3 Julai 2022, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Nostalgia menonton wayang pacak suatu ketika dahulu diimbau kembali oleh penduduk di sekitar Pekan Sungai Lembing, Pahang. Acara anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Majlis Bandaraya Kuantan ini telah diadakan pada 1 Julai 2022 bertempat di Tapak Pasar Sehari, Sungai Lembing.

Penduduk di sekitar Pekan Sungai Lembing berkumpul untuk menyaksikan tayangan khas episod 1 “Pekan Kecil Kampung Terpencil”.

Tapak acara mula dipenuhi oleh orang ramai yang terdiri daripada masyarakat setempat dan pengunjung luar sekitar pada pukul 7.00 malam walaupun tayangan wayang pacak tersebut dijadualkan pada pukul 8.00 malam. 

Tayangan khas episod 1 drama bersiri yang berjudul “Pekan Kecil Kampung Terpencil”diangkat sebagai karya yang dipertontonkan dalam tayangan wayang pacak ini. Drama arahan Wan Afzam Wan Daud dan diterbitkan oleh Unit Drama TV, RTM  merupakan karya yang diadaptasi daripada naskhah pantun seperti Kurik Kundi Merah Saga, Kalung Bunga, Kumpulan Pantun Melayu dan Hati Mesra. Skrip yang dipertuturkan oleh para pelakon juga turut diselangi oleh rangkap pantun yang menjadi keunikan drama ini.

Acara ini turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh Wani Kayrie dan Raja Ema. Tapak acara juga dimeriahkan dengan jualan pelbagai jenis makanan.

Wayang pacak pernah menjadi sumber hiburan utama pada sekitar tahun 1980-an di kawasan kampung dan pendalaman disebabkan kurangnya penggunaan dan liputan televisyen. Acara ini lazimnya menarik minat masyarakat setempat terutamanya kanak-kanak untuk berkumpul dan bersama-sama menonton filem yang ditayangkan. Selain mengembalikan nostalgia, tayangan wayang pacak tersebut memberikan peluang untuk pengunjung berhimpun dan beramah mesra antara satu sama lain. 

Wayang pacak “Pekan Kecil Kampung Terpencil”.

Pekan Kecil Kampung Terpencil” begitu signikan dengan Sungai Lembing kerana hampir keseluruhan penggambaran drama ini dilakukan di sini.  Masyarakat setempat yang hadir dalam acara ini begitu teruja apabila kampung halaman mereka diangkat sebagai latar utama penggambaran drama ini. Tayangan drama “Pekan Kecil Kampung Terpencil” di saluran RTM juga sekali gus dapat mempromosikan Pekan Sungai Lembing dan kawasan sekitar yang mempunyai keistimewaan dan keindahannya yang tersendiri.

Antara yang hadir dalam acara tayangan wayang pacak tersebut ialah Encik Arifin Awang, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Pahang dan Puan Sarena Mohd Salleh, Penolong Pengarah Unit Drama TV, RTM.

Drama “Pekan Kecil Kampung Terpencil” yang mengandungi 10 episod akan mula disiarkan pada 22 Ogos 2022 bersempena dengan bulan kemerdekaan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!