2 Julai 2022, 21:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Amalan membaca buku pada hari ini dilihat semakin mencabar untuk dibudayakan, lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi yang menyajikan pelbagai bentuk hiburan secara digital. Sebagai contoh, perkhidmatan penstriman rancangan televisyen seperti Netflix; rangkaian media sosial seperti TikTok dan sebagainya lebih menarik perhatian generasi muda pada masa ini berbanding dengan buku fizikal.

“Inilah persoalan yang dibangkitkan, iaitu dari segi asas didikan untuk membudayakan amalan membaca buku dalam kehidupan. Segalanya bermula di rumah dan tidak hanya bergantung kepada para guru. Ibu bapa memainkan peranan untuk ‘menghadirkan’ buku dalam hidup anak-anak sejak dari kecil,” ulas Puan Mahaya Mohd Yassin, tokoh Sasterawan Negeri Sembilan di bahagian pameran buku kanak-kanak nadir di Festival Cerita+Seni=Buku Bergambar (Stories+Art=Picture Books Festival), GMBB, Kuala Lumpur. Sebagai seorang penulis, penggiat sastera dan pencinta buku, beliau secara sukarela meluangkan masa memberikan penerangan kepada pengunjung tentang buku nadir kanak-kanak yang dipamerkan di pesta tersebut.

Puan Mahaya Mohd Yassin, tokoh Sasterawan Negeri Sembilan.

Beliau ditemui bersama-sama dengan Datuk Hajah Zaiton Ajamain, selaku seorang daripada pengkurasi pameran tersebut dan Puan Linda Tan, Pengarah Museum of Picture Book Art.

Mengulas tentang pembudayaan membaca dalam kalangan kanak-kanak, Datuk Hajah Zaiton menyatakan bahawa karya kanak-kanak perlu dipelbagaikan dan penulis perlu diberikan ruang untuk mengetengahkan idea mereka menerusi karya. Hal ini dikatakan demikian kerana plot cerita yang berbeza dapat mencambahkan pemikiran pembaca terutamanya kanak-kanak. Kadangkala terdapat juga penulis yang menampilkan plot cerita yang kelihatan agak “keras” dan menyebabkan ada pandangan yang menyatakan bahawa plot sebegitu kurang sesuai untuk kanak-kanak. Menurut beliau, dalam hal ini orang dewasa memainkan peranan penting untuk mengeluarkan nilai murni daripada keseluruhan buku tersebut untuk diceritakan kepada kanak-kanak kerana setiap idea yang diutarakan oleh penulis itu mempunyai mesej dan nilai murninya yang tersendiri yang ingin diterapkan. Oleh sebab itu, buku kanak-kanak yang diterbitkan bukan hanya sesuai dibaca oleh kanak-kanak malahan sesuai juga dibaca oleh golongan dewasa terutama ibu bapa.

Pesta buku kanak-kanak bergambar ini merupakan anjuran Museum of Picture Book Art yang berlangsung selama sebulan, iaitu dari 18 Jun 2022 hingga 17 Julai 2022. Pesta ini bukan sahaja meraikan penulis buku kanak-kanak, malah meraikan para ilustrator buku bergambar kanak-kanak.

Dari kiri: Puan Linda Tan, Pengarah Museum of Picture Book Art; Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah; Puan Mahaya Mohd Yassin dan Datuk Hajah Zaiton Ajamain, para kurator pameran buku kanak-kanak nadir.

Pameran buku kanak-kanak nadir ialah satu daripada pameran yang diadakan di pesta ini dan telah dikurasi dengan teliti oleh Datuk Hajah Zaiton, Puan Alimah Salam dan Puan Mahaya; tiga nama yang tidak asing lagi dalam dunia sastera kanak-kanak dan bahasa. Menerusi pameran ini, pengunjung berpeluang melihat koleksi buku kanak-kanak nadir yang diterbitkan seawal sebelum zaman kemerdekaan seperti Pak Pandir dan Lebai Malang. Selain itu, buku kanak-kanak nadir terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka turut dipamerkan seperti Pak Pelanduk Berkubukan Landak tulisan Ismail Ahmad dan buku bersiri Tidurlah Intan.

Antara koleksi buku kanak-kanak nadir yang dipamerkan.

“Buku kanak-kanak bergambar perlu melalui evolusi positif dan kreatif seperti menggunakan ilustrasi yang berkualiti agar dapat bersaing dengan hiburan alternatif. Antara tujuan kami mengadakan pesta ini termasuklah untuk mengangkat usaha pemain industri penerbitan buku bergambar kanak-kanak di Malaysia,” jelas Puan Linda ketika ditanya tentang matlamat pesta.

Khalayak diundang hadir untuk memeriahkan Festival Cerita+Seni=Buku Bergambar di Aras 3A yang turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif khususnya bagi kanak-kanak dan ibu bapa. Bangunan GMBB terletak di Jalan Robertson, Kuala Lumpur dan boleh dikunjungi menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam transit aliran ringan atau LRT (Plaza Rakyat) dan transit aliran massa atau MRT (Stesen Merdeka). Pesta ini bermula pada pukul 11.00 pagi setiap hari.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk kanak-kanak.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.