30 Jun 2022, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berdasarkan sejarahnya, lagu Tiara nyanyian kumpulan Kris pernah memenangi kategori Lirik Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-6 (tahun 1991). Secara keseluruhan, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Dato’ M. Nasir ini memenangi tempat ketiga pertandingan tersebut.

Selepas lebih tiga dekad, Tiara kini menjadi lagu tunggal terbaharu penyanyi muda Indonesia, Raffa Affar yang sedang popular dengan lagu tunggal pertamanya, Cinta Sampai Mati.

Raffa, 20 tahun, yang berasal dari Jawa Barat terkenal dalam media sosial dengan hampir empat juta orang pengikut di aplikasi TikTok, merakam ulang (cover) lagu Tiara yang pernah menjadi siulan pada tahun 1990-an.

Raffa Affar.

Menjawab pertanyaan mengapa memilih Tiara daripada ribuan lagu malar segar di Malaysia, Raffa mengatakan lagu ini dekat dengan hatinya, dan rasa bahagia apabila dapat menyanyikannya.

Semua peminat tahu rentak lagu Tiara ialah rock perlahan. Walau bagaimanapun, Raffa menyanyi dengan cara dan gayanya sendiri apabila merakam ulang.

Lagu Cinta Sampai Mati yang tular di TikTok memang merdu. Namun begitu, Raffa juga terkenal kerana suaranya yang unik, dan berwajah kacak.

Lagu Tiara yang dilancarkan di Malaysia, diedarkan oleh Hayat Kreatif Studio. Menariknya, Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio, Aidilhayat Omar, memberitahu memang kini sedang berlaku kecenderungan lagu-lagu Malaysia dirakam ulang oleh penyanyi-penyanyi Indonesia.

“Rupa-rupanya, tanpa disedari, pengaruh lagu-lagu malar segar daripada pencipta-pencipta di negara ini telah pergi jauh sehingga ke negara seberang,” kata Aidilhayat.

Hayat Kreatif Studio yang juga bertanggungjawab mempromosi lagu-lagu nyanyian Raffa di Malaysia, yakin pemilihan lagu Tiara adalah tepat.

“Jumlah tontonan di saluran Youtube Raffa mencecah 300 ribu setiap hari. Selepas Raffa, ramai yang turut merakam ulang Tiara di Indonesia,” jelas Aidilhayat.

Sehubungan dengan itu, Aidilhayat merakamkan ucapan terima kasih kepada M. Nasir dan Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) kerana memberikan kebenaran untuk rakaman ulang Tiara, serta mempermudah proses pelesenan hak ciptanya.

Dengan kolaborasi ini, Hayat Kreatif Studio turut berharap kecenderungan merakam ulang lagu-lagu malar segar popular seperti Tiara akan berterusan kerana dapat memperkenal semula lagu-lagu lama kepada generasi muda sekarang.

Tiara merupakan lagu tunggal kedua hasil kolaborasi antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment. Hak ciptanya di bawah Luncai Emas.

Kini Tiara nyanyian Raffa boleh didapati di semua pelantar penstriman. Video muziknya telah dimuat naik di saluran YouTube Hayat Kreatif Studio untuk tontonan ramai.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!