14 Julai 2022, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam satu wawancara dengannya pada awal Januari lalu, Tam, penyanyi Spider menyatakan impian beliau dan kumpulannya untuk beraksi secara langsung dalam sebuah konsert sendiri.

Setelah hampir tiga dekad berada dalam industri seni suara tanah air, Spider memiliki enam buah album studio, iaitu Ngam Ho (1999), Aladin (2002), Nazraku (2004), Bintang 12 (2007), Kitasatu (2010) dan Ankabut (2016).

Menurut Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, tampil dalam konsert sendiri memang idaman semua penyanyi, baik solo mahupun kumpulan. Jadi, katanya, tidak salah jika Spider turut memasang impian serupa.

Biarpun tidak menjayakan konsert sendiri kerana akan bergabung dengan sebuah kumpulan legenda, dan seorang penyanyi terkenal, tetapi sekurang-kurangnya Spider dapat “memanaskan badan” sebelum memenuhi impiannya yang sebenar.

Spider bakal muncul dalam konsert “YOLO Live Sessions: 3 Generasi”, atau “Sesi Secara Langsung YOLO: 3 Generasi” pada 27 Ogos 2022 bermula pada 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang.

Konsert tersebut juga istimewa kerana pemuzik rock handalan tanah air dari tiga generasi yang berbeza disatukan di sebuah pentas. Selain Spider, turut tampil nanti ialah kumpulan XPDC, dan Noh Salleh dari kumpulan Hujan. Mereka dibawakan khas oleh jenama penganjur acara terkenal masa kini, YOLO Malaysia. Dengan kemunculan XPDC, Noh dan Spider, konsert “Sesi Secara Langsung YOLO: 3 Generasi” tersebut dijangka menampilkan persembahan bertenaga.

Tam Spider menurunkan tandatangan pada gitar sambil diperhatikan oleh Noh Salleh.

Pada 13 Julai lalu telah berlangsung sidang media konsert berkenaan di Restoran Rebung Dato’ Chef Ismail, Taman Botani Perdana yang turut dihadiri artis tersebut bersama-sama pengasas YOLO Asia, Ib Harun; Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah; dan Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd. Taufik.

“Sesi Secara Langsung YOLO: 3 Generasi” ialah sebuah pelantar acara yang diwujudkan khusus untuk membantu karyawan muzik kembali beraksi di pentas persembahan ketika dunia dilanda musibah COVID-19. “Pelantar tersebut telah dikelolakan oleh YOLO Malaysia dengan membawakan beberapa siri acara dalam talian yang kenali sebagai ‘Sesi Secara Langsung YOLO’,” kata Ib.

Sebelum ini, ketika negara masih lagi menghadapi wabak pandemik COVID-19, YOLO Malaysia telah berjaya menganjurkan lima buah konsert dengan cemerlang. Setelah memasuki fasa endemik, YOLO Malaysia berasa sudah tiba masanya untuk bintang rock kesayangan tanah air diberikan penghormatan, beraksi di sebuah persembahan secara langsung bertaraf antarabangsa bagi kepuasan peminat.

Tiket-tiket konsert dijual mengikut harga kategori masing-masing, iaitu Kawasan Rock, Berdiri Bebas, Kerusi Kategori A berserta bertemu & berjabat, Kerusi Kategori B, dan Sudut Peribadi Tetamu Kehormat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!