Oleh Hatta Azad Khan
27 Julai 2022, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tangan magis seorang Hakim ini bermula sejak beliau masih kecil. Hakim seorang anak yang berbakat. Neneknya pernah menunggu di luar sewaktu dia melukis mural pada dinding tadikanya. Guru-guru tadikanya berasa kagum dengan hasil kerja tangan Hakim. Satu daripada lukisan awal yang dihasilkan oleh Hakim adalah menara jam besar bandar Klang dan litar lumba di Batu Tiga, Shah Alam.

Hakim terkesima dengan apa-apa sahaja pandangan yang menarik di sekelilingnya. Tidak ada dorongan daripada sesiapa, tetapi alam sekeliling yang menggerakkan nalurinya untuk melukis. Seperti kebiasaan, ibu dan bapanya cuba mendorongnya mengambil jurusan perubatan, akaun atau undang-undang. Tidak pernah mereka terfikir bahawa Hakim akan belajar seni lukis.

Sewaktu belajar di Curtin University of Technology, Perth, Australia, pada awalnya Hakim menyambung pelajaran dalam jurusan Pengajian Perniagaan (Business Studies), tetapi selepas tiga minggu berlalu, beliau memohon untuk belajar di Sekolah Seni Lukis dan Seni Reka. Kemasukan ke sekolah seni memerlukan portfolio yang mengandungi karya-karya asalnya. Hakim tidak membawa sebarang bukti tentang bakat dan kesungguhannya dan semua hasil karya-karyanya berada di Malaysia.

Hakim mohon diberi peluang untuk membuat lukisan dalam kelas dengan model orang hidup. Selepas 4 jam, lukisannya siap dan mereka berasa kagum dengan hasilnya serta tiada alasan untuk beliau tidak diterima masuk ke sekolah seni itu. Selepas tiga tahun, Hakim berjaya memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan dan Seni Reka Grafik.

Jika anda masuk belajar ke sebuah institusi seni lukis dan seni reka, anda akan diajar untuk melukis dan melakar dengan menggunakan pensel dan arang di atas kertas putih. Melukis dan melakar adalah asas kesenian. Kemudian barulah anda diajar mengenali warna sebelum mula membuat catan atau painting.

Catan pula banyak medianya seperti cat air, akrilik, pensel atau kapur warna dan cat minyak. Hakim mempelajari semuanya namun akhirnya beliau memilih untuk menjadi pelukis yang menggunakan pensel dan arang. Sudah tentu beliau ada alasan tersendiri yang kuat dan menarik.

Melihat lukisan pensel dan arang hasil karya Hakim, kita akan sedar sebab dan alasannya. Hal tersebut merupakan kekuatan dan keluarbiasaan yang dimiliki Hakim. Pertama kali penulis melihat sendiri karya-karya Hakim pada 23 Oktober 2021 di Balai Seni Negara dalam sebuah pameran solonya. Penulis hadir bersama isteri dan anak perempuan. Kami terkejut apabila Hakim dan isterinya, Aeshah membawa kami masuk ke suatu ruang yang mempamerkan lukisan Portraits of Champion, siapa lagi kalau bukan kelab bola sepak Liverpool FC.

Lukisan wajah Jurgen Klopp (Pengurus Pasukan Liverpool FC).

Penulis berasa kagum dan terkedu melihat lukisan wajah Jurgen Klopp (Pengurus Pasukan Liverpool) dan para pemain kelab bola sepak Liverpool FC seperti Alisson Becker, Alexander Arnold, Joel Andre Matip, Virgil Van Dijk, Andrew Robertson, Fabinho, Jordan Henderson, Georginio Wijnaldum, Sadio Mane, Mohamed Salah, Roberto Firmino, Joe Gomez, James Milner dan Divock Origi.

Hakim mengabadikan bukan sahaja wajah tetapi juga gerak aksi mereka dalam seni lukisan. Semua lukisan tersebut terkandung dalam sebuah buku terbitan yang terhad dan berwarna merah dengan judul Portraits of Champion – Immortalised in Traditional Graphite and Charcoal.  

Sememangnya benar, lukisan pensel disalin daripada gambar, sama ada gambar berwarna hitam dan putih atau berwarna-warni. Ramai orang menganggap bahawa karya tersebut merupakan hasil salinan daripada karya orang lain dan bukannya karya asal. Walau bagaimanapun, bukan semua orang boleh menyalin dengan tepat atau memberikan beberapa ciri kelainan yang menarik dan mempesona. Dunia digital pada hari ini boleh menyalin gambar dengan tepat, bahkan turut boleh diubah suai bagi menampakkan kelainan.

Kecanggihan teknologi digital dan elektronik zaman ini mampu mengubah dan meminda banyak aspek kesenian seperti raut wajah yang berparut akibat kesan jerawat boleh kelihatan licin dan halus melalui bantuan teknologi dalam penyuntingan. Sebaliknya, lukisan pensel pula bertujuan untuk mengekalkan ciri-ciri keaslian atau keistimewaan yang dihasilkan oleh artisnya. Masing-masing mempunyai pelbagai ciri yang tersendiri.

Anda tentu pernah menonton teater yang dipersembahkan di atas pentas. Teater adalah lakonan orang hidup yang spontan. Pementasannya diulang-ulang dengan cara yang sama. Jika pementasan teater dipersembahkan sebanyak seratus kali, ertinya sebanyak seratus kali barisan pelakonnya beraksi secara langsung di hadapan para penonton yang berbeza. Hal ini berbeza dengan dengan pelakon filem atau pelakon drama televisyen yang hanya sekali terakam dan boleh diulang siar atau diulang-tayangannya di mana-mana sahaja.

Begitu juga dengan bidang fotografi yang bertujuan merakam foto dan kemudian gambarnya boleh dicetak seberapa banyak berbanding lukisan tangan yang hanya mampu menghasilkan satu lukisan sahaja. Kemodenan dunia digital pada hari ini banyak merosakkan keaslian karya apabila karya yang asli boleh disalin secara tepat dengan sebanyak mungkin. Hal ini amat ditakuti oleh golongan artis kerana hak cipta sudah tidak lagi terpelihara.

Gambar foto dan lukisan berwarna hitam putih berasal dari sumber yang sama namun kelihatan berbeza. Kesan yang dilukis terlihat pada garis, sapuan, tona dan warna gelap terang. Sememangnya artis akan cuba menyalin setepat yang mungkin setiap karya namun sentuhan tangan yang berbeza tetap akan menampakkan sedikit perbezaan dalam karya yang dihasilkan.

Perbezaan ini merupakan ciri-ciri keaslian, kelebihan dan kelainan sehingga peminat seni memilih untuk memiliki lukisan yang dihasilkan berbanding foto asalnya. Nilai sebuah hasil karya tangan seorang pelukis adalah lebih tinggi kerana dibuat dengan sepenuh hati dengan ketelitian yang tinggi dan luar biasa yang hanya ada pada seorang artis yang komited.

Lukisan potret Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Seterusnya, dalam bidang seni lukis hitam putih berteraskan pensel dan arang, Hakim turut mengagumi para pelukis yang sealiran dengannya seperti Emmanuel Dascanio (Itali), Paul Cadden (Britain), Paul Lung (Hong Kong), Justin Maas (Kanada), Jono Dry (Afrika Selatan) dan artis klasik Leornardo da Vincci.

Menurut Hakim, pelukis-pelukis ini berada di puncak tertinggi dalam genre seni ini. Kekaguman kepada para pelukis ini menjadi penggerak dan pendorong untuk beliau menjadi sama seperti mereka atau lebih baik. Penulis meneliti lukisan-lukisan hasil tangan para pelukis terkenal itu dan membuat perbandingan dengan karya yang dihasilkan oleh Hakim. Ternyata hasil karya Hakim setara dengan mereka, bahkan ada karyanya yang ternyata lebih baik berbanding hasil karya para pelukis tersohor tersebut. Inilah pelukis Malaysia yang bertaraf dunia.

Satu hakikat yang menghairankan adalah tidak ramai orang yang meminati bidang seni lukis kerana tidak mendapat sokongan yang menggalakkan. Para penggiat dan pengkarya seni umpama dibiarkan bergerak dan berkembang sendiri. Kita mengambil jalan mudah untuk mengabadikan wajah-wajah para pemimpin negara, tokoh korporat, pemimpin-pemimpin institusi atau agensi kerajaan dan swasta dengan merakam gambar mereka dan kemudian gambar-gambar tersebut dimasukkan ke dalam bingkai untuk dipamerkan pada dinding pejabat.

Begitu juga dengan gambar-gambar hasil fotografi yang disertakan bersama-sama dalam laporan tahunan, kad ucapan atau cenderahati. Kita tidak pernah terfikir untuk menukarnya kepada gambar-gambar yang dilukis tangan sama ada secara berwarna-warni atau hitam putih. Kita juga tidak terfikir untuk membantu mengembangkan kegiatan industri seni dan sekali gus memberi penghargaan kepada para pengkaryanya.

Lukisan Sazali Abdul Samad, ahli bina badan Malaysia.

Penulis pernah melihat pameran lukisan pensel hitam putih yang dihasilkan oleh seorang pensyarah di sebuah universiti. Penulis mencadangkan agar lukisan itu menghiasi halaman buku laporan tahunan bagi menampakkan sesuatu kelainan yang baharu.

Seni tidak akan berkembang maju tanpa sokongan dan sanjungan daripada masyarakat. Negara-negara maju sentiasa mengamalkan kemajuan yang menyeluruh dalam semua bidang seperti seni budaya, teknologi, ekonomi, pendidikan dan pemikiran rakyatnya. Hasilnya wujud kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat yang bertugas atau bergiat aktif dalam semua bidang bagi kelangsungan kehidupan.

Hakim mempelajari semua medium dalam bidang seni lukis dan seni reka, namun beliau memilih untuk melukis menggunakan pensel dan grafit kerana beliau sangat mementingkan kawalan gerak tangan. Menurut Hakim, hasil seni lukisan terhasil melalui pergerakan tangan, garis halus kasar antara hitam kelabu dan kelam serta sentuhan jari yang menampakkan kelicinan gelap dan terang.

Sewaktu berlangsungnya pameran di Balai Seni Negara yang lalu, Pesuruhjaya British di Malaysia, Charles Hay dan isteri mengunjunginya dan melihat sebahagian daripada hasil karya-karya Hakim berkaitan wajah-wajah Queen Elizabeth II dan mereka berasa sangat kagum dan terpesona dengan keunikan dan kecantikan lukisan-lukisan tersebut.

Hakim dan Aeshah sedang dalam perancangan untuk menerbitkan hasil lukisan-lukisan dalam sebuah buku yang bertajuk Her Majesty – a Pencil Point of View from Malaysia. Hakim turut menyimpan hasrat untuk menghadiahkan 30 buah potret yang mengandungi 100 lukisan Her Majesty Queen Elizabeth II melalui pameran yang bakal diadakan di kediaman pesuruhjaya itu bersempena sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II.

Pameran ini akan turut diadakan di Istana Buckingham, England dan penulis berharap agar para diplomat dan kenamaan dari Malaysia akan menyampaikan naskhah buku tersebut kepada baginda Ratu Elizabeth II sempena 70 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Britain. Penulis percaya seluruh rakyat Malaysia akan turut berasa bangga, menunggu dan merestuinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.