1 Julai 2022, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 12 individu telah dilantik menganggotai Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN) dalam satu sesi penyampaian watikah yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukry di Novotel Kuala Lumpur City Centre pada hari ini.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukry ketika menyampaikan ucapan.
Sumber: Facebook MOTAC.

Individu yang dilantik adalah dalam kalangan golongan yang dihormati, berpengalaman luas dan banyak menyumbang kepada seni, budaya dan warisan negara dalam tempoh dua tahun ini. Mereka terdiri daripada YBhg. Dato’ Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa selaku Pengerusi, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Mukhriz selaku Timbalan Pengerusi, YM Dato’ Tengku Khalidah Tengku Bidin, YBrs. Dr. Lim Swee Tin, YBrs. Dr. Paul Porodong, YBrs. Dr. Regina Garai Abdullah, Puan Suhana Sarkawi, Encik Mohd Kamrulbahri Hussin, YBhg. Dato’ Goh Hin San, Puan Low Ngai Yuen, Encik Abishegam Thiayaga Dass dan Encik Ronie Bahari.

MAKEN merupakan sebuah badan bebas yang berperanan memberikan khidmat nasihat, pandangan dan cadangan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kerajaan berhubung dengan pembangunan, kemajuan serta pemerkasaan dasar berkaitan dengan hal ehwal seni, budaya dan warisan negara. MAKEN bakal menggantikan Majlis Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan (MPKBK) yang telah ditubuhkan pada tahun 1976 dan berfungsi hingga tahun 2003. Majlis ini diwujudkan sebagai platform tertinggi yang melibatkan wakil penggiat seni, budaya dan warisan daripada pelbagai bidang bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan kebudayaan dan kesenian.

MAKEN juga berfungsi untuk memberikan khidmat nasihat secara perundangan dan perbincangan bersama-sama MOTAC berkenaan dengan kebudayaan termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa, mengemukakan pandangan dalam urusan penambahbaikan berhubung dengan pelaksanaan program kebudayaan yang selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), dan memberikan cadangan serta syor berkenaan dengan idea baharu berhubung dengan hala tuju kebudayaan.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukry berharap ahli-ahli MAKEN yang telah dilantik ini dapat bersama-sama MOTAC memacu usaha ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Maju Rakyat Berbudaya” serta dapat melestarikan agenda pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan seni, budaya dan warisan negara.

Turut hadir dalam majlis yang diadakan ialah Ketua Setiausaha MOTAC,  YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi dan pegawai kanan MOTAC dari pelbagai jabatan dan agensi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!