Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFoto: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
Walaupun sekadar diam dan belum lagi beraksi mengungkapkan sebarang dialog, melihat sahaja penampilan tubuh dan mimik mukanya sama ada di pentas, televisen atau layar perak, umum pasti mengenali personalitinya yang mencuit hati dan mudah membuatkan orang ketawa.
Itulah kelebihan pada pelawak legenda, Abdul Hamid Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Hamid Gurkha dan mempunyai ramai peminat di seluruh negara, malah di Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Kalangan penggiat seni, malah masyarakat umum sendiri menyapa dirinya sebagai Pak Hamid atau Pak Mid.
Mimik muka, aksi serta ungkapan dialog lucu Pak Hamid melalui suaranya yang bersahaja dengan kedengaran sesekali seperti marah, pasti mudah diingati oleh masyarakat walaupun beliau kini sudah tiada lagi setelah menghembuskan nafas terakhirnya 20 hari lalu, selepas enam hari dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, iaitu pada 14 Jun 2022.
Pemergiannya ketika berusia 90 tahun disifatkan sebagai satu lagi kehilangan permata seni perfilemen tanah air khusus yang bersifat komedi setelah pasangan lawaknya di pentas dan filem, Dato’ Jamali Syadat, kembali ke rahmatullah lebih setahun yang lalu pada 3 Februari 2021 ketika berusia 79 tahun.
Allahyarham yang merupakan anak jati Kuala Lumpur dilahirkan pada 22 Ogos 1931 di Segambut dan terlibat menganggotai pasukan tentera ketika zaman British pada tahun 1952. Ketika berlatih kawad semasa latihan asas ketenteraan di Kem Latihan Tentera di Port Dickson itulah beliau mendapat gelaran gurkha seperti yang diceritakannya kepada penulis yang sempat mewawancaranya tidak lama dulu.
“Puncanya, saya ada melakukan sedikit kesilapan semasa latihan kawad dan Sarjan Jantan yang mengajar kami terus mencelah dan menyergah saya sebagai gurkha dan sejak itulah kawan-kawan yang lain menyapa saya sebagai gurkha yang turut terbawa-bawa gelaran itu sehingga ketika ditempatkan bertugas di kem lain,” katanya berseloroh.
Nama Hamid Gurkha juga popular dan menjadi perhatian rakan setugas serta ahli keluarga mereka setelah kerap menyaksikan persembahan lawaknya yang mencuit hati semasa diadakan sesuatu acara dan majlis keraian di kem tentera. Allahyarham mula hidup berkeluarga setelah mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid pada April 1957. Setelah enam dekad perkahwinan, mereka dikurniakan lapan orang cahaya mata dengan jumlah keluarga kini semakin besar dengan kehadiran 32 orang cucu dan 18 orang cicit.
Seluruh ahli keluarga memang amat terasa dengan pemergiannya itu oleh sebab sifatnya sebagai bapa dan datuk yang penyayang dan mudah mesra.
Anak bongsunya, Nor Ashita Abdul Hamid, 47 tahun, tetap ingat pesanan arwah ayahnya untuk terus menjaga dan menyayangi ibu mereka serta memastikan hubungan silaturahim sesama adik-beradik, menantu, cucu dan cicit sentiasa terpelihara.
Ashita turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jiran, kenalan termasuk ahli Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) serta pengarah, pelakon, artis dan kru penggambaran filem yang sudi menziarahi dan mendoakan bapanya ketika semakin uzur kebelakangan ini dengan kurang keupayaan untuk mendengar dan sukar untuk bercakap.
Sebagai tanda prihatin kerajaan dan menghargai sumbangan pentingnya kepada bidang perfilemen tanah air, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim sendiri turut mengetuai rombongan menziarahinya pada Mei 2022. Beliau turut memberikan semangat dan kata perangsang serta menghulurkan sumbangan kebajikan untuk ahli keluarga.
Penglibatan awal Allahyarham dalam bidang seni sebenarnya bermula setelah menyertai Pertandingan Bintang Radio pada tahun 1965 dan menjuarai pertandingan itu. “Sejak itu, beliau kerap diundang mengadakan persembahan di pentas hiburan di samping menyertai rancangan lawak jenaka bersama-sama pelawak lain di Radio Malaysia. Kekerapan penampilannya itu menjadikan beliau semakin popular bermula pada era 1970-an dengan kesempatan tampil pula dalam rancangan hiburan di TV, pentas dan filem,” kata penyelidik lagu dan filem Melayu, Muhammad Hashim yang mengikuti perkembangan seninya sejak awal.
Melalui TV RTM, lawak komedinya pernah ditampikan melalui Jenaka Hang Setia (1988) dan Hikayat Sang Setia (1992) di samping kerap muncul sebagai artis undangan bersama-sama dengan pelawak lain dalam beberapa hiburan TV termasuk rancangan khas pada musim perayaan.
Jack Nadarajah, mantan penerbit hiburan TV RTM yang beberapa kali mengundang Hamid sebagai artis dalam rancangan terbitannya menganggap beliau sebagai pelakon komedi hebat yang sangat komited dan mudah menghayati arahan untuk menjadikan persembahannya menarik dan terhibur. “Malah, saya sebagai penerbit dan kru penerbitan serta artis lain sering tercuit hati dan turut ketawa melihat aksi dan gurauannya semasa kami berbincang, sesi latihan dan raptai sebelum persembahan dan rakaman,” kata Jack.
Beliau menyifatkan Hamid mudah menyesuaikan penampilannya dengan sesiapa sahaja artis komedi yang digandingkan bersamanya selain Allahyarham Dato’ Jamali Syadat yang sering menjadi pasangan lawaknya. Dialognya walaupun kedengaran bersahaja dan lucu tetapi sebenarnya turut termuat mesej penting untuk masyarakat terutama untuk memupuk budaya mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Reaksi yang sama turut diberikan oleh beberapa orang pengarah dan pelakon lain dalam penggambaran di lokasi yang melibatkan lakonan Allahyarham. Aksi lucu lakonannya memang terserlah sejak filem pertamanya, Panglima Badol pada tahun 1978 yang diikuti dengan filem Gila-gila (1979), Sikit Punya Gila (1982), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Jejaka Perasan (1986), Ragam Pemandu (1989), Main-main Hantu (1990), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998) dan Senario the Movie (1999). Dalam filem berkenaan, Allahyarham sering digandingkan dengan watak utama bagi menggerakkan perjalanan sesuatu cerita.
Ketika mencecah usia 70 tahun dan memasuki era tahun 2000-an, beliau masih mendapat undangan berlakon dalam beberapa filem termasuk Zombi Kampung Pisang (2007), Alamak Toyol (2011), Abang Legen (2015) dan Kerja Kahwin (2017). Filem terakhir lakonannya ialah Superbike the Movie (2020).
Disebabkan oleh penilaian bakat dan kebolehannya beraksi dengan lawak yang mencuit hati, Hamid pernah terpilih sebagai Artis Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun 1982 dan penerima Anugerah Seniman Legenda MELETOP pada tahun 2021.
Walaupun kini sudah tiada lagi, tetapi kerinduan peminat kepadanya pasti terubat apabila sesekali dapat menonton beberapa filem lakonannya yang masih diulang tayang di stesen TV. Bersama-samalah kita menyedekahkan Surah al-Fatihah kepada Allahyarham sambil mendoakan semoga rohnya dicucuri dirahmat oleh Allah SWT dan ditempatkannya bersama-sama orang yang beriman.