19 Julai 2022, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah kumpulan muzik baharu dengan konsep muziknya pop alternatif terkini yang berasal dari Lembah Kelang ini dikhabarkan banyak mendapat maklum balas, dan komen yang baik dengan susunan muzik pop yang terkini. Kumpulan yang dimaksudkan ialah 22BAND. Difahamkan nama 22BAND dipilih kerana pada asalnya, kumpulan ini hanya sekadar projek kumpulan. Namun begitu, oleh sebab keserasian bersama dalam misi perjuangan muzik, secara rasminya pada tahun 2022, anggota kumpulan memilih 22BAND (twentytwoband) sebagai nama rasmi untuk mengingati COVID-19 yang melanda seluruh negara.

Dari kiri, Apis (gitar), Bun (gitar), Eqmal (penyanyi), Ijan (dram) dan Reen (bass).

Sebagai memulakan langkah, 22BAND mempertaruh lagu tunggal pertamanya berjudul Hidup yang ada citrasa tersendiri. Kumpulan ini dianggotai Eqmal (vokalis), Bun (gitar), Apis (gitar), Reen (bass), dan Ijan (dram). Hidup merupakan hasil ciptaan bersama ahli 22BAND, manakala lirik tulisan Apis sendiri.

Hidup membawa kisah seseorang yang melalui kehidupan harian yang sukar, terutama masyarakat semasa fasa endemik sekarang. Pertemuan 22BAND dengan sebuah syarikat label menjadi asbab Hidup diedarkan secara jualan digital, dan penjagaan hak ciptanya di bawah Luncai Emas Sdn. Bhd.

“Sejujurnya, kami tidak pernah menyangka bahawa hasrat untuk bertapak dalam industri muzik tercapai, walaupun dalam keadaan yang berbeza selama beberapa tahun akibat COVID-19, dengan harapan hasil karya kami diterima ramai,” ujar 22BAND.

Mengenai rancangan seterusnya, 22BAND memberitahu mereka menghasilkan lebih banyak lagu tunggal baharu masa kini mengikut peredaran zaman, serta trend lagu semasa yang disukai pendengar setiap lapisan masyarakat.

Kini, audio rasmi Hidup oleh 22BAND telah berada di semua saluran digital seperti JOOX, Deezer, Spotify, Itunes, dan Apple Music, sementara video lirik boleh ditonton oleh orang ramai bermula 24 Jun 2022 (jam 5 petang) lalu di saluran YouTube Luncai Emas.

“Diharap dengan lagu tunggal Hidup ini bersama-sama sokongan semua, kami mampu melebarkan sayap lebih jauh lagi,” kata 22BAND.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.