat bermakna kepada penduduk terutama dalam mengimarah amalan beragama dalam pulau tersebut.

Sesi kedua ialah aktiviti seni bersama penduduk. Sanae Yamada peserta dari Jepun mengelola pembelajaran membuat rantai manik, manakala Ustazah Norlita Abu Seman mengendalikan kelas lukisan dan arca bersama kanak-kanak. Sejumlah 35 orang wanita dan anak-anak Bajau Laut terlibat dalam kedua sesi. Daripada aktiviti ini, semua pihak yang terlibat, iaitu seniman dan penduduk mengaktifkan sifat saling membantu, memberi dan menerima, ajar dan mengajar serta kasih sayang sesama insan.

Majlis kenduri orang Kampung Lagaton.

Selain aktiviti yang disusun oleh pihak seniman, pihak penduduk juga menyediakan aktiviti mereka. Antaranya ialah merawai, menyelam di laut jernih, melawat sekitar pulau dan menghadiri kenduri.

ARCA PANGGILAN PULAU

Sesuatu yang bermakna perlu ditinggalkan sebelum pulang, bukan sahaja sebagai tanda kenangan tetapi tanda ikatan antara seniman dengan penduduk kampung Lagaton. Sebuah arca telah dibina dalam masa dua hari, dengan menggunakan bahan kayu bakau, papan terpakai dan cat.

Sukairi menunjuk ajar anak Bajau Laut melukis di atas kayu.

Arca berbentuk piramid dikukuhkan dengan menanam batang bakau sedalam tiga kaki ke dalam pasir. Kayu-kayu yang telah ditulis nama oleh masing-masing seniman dipaku pada struktur binaan supaya melekat dan memegang antara satu dengan lain. Akhirnya, terbina sebuah arca yang berbentuk piramid runcing menuju hala langit sebagai simbol bahawa acara singkat itu membawa interpretasi saling kebersamaan, bantu-membantu, yang kecil dan yang besar semua berperanan, dan “menghala ke langit” sudah tentu sebagai hamba kita semua dalam “perjalanan” menuju kepada Allah yang Esa. Hablum minannas − hubungan sesama insan, manakala hablum minallah – hubungan dengan Allah jangan dilupa untuk mencapai kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.

Faktor alami pasang surut air laut yang menenggelamkan kaki piramid nama pada ketika air pasang akan mewujudkan kesan lebih dramatik yang memberikan kesan emosi. Kesan emosi pula bergantung pada ketika arca tersebut dilihat. Barangkali dibadai ribut, ditenggelami air pasang besar, bahkan mungkin juga akan kekeringan pada musim panas. Biarkan Allah menjaganya, sudah pasti Dia memberikan yang terbaik.

Kesemua seniman, iaitu Sukairi Shahri, Raduan Norudin, Fazz Ramli, Sanae Yamada, Jennifer, Enah Samad, Radzuan Mat Diah, Abu Jalal Sarimon, Qhazril Qhazwan, Abdullah Jones, Ali Shamsul Bahar, A Zaki Hadri, Ahmad Sukeri, Zaim Durulaman, Norlita Abu Seman dan Adlin Junita, Dr. James berasa amat berterima kasih atas layanan Profesor Dr. Zaimie, Andry Cin dan semua penduduk kampung.

Seniman pulang membawa kenangan dan meninggalkan arca Panggilan Pulau sebagai tanda sahabat, tanda ikatan dan tanda persaudaraan.

Rakaman foto arca Panggilan Pulau oleh jurufotografi profesional, Ali Shamsul Bahar.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!