2 Ogos 2022, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Pameran “Replika Rumah Tradisional Kita” di Muzium Petaling Jaya, Selangor mempamerkan kira-kira 18 buah replika rumah tradisional dari semua negeri yang berada di Malaysia. Bukan sahaja reka bentuk dan binaan model rumah tersebut yang cantik, malah saiz dan susunan replika tersebut turut kelihatan comel.

Pameran “Replika Rumah Tradisional Kita” berlangsung sehingga 12 Ogos 2022 dan antara replika rumah tradisional yang dipamerkan termasuklah Rumah Perlis, Rumah Kedah, Rumah Pulau Pinang, Rumah Perak atau Rumah Kotai, Rumah Bugis Selangor, Rumah Negeri Sembilan, Rumah Melaka, Rumah Limas Bugis (Johor), Rumah Pahang, Rumah Kelantan, Rumah Terengganu, Rumah Rungus Sabah, Rumah Lotud Sabah, Rumah Panjang Sarawak (Iban), Rumah Orang Ulu Sarawak, Rumah Bidayuh (Sarawak), Rumah Orang Asli (rumah biasa) dan Rumah Orang Asli (Rumah Yeau-Deg Yeau).

Pameran yang dianjurkan oleh Muzium Petaling Jaya tersebut turut mempamerkan replika perauk tambang atau perahu tambang (Sarawak) yang merupakan nadi pengangkutan di Sungai Kuching, Sarawak sejak sekian lama dan masih menjadi satu daripada ikon bandar raya Kuching. Perauk tambang atau perahu tambang juga pernah dijadikan sebagai tempat tinggal sementara bagi masyarakat Melayu Sarawak pada suatu masa dahulu.

Replika Rumah Negeri Sembilan.

Pengunjung pameran berkenaan tentu bersetuju jika dikatakan Rumah Negeri Sembilan yang paling menonjol kerana reka bentuk bumbungnya yang unik. Keseluruhan reka bentuk bumbung panjang Rumah Negeri Sembilan bersifat Minangkabau. Serambi replica rumah tersebut juga mempunyai bentuk yang memanjang serta terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan anak sungai.

Seni bina warisan Rumah Kotai pula hanya terdapat di negeri Perak. Maksud Rumah Kotai yang juga disebut Kotai merujuk kepada lama atau tua, dan masih didiami penduduk tempatan sejak lebih 200 tahun dahulu. Ciri khususnya dapat dilihat pada ragam hias lebah tergantung, dan penggunaan daun tepas berkelarak pada muka tebar layarnya.

Manakala seni bina Rumah Limas Bugis (Johor) mempunyai bentuk asas yang sama, iaitu dibina secara sederhana tinggi. Di dalamnya terdapat unsur rumah tradisi Melayu, terutamanya ciri hiasan kelarai dan alas tiang rumah di samping mempunyai “bumbung lima” atau “limas” (atap perisai).

Selain Rumah Bujang, sebuah lagi jenis rumah tradisional Melayu yang terdapat di Kelantan adalah Rumah Tiang 12 yang mempunyai 12 tiang utama pada rumah ibu, enam tiang serambi dan enam tiang panjang. Rumah Tiang 12 juga mempunyai bumbung yang panjang dengan tepi sudut dindingnya dipasangkan tabir layar.

Replika Rumah Bidayuh atau Rumah Baruk.

Etnik Bidayuh di Sarawak sememangnya terkenal dengan Rumah Baruk yang dikenali sebagai tempat untuk pahlawan Bidayuh. Di bahagian dalam Rumah Baruk dikatakan dipenuhi dengan barang-barang peninggalan seperti gong, senjata, dan tengkorak musuh. Setiap upacara dan ritual tradisional etnik Bidayuh turut dilaksanakan di rumah ini.

Kerja-kerja membina sebarang jenis rumah termasuklah jenis rumah tradisional mustahil dapat dijayakan tanpa peralatan yang sesuai dan lengkap. Pameran “Replika Rumah Tradisional Kita” turut mempamerkan peralatan yang berkaitan membina rumah seperti tali sifat, ketam kayu, pahat, kapak, tukul bola peen, tukul kuku kambing, tukul getah dan gergaji bunga.

Walaupun kelihatan ringkas, namun pameran ini membawa banyak manfaat, terutamanya kepada peminat dan pengkaji rumah tradisional di Malaysia kerana turut menampilkan tayangan video yang berterusan mengenai rumah tradisional. Buku-buku yang berkaitan juga disediakan sebagai bahan rujukan.

Pameran “Replika Rumah Tradisional Kita” dibuka setiap hari, kecuali pada hari Jumaat bermula dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang, iaitu mengikut waktu urusan Muzium Petaling Jaya dan masuk adalah secara percuma.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!