Oleh Raduan Norudin
4 Julai 2022, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selama – Pada 1 hingga 3 Julai 2022, Persatuan Pelukis Perak (PPPk) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAP’s) dan Gabungan Anak Seni Selama (GASS) telah mengadakan program seni visual bersama-sama komuniti di Pusat Kokurikulum Pendidikan Daerah Selama.  Acara ini dinamakan jerayawara kerana mengumpulkan  semua bidang kesenian seperti lukisan, arca, kraf dan persembahan pentas.

Acara yang dinaungi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini telah menarik 80 orang pelajar, guru sekolah dan ibu bapa di daerah Selama, manakala 30 orang pelukis profesional dari GAP’s, PPPk dan GASS telah menjayakan acara lukisan langsung (pleinair) di Lata Rambung dan Lata Damak, pertandingan lukisan doodle batik untuk pelajar sekolah rendah dan pertandingan lukisan di atas batu oleh pelajar sekolah menengah.

Setiusaha Persatuan Pelukis Perak, Cikgu Hizuan Zulkifli menunjuk ajar penggunaan bahan batik doodle kepada pelajar.

Pelukis profesional dan guru pendidikan seni memainkan peranan aktif sebagai fasilitator kepada pelajar. Penduduk dan pelajar yang terlibat berasa amat bertuah kerana pelukis profesional sudi datang ke tempat mereka demi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang seni lukis. Pelajar diperkenalkan dengan kaedah menggunakan bahan dan teknik yang betul untuk melukis.

Kamal Nawi (kiri) pelukis dari Kelantan turut sama memeriahkan acara Jerayawara Jelajah Selama.

Bagi rombongan pelukis yang datang ke Selama berasa amat teruja kerana diperkenalkan dengan sesuatu yang menarik. Terdapat tujuh buah lata, tempat mandi dan beristirehat di kawasan tersebut, iaitu Lata Rambung, Sungai Buaya, Batu Putih, Damak, Lubuk Gajah, Panggung dan Tebing Tinggi. Telaga Gergasi pula ialah sesuatu yang jarang-jarang diketahui umum kerana tidak dipopularkan. Telaga ini ialah tempat pertemuan beberapa anak sungai yang aliran airnya menuju ke tasik Bukit Merah. Kota Raja Bersiong merupakan tempat bersejarah di daerah Ijok, Selama yang kurang digali kerana berkemungkinan fakta dan mitos telah bercampur aduk membuat kisah keturunan Merong Mahawangsa itu diabaikan.

Melalui tunjuk ajar tentang cara-cara merakam visual melalui kaedah lakaran, lukisan dan catan oleh pelukis, pelajar dan ibu bapa mendapat faedah ilmu dan pengalaman secara langsung. Bergaul dengan pelukis profesional daripada pelbagai latar belakang membuka minda masyarakat bahawa bidang seni lukis mampu membina kerjaya cemerlang.

Lukisan langsung (pleinair) oleh Encik Saiful yang merakam suasana di Lata Damak.

Sementara itu, pelukis pula berpeluang bertemu masyarakat dalam suasana baharu dan budaya setempat yang unik. Sejenis sambal tradisi penduduk Selama  yang dinamakan air garam yang disediakan oleh pihak katering amat sedap sehingga diperbicarakan panjang lebar oleh para pelukis. Diperbuat daripada cili, belacan, petai dan ikan rebus, sambal tersebut hanya terdapat di Selama. Pengetahuan baharu seperti ini akan menambah kepekaan pelukis dalam kepelbagaian budaya yang terdapat di situ.

Pada hakikatnya, aktiviti ini membantu pihak MOTAC dalam mempromosikan tempat menarik untuk dilawati oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Seiring dengan itu, sektor ekonomi rakyat setempat juga akan berkembang maju.

Kelihatan Encik Hamzah, Encik Amin Sihanie dan Puan Rozlina sedang asyik melakukan pleinair di Lata Rambung.

Program selesai dilaksanakan seperti jadual, manakala semua pihak yang terlibat membawa kenangan dan ilmu baharu yang terpahat bagi dijadikan rujukan berguna apabila diperlukan. Pengurus Program Encik Syukri Ibrahim (Keri Ibrahim) memaklumkan bahawa siri jerayawara selepas Selama akan dilaksanakan di Kuala Kangsar pada penghujung Julai 2022.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!